SERAMAI lima individu dihadapkan ke mahkamah semalam kerana didakwa menggunakan nombor kad pengenalan orang lain untuk mendapatkan pelitup percuma daripada mesin yang disediakan oleh Yayasan Temasek.
Lima individu itu, yang bertindak secara berasingan, ialah Dominique Maitreyani Qin, 59 tahun; David Chin Sing Chuin, 58 tahun; Ang Poh Lay, 47 tahun; Pantila Pakamethanan, 43 tahun; dan Ng Wee Siang, 34 tahun.
Qin, mantan pengurus kedai buku, menghadapi satu tuduhan menipu dan satu tuduhan pemilikan barangan secara haram.
Dia dituduh menggunakan nombor kad pengenalan 13 orang untuk mengambil pelitup daripada sebuah mesin layan diri di Toa Payoh Disember lalu.
Semasa siasatan, polis menemui 244 lagi bungkusan pelitup yang didakwa didapatkan secara terlarang.
Chin, yang merupakan seorang ejen hartanah, pula didakwa menggunakan nombor kad pengenalan 11 klien untuk mengambil pelitup tersebut.
Ang, yang bekerja di sebuah klinik di Bishan, pula menghadapi satu tuduhan menipu dan satu tuduhan mendapatkan maklumat peribadi secara haram.
Dia didakwa mengambil nombor kad pengenalan lapan orang daripada rekod pesakit klinik itu dan menggunakannya untuk mengambil pelitup dari sebuah mesin di Hougang pada Mac lalu.
Seorang lagi yang dituduh, Pakamethanan, warga Thai yang bekerja di sebuah syarikat pelaburan, pula didakwa mendapatkan maklumat peribadi lima klien di syarikat itu pada Oktober tahun lalu dan Mac tahun ini.
Ng, yang pekerjaannya tidak diketahui, didakwa mengambil pelitup menggunakan nombor kad pengenalan 14 orang, lapor The Straits Times.