Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

LAPORAN KHAS BH

Amalan 'tahan' teksi tepi jalan berkurangan tapi tak lekang dek teknologi

Ada pemandu, penumpang teksi sudah terbiasa dengan cara tradisional
Dec 10, 2022 | 05:30 AM



Sedang teknologi berkembang, keupayaannya mengganggu ekonomi meningkat. Itu yang berlaku ke atas industri teksi, dengan kemunculan syarikat yang menyediakan khidmat pengangkutan e-panggilan, atau kereta sewa privet, telah menjejas industri itu. Keperluan menggunakan teknologi kini kian ketara, terutamanya sedang jumlah teksi berkurangan sejak 2014 dan bilangan kereta sewa privet semakin bertambah. Ikuti laporan BERITA HARIAN



HANYA beberapa tahun lalu apabila ingin menaiki teksi, kita berdiri di kaki lima dan melambai-lambai apabila nampak teksi kosong.



Malah, pemandangan beberapa orang atau keluarga berdiri sederet di tepi jalan raya melambai-lambai serentak pada sebuah teksi yang muncul adalah biasa, baik semasa cuaca panas mahupun hari hujan.



Namun, era orang 'tahan' teksi di tepi jalan hampir hilang sejak kedatangan aplikasi dalam talian yang menawarkan perkhidmatan kereta sewa privet hampir 10 tahun lalu.



Kini, jarang sekali kita melihat orang menunggu teksi di tepi jalan; mereka hanya menggunakan aplikasi untuk mendapatkan kereta sewa privet, atau perkhidmatan pengangkutan e-panggilan, atau teksi.



Tetapi, teknologi itu bukan mengubah cara penumpang mendapatkan perkhidmatan teksi sahaja, bahkan cara drebar teksi menjalankan tugas mereka.



Demikian menurut pemandu teksi seperti Encik Jaafar Mohd Said, 73 tahun, yang menggunakan aplikasi tempahan digital syarikat teksi dan Grab bagi mendapatkan penumpang.



"Dulu mungkin saya habiskan dua syif, iaitu sekitar enam jam setiap syif, untuk ronda-ronda dapatkan penumpang.



"Tetapi sekarang saya habiskan masa sekitar enam jam saja, iaitu satu syif, untuk dapat penumpang kerana saya mendapatkan tempahan mereka melalui aplikasi," ujar Encik Jaafar, yang memandu teksi sejak sekitar 30 tahun lalu.



Ramai pemandu teksi lain juga menggunakan platform tempahan digital syarikat teksi atau aplikasi pihak ketiga, kerana ia meningkatkan peluang mereka mendapat penumpang tanpa perlu terlalu banyak meronda.



Keperluan bagi pemandu teksi menggunakan teknologi semakin meningkat, lebih-lebih dengan persaingan semakin bertambah daripada kereta sewa privet.



Perangkaan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) menunjukkan jumlah teksi di Singapura telah berkurangan hampir separuh - daripada 28,736 pada hujung 2014 kepada 14,887 hujung tahun lalu.



Tetapi dalam tempoh itu, jumlah kereta sewa privet bertambah kira-kira tiga kali ganda, daripada 18,847 kepada 67,990.



Antara syarikat terawal muncul dengan khidmat pengangkutan e-panggilan di sini ialah Uber, yang tidak lagi beroperasi di sini, dan GrabTaxi, yang kini dijenamakan semula sebagai Grab, pada 2013.



Kemunculan aplikasi dalam talian, yang membawa kepada kemerosotan jumlah teksi, menimbulkan persoalan apakah industri teksi tradisional semakin pupus.



Bagaimanapun, pakar ekonomi Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), Profesor Madya Walter Theseira, memberi gambaran harapan.



Beliau berkata kaedah menahan teksi dari tepi jalan akan kekal - walau kian berkurangan - dengan pelonggaran sekatan Covid-19 dan jumlah pelancong bertambah pascapandemik.



"Biasanya memang amalan melambai untuk mendapatkan khidmat teksi lebih melibatkan penumpang asing. Mereka golongan yang keberatan memuat naik aplikasi mendapatkan khidmat pengangkutan dari satu lokasi ke satu destinasi.



"Selain itu, masih ada warga senja yang sudah biasa dengan amalan itu (menahan teksi dari tepi jalan). Tetapi, mereka juga semakin menua dan lama-kelamaan amalan ini akan diketepikan dan terpaksa beri laluan kepada tempahan melalui aplikasi," kata Dr Theseira.



Ini disetujui seorang pemandu teksi, Cik Suriati Ahmad, 64 tahun, yang berkata walaupun sekarang banyak tempahan teksinya datang mela-lui aplikasi, tidak semua penumpang tahu menggunakan aplikasi, terutamanya warga emas.



"Pernah saya lihat seorang pak cik berdiri tepi jalan tunggu teksi. Tetapi saya ada penumpang ketika itu.



"Selepas turunkan penumpang itu, saya patah balik dan tengok pak cik itu masih berdiri di situ. Pak cik itu kata dia dah diri di tepi jalan tunggu teksi selama satu jam.



"Tetapi, apa yang saya perhatikan juga ialah hari ini semakin ramai warga emas yang naik teksi kerana anak atau cucu mereka tolong dapatkan teksi melalui aplikasi atau panggilan," katanya.



Dr Theseira berkata walaupun persaingan semakin hebat daripada syarikat yang menyediakan aplikasi tempahan dalam talian, tambangnya tidak sepertinya lebih rendah daripada perkhidmatan teksi biasa.



Penumpang masih boleh membandingkan tambang dan ada pilihan menahan teksi dari tepi jalan.



Dan sejak sekatan Covid-19 dilonggarkan, lebih ramai orang keluar rumah dan menaiki teksi dari tepi jalan, tambah beliau.



Meskipun penggunaan teknologi semakin meluas hari ini, tidak semua pemandu teksi mahir atau mahu menggunakannya.



Pemandu muda, umumnya, lebih terbuka dan bersedia menggunakan teknologi, tetapi tidak demikian bagi pemandu lebih berusia.



Mereka yang berumur mungkin bergelut dengan kesukaran menyesuaikan diri dengan teknologi, dan ada pula lebih selesa dengan cara mendapatkan penumpang di tepi jalan atau mengambil tempahan yang datang melalui terminal dalam teksi mereka.



Seorang pemandu teksi, Cik Kalsum Samadi, 64 tahun, berkata sebahagian besar pendapatannya datang daripada tempahan yang masuk me-lalui terminal dalam teksinya dan penumpang yang melambai dari tepi jalan.



Walaupun telefon bimbit beliau mempunyai aplikasi syarikatnya, CDG Zig, yang membolehkan beliau mendapatkan tempahan teksinya, Cik Kalsum jarang memanfaatkannya kerana beliau mendapati ia boleh menimbulkan bahaya, terutama ketika beliau sedang memandu.



"Demi keselamatan, aplikasi ini saya gunakan hanya ketika saya sedang berhenti di satu tempat dan tidak bergerak.



"Ia boleh mendatangkan bahaya jika saya asyik tengok aplikasi itu dan tidak berikan tumpuan sepenuhnya pada jalan raya ketika memandu," ujar beliau.



Penasihat Persatuan Teksi Kebangsaan (NTA), Cik Yeo Wan Ling, berkata pemandu teksi lebih berumur berkongsi bahawa mereka menghadapi lebih banyak persaingan hari ini kerana tidak semua daripada mereka menggunakan aplikasi platform untuk medapatkan penumpang.



Mereka masih banyak bergantung pada penumpang yang menahan teksi dari tepi jalan.



Dengan lebih ramai orang beralih ke platform khidmat pengangkutan e-panggilan, sesetengah pemandu teksi berkata kebanyakan pendapatan mereka kini diperolehi melalui tempahan yang datang daripada platform tersebut.



"Untuk membantu pemandu teksi menambah jumlah penumpang mereka, NTA telah mempromosikan latihan digital bagi penggunaan aplikasi telefon bijak, Singpass dan Google, yang dijalankan bukan dalam bahasa Inggeris sahaja, bahkan bahasa Mandarin bagi pemandu berbahasa Mandarin," kata Cik Yeo, yang juga seorang Anggota Parlimen GRC Pasir Ris-Punggol.




Lebih saingan bagi pemandu teksi bergantung pada penumpang tepi jalan



PEMANDU teksi lebih berumur berkongsi bahawa mereka menghadapi lebih banyak persaingan sekarang memandangkan tidak semua daripada mereka menggunakan platform tempahan dalam talian untuk mendapatkan tempahan.



Mereka masih bergantung pada penumpang yang "menahan" teksi mereka dari tepi jalan raya.



Demikian menurut penasihat kepada Persatuan Teksi Nasional (NTA), Cik Yeo Wan Ling, dalam jawapan e-melnya kepada pertanyaan Berita Harian.



Cik Yeo, yang juga Anggota Parlimen GRC Pasir Ris-Punggol, berkata memandangkan lebih ramai penumpang sekarang yang beralih keplatform tempahan dalam talian, sesetengah pemandu teksi berkongsi bahawa kebanyakan pendapatan mereka sekarang diraih daripada platform digital.



"Kami faham bahawa pemandu teksi meninggalkan industri satu destinasi ke destinasi yang lain (P2P) atas pelbagai sebab, seperti mereka sudah melebihi had usia bagi lesen vokasional, kos operasi tinggi, masalah perubatan, atau komitmen keluarga.



"Kos kehidupan yang meningkat adalah satu isu di mana pemandu teksi amat bimbang sekali.



"Mereka bekerja lebih lama bagi mendapatkan semula kos operasi yang meningkat, yang timbul akibat harga minyak naik, kos sewa kenderaan dan inflasi, yang menjejas pendapatan mereka.



"Tambahan pula, kenaikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada tahun depan akan terus menjejas pendapatan yang dibawa pulang," katanya.



Justeru bagi membantu pemandu teksi mendapatkan lebih ramai penumpang, NTA mempromosikan latihan digital dalam penggunaan aplikasi telefon bijak, Singpass dan Google, yang dijalankan dalam bahasa Inggeris dan Mandarin.



"Pemandu agak terbuka dengan sesi-sesi latihan itu sejauh ini," ujar Cik Yeo.



Dari sejak pandemik Covid-19 mula melanda, NTA dan persatuan yang ada kaitan dengan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), seperti Persatuan Kenderaan Sewa Privet Nasional dan Persatuan Pejuang Penghantaran Nasional, kerap berbincang dengan pihak berkepentingan, termasuk agensi pemerintah yang relevan, syarikat dan operator platform, berkaitan kebimbangan pekerja berkenaan, termasuk pemndu teksi.



Ini bagi membincangkan sokongan buat mereka.



"Bagi menawarkan sedikit sokongan kewangan bagi pekerja platform, persatuan kami sebelum ini memperkenalkan skim-skim bantuan bagi mereja yang diuji positif bagi Covid-19," kata Cik Yeo.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >