Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:06
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Ambil kerjaya kedua untuk sumbang kepada keluarga

Jun 22, 2021 | 05:30 AM



SEBAGAI seorang bapa, Encik Osman Aspari mahu terus bertanggungjawab mencari rezeki untuk keluarganya walaupun sudah bersara daripada kerjaya beliau selama lebih 31 tahun dalam khidmat penjara.



Persaraan pada 2018 dinikmatinya cuma lebih setahun sebelum Encik Osman akhirnya memutuskan mahu menceburi kerjaya kedua dalam kehidupannya.



"Saya rasa sebagai seorang ayah, penting bagi saya dapat memberi sumbangan, terutamanya kepada keluarga. Bagi saya, penting bagi seorang ayah itu menjadi contoh baik dan menunjukkan walaupun saya sudah lanjut usia, saya tetap bermanfaat dan dapat menyumbang kepada masyarakat.



"Jika setakat duduk di rumah dan tidak buat apa-apa, ia tidak akan memberi manfaat kepada sesiapa," kata bapa tiga anak perempuan itu.



Encik Osman cuba mencari peluang pekerjaan tetapi ia tidak semudah yang dijangkakan, dengan setiap hari beliau akan memohon satu atau dua pekerjaan dalam talian selama beberapa bulan.



Akhirnya, selepas sembilan bulan dan hampir 100 resume yang dihantar serta berkat bimbingan seorang pembimbing kerjaya, Encik Osman berjaya mendapatkan pekerjaan sebagai pengurus operasi di sebuah sekolah pada Januari tahun lalu.



Mengimbas kembali perjalanannya mencari kerja, Encik Osman, 57 tahun, berkata beliau sebenarnya tidak tahu bagaimana menulis resume apabila mula mencari kerja, dan semua permohonan kerja yang dimintanya tidak menerima sebarang balasan atau beliau diberikan emel penolakan.



"Apabila saya memohon pekerjaan, saya tak dapat satu pun panggilan untuk temu duga. Dari situ, saya rasa ada yang mungkin tidak betul dengan resume saya.



"Memang menyedihkan kerana saya terus cuba tetapi tidak ada jawapan. Saya mula soal diri saya sendiri sama ada ini disebabkan usia saya atau latar belakang saya dan sebagainya," kata beliau.



Encik Osman berkata isteri dan anak-anaknya banyak memberi sokongan dengan membantu memperbaiki resumenya, memberi galakan dan mengongsi pautan laman kepada peluang pekerjaan yang sedia ada.



Titik perubahan dalam usahanya mencari kerja itu berlaku apabila anak keduanya menyarankan beliau mendapatkan bantuan pembimbing kerjaya di Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG).



Dengan bantuan pembimbing kerjaya itu, Encik Osman belajar cara mempertingkat dan mempertajamkan resumenya untuk menonjolkan keupayaan dan kelebihannya.



Beliau diperkenalkan kepada kursus, seperti kemahiran menjalani temu duga kerja, mempertingkat jalinan rangkaian, dan cara menggunakan laman LinkedIn.



Encik Osman turut berbincang dengan pembimbing kerjaya tentang pekerjaan yang sesuai buat diri beliau berdasarkan pengalaman dan kemahiran yang dimilikinya.



"Kami menyedari bahawa bidang operasi merupakan kelayakan saya, dan saya boleh lakukan kerja operasi di sekolah, bangunan dan sebagainya. Pembimbing kerjaya membantu membuat penyesuaian pada resume saya agar pengalaman saya dalam operasi itu lebih terserlah dalam permohonan kerja," kata beliau.



Sebagai pengurus operasi di sekolah, Encik Osman menyediakan sokongan pentadbiran dan teknikal kepada kakitangan, pelajar, ibu bapa, kontraktor dan pihak berkepentingan.



Beliau juga perlu memastikan operasi sekolah berjalan lancar setiap hari dan menangani sebarang kerosakan pada bangunan dan mekanikal dengan secepat mungkin demi keselamatan.



Meskipun mencabar pada awalnya kerana perlu menyesuaikan dirinya dengan proses pekerjaan, Encik Osman terus kuatkan semangatnya untuk belajar dan juga telah mendapatkan bantuan daripada mentornya yang juga seorang pengurus operasi.



Kini, beliau rasa gembira dapat kembali menyumbang dari segi kewangan kepada keluarganya dan berterima kasih kepada mereka atas sokongan yang diberikan.



Nasihatnya kepada individu yang mahu menceburi kerjaya kedua adalah agar jangan tawar hati jika permohonan kerja mereka ditolak kerana terdapat banyak peluang kerja di luar sana.



"Anda tentu sekali perlukan pertolongan, terutamanya dari keluarga anda dan juga pembimbing kerjaya kerana anda sudah lama tidak bekerja dan mungkin tidak tahu apa yang sedang berlaku dalam pasaran pekerjaan.



"Pembimbing kerjaya juga tunggak kekuatan - merekalah individu yang akan terus menerus memberi dorongan dan sokongan kepada anda apabila anda rasa seperti nak putus asa atau menghadapi masalah," kata beliau.




"Saya rasa sebagai seorang ayah, penting bagi saya dapat memberi sumbangan, terutamanya kepada keluarga. Bagi saya, penting bagi seorang ayah itu menjadi contoh baik dan menunjukkan walaupun saya sudah lanjut usia, saya tetap bermanfaat dan dapat menyumbang kepada masyarakat.

"Jika setakat duduk di rumah dan tidak buat apa-apa, ia tidak akan memberi faedah kepada sesiapa."

- Encik Osman Aspari.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >