PARLIMEN: PERUNTUKAN EP MELAYU

Amanah besar yang harus dijaga

SEORANG tokoh Melayu bakal menjadi Presiden Singapura tahun depan, selama enam tahun. Ini setelah Perdana Menteri Lee Hsien Loong memberitahu Parlimen semalam bahawa perubahan pada sistem Presiden Dipilih akan dibuat pada Januari dan Pilihan Raya Presiden tahun depan akan diperuntukan bagi masyarakat Melayu.

Kaum minoriti harus bersyukur Pemerintah tidak memandang ringan kepelbagaian kaum Singapura, walaupun peratusan penduduk minoriti rendah, dan peka akan perasaan dan keperluan setiap kaum di negara ini. Malah, Encik Lee secara peribadi memberi banyak perhatian pada perkara ini. Perdana Menteri berasa dengan kuat bahawa ini tanggungjawab beliau dan sesuatu yang beliau harus lakukan sekarang.

Masyarakat Melayu pula harus gembira dambaan mereka akan seorang Presiden Melayu, setelah 46 tahun, akan menjadi kenyataan tahun depan. Apatah lagi ia dicapai tanpa tokenisme dan mengorbankan dasar meritokrasi negara kerana kriteria kelayakan yang sama ketat dikenakan.

Namun di sebalik kegembiraan itu perlu ada kesedaran bahawa Pilihan Raya Presiden yang diperuntukkan bagi sesebuah kaum minoriti adalah satu amanah bagi kaum itu. Ini sebagaimana dinyatakan Anggota Parlimen GRC Chua Chu Kang, Encik Zaqy Mohamad, di Parlimen. Ia datang, sewajarnya, dengan tanggungjawab pada negara dan kaum lain. Amanah itu perlu dijaga dan tanggungjawab tersebut harus dipenuhi.

Anggota masyarakat minoriti yang berhasrat menjadi Presiden memikul amanah memastikan bahawa mereka benar-benar layak, bukan dari segi kelayakan nyata sahaja kerana ini dijamin oleh kriteria kelayakan ketat yang telah ditetapkan, tetapi kelayakan seperti bernilai murni dan, terpenting, boleh mewakili semua kaum Singapura - bukan kaumnya sahaja - serta menjaga dan menaikkan nama baik negara.

Ia juga menjadi amanah besar kerana seorang Presiden adalah Ketua Negara dengan peranan penting yang termasuk sebagai penjaga aset negara dan kewibawaan perkhidmatan awam.

Kaum minoriti memikul amanah membantu memastikan Presiden daripada kaum mereka seorang yang dapat mewakili semua kaum.

Harus disedari juga bahawa langkah memastikan perwakilan minoriti dalam jawatan Presiden baik bukan bagi kaum minoriti sahaja, bahkan negara, dan sekali gus kaum majoriti.

Menyerlahkan peranan Presiden sebagai lambang perpaduan, selari dengan peranan penjagaannya, dengan membolehkan anggota kaum minoriti menjadi Presiden menekankan kepada semua kaum bahawa Singapura perlu kekal inklusif, semua warga negara ini mempunyai tempat di negara ini, dan semua warga mempunyai peluang, termasuk menjawat jawatan paling tinggi - Ketua Negara.

Ini seterusnya akan memperkukuh perpaduan rakyat Singapura dan keharmonian negara ini, yang bermakna keamanan dan kemantapan buat semua.

Oleh itu, sistem ini perlu disokong oleh semua, termasuk kaum majoriti.

Pemerintah telah memainkan peranannya memastikan jawatan Presiden kekal sebagai lambang perpaduan dan berciri kepelbagaian kaum. Sekarang, rakyat pula harus memastikan Presiden Singapura, tidak kira daripada kaum mana beliau datang, bersikap pelbagai kaum dalam menjalankan tugasnya dan mendampingi semua kaum, semua warga Singapura, dan bukan kaumnya sahaja.

Kaum minoriti harus menolak calon Presiden yang mewakili mereka sahaja.

Waktu Solat

Subuh
5:37
Syuruk
7:01
Zuhur
1:08
Asar
4:33
Maghrib
7:12
Isyak
8:28
3 HR PSI: 34
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.