PERDANA Menteri Encik Lee Hsien Loong berkata usaha untuk melatih semula para pekerja dan mempersiapkan mereka untuk menghadapi teknologi baru serta pekerjaan yang berbeza, telah membuahkan hasil.
Pada tahun lalu, kadar pekerja yang diberhentikan kerja adalah rendah – yang terendah dalam masa lebih 10 tahun.
“Kalau dahulu, kita tidak menekankan peri pentingnya latihan, peningkatan diri dan penugasan semula kakitangan, syarikat mungkin mengambil jalan mudah dengan memberhentikan para pekerja yang lebih tua dan menggantikan mereka dengan siswazah-siawazah baru.
“Ini boleh mengakibatkan keadaan yang lebih teruk lagi. Kita mesti teruskan usaha untuk melatih dan meningkatkan kemahiran para pekerja. Ini merupakan satu maraton tanpa penghujung, tetapi hasilnya menunjukkan kita ada kemajuan,’’ ujar Encik Lee, dalam Amanat Hari Pekerja 2019.
Beliau berkata gerakan buruh sedang melalui satu lagi detik perubahan sedang banyak pekerjaan baru diwujudkan dan industri dan pekerjaan lama semakin berkurangan.
Lantaran itu, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) perlu menjangkakan cabaran itu serta mempersiapkan para pekerja dan kesatuan sekerja dengan lebih awal.
“Keadaan luar negeri kita sedang pesat berubah. Banyak pekerjaan baru diwujudkan. Industri dan pekerjaan lama semakin berkurangan. Masa hadapan pekerjaan kelihatan sangat berbeza.
“NTUC perlu menjangkakan cabaran itu. Ia mesti mempersiapkan kesatuan, para pemimpin dan para pekerjanya dengan lebih awal untuk menghadapinya, sebelum ia menjadi beban kepada kita,’’ jelas PM Lee.
Di Singapura, kerjasama kesatuan sekerja, majikan dan pemerintah membolehkan para pekerja meraih pendapatan lebih baik dan membawa kemajuan kepada negara.
“Kita mesti terus berada dalam laluan ini, dan mengukuhkan kepercayaan dan kerjasama dalam kalangan perikatan tiga pihak agar walaupun terdapat keadaan yang tidak menentu dan cabaran dalam ekonomi dunia, kita dapat terus berkembang maju dan mengecapi kemakmuran bersama sebagai sebuah negara,’’ tambahnya.
Encik Lee mengucapkan Selamat Hari Pekerja kepada semua rakyat Singapura.