Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SEKITAR RAMADAN

AMP kembali rancak anjur kegiatan dekati penerima bantuan

Kutipan derma turut meningkat dengan kelonggaran garis panduan Covid-19
Apr 20, 2022 | 05:30 AM



DENGAN keadaan pandemik Covid-19 yang agak terkawal kini, pertubuhan AMP kembali rancak menganjurkan kegiatan untuk mendekati penerima bantuan dan kempen mengumpul dana sempena Ramadan.



Sebagai permulaan, bengkel yang tertumpu pada pengurusan kewangan keluarga buat penerima bantuan dewasa serta bengkel bertema Ramadan buat benefisiari belia diadakan Sabtu lalu di AMP @ Pasir Ris.



Kanak-kanak daripada keluarga yang dibantu juga diberi tajaan kit Ramadan di samping dibimbing untuk melakukan kegiatan yang memupuk amalan memberi.



Mengulas tentang kegiatan Ramadan yang diadakan, Pengarah Eksekutif AMP, Encik Mohksin Rashid, berkata:



"Kami di AMP amat berbesar hati dan bersyukur kerana dengan keadaan pandemik yang agak terkawal kini, kami dapat mengadakan semula aktiviti pendekatan kami dengan klien kami buat pertama kali sejak pandemik Covid-19 melanda.



"Acara seperti ini amat bermakna bagi kami kerana ia memberi peluang untuk mengeratkan lagi silaturahim kami dengan klien.



"Bagi klien pula, acara ini akan membolehkan mereka menimba ilmu dan mempertingkat kemahiran dalam pengurusan kewangan daripada bengkel yang disediakan, lantas mengukuhkan lagi kestabilan kewangan keluarga mereka."



Pada acara Sabtu lalu, AMP juga telah mengagihkan pek perayaan meliputi barang keperluan dapur dan makanan yang disiapkan 20 sukarelawan minggu lalu.



Menurut Encik Mohksin, berbanding tahun-tahun sudah sejak pandemik melanda, kegiatan yang diadakan secara fizikal tidak dapat dijalankan.



Pek perayaan yang sudah dibungkus, justeru itu, langsung dihantar kepada penerima bantuan oleh kakitangan AMP.



"Dengan adanya kelonggaran pada garis panduan, ini memberi kami peluang untuk bertemu dengan benefisiari kami dan juga sukarelawan kami untuk mengeratkan lagi silaturahim.



"Dari segi kutipan derma pula, ada peningkatan pada jumlah penderma yang datang ke pejabat kami untuk menderma berbanding tahun lalu dan tahun sebelumnya," ujar Encik Mohksin lagi.



Ditanya mengenai cabaran yang dihadapi AMP dalam mengumpul dana sewaktu pandemik, beliau berkata sebahagian penderma mulanya agak kekok menderma menerusi kaedah dalam talian.



"Bagi membantu mereka, kami sediakan talian bantuan khas agar mereka boleh dibimbing untuk menderma menerusi laman kami ataupun wadah lain seperti PayNow.



"Kami juga turut menerima permintaan penderma agar kami ke rumah mereka untuk mengutip derma mereka," jelasnya.



Mengenai inisiatif baru yang diperkenalkan untuk mengumpul dana, Encik Mohksin menambah pihaknya mengadakan Jualan Sate Amal bersama Opah Satay.



"Orang awam boleh membeli set sate beku dan kambing perap dengan harga $60 untuk dijadikan sebagai juadah iftar mahupun Hari Raya.



"Hasil jualan inisiatif ini akan disalurkan kepada program sosial AMP dan golongan memerlukan," tambahnya.



Pengurus Pembangunan Perniagaan Opah Satay, Encik Abdul Halim Hafizuddin, berkata:



"Sebagai syarikat pengeluaran milik orang Islam, kami amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan AMP bagi projek Ramadan ini."



Dalam pada itu, AMP juga bekerjasama dengan dua pempengaruh sosial, Ustazah Fatin Afika dan personaliti televisyen, Khairudin Samsudin, bagi menguar-uarkan beberapa kempen Ramadan yang diadakan.



Encik Mohksin menjelaskan pihaknya menetapkan sasaran mengumpulkan $1.4 juta bagi kempen Ramadan kali ini.



Kini, lebih mudah buat orang ramai menderma atau membeli produk amal seperti sate amal dan kuih-muih Raya amal menerusi kaedah beli-belah elektronik atau e-shop yang dilancarkan pada April tahun lalu.



Menurut Encik Mohksin wadah yang genap setahun diusahakan itu memberi ruang buat orang ramai membeli barangan atau khidmat yang dijual AMP dengan mudah.



Ini termasuk dalam perihal menyewa ruang kerja dan ruang acara di Common Space iaitu ruang kerja bersama di Guthrie Building, yang dikendalikan sayap belia pertubuhan itu, AMP Muda.



"Di samping itu, wadah e-shop ini juga merupakan satu peluang bagi lulusan dan peniaga kecil di bawah Program Niaga Mikro AMP untuk memasarkan kuih-muih dan snek raya mereka di bawah jualan amal AMPowering Lives kami.



"Ini tahun kedua jualan amal ini dijalankan. Dalam pada itu, wadah e-shop kami juga mempunyai fungsi derma yang disepadukan bersama.



"Ini membolehkan pelanggan berbelanja sambil menderma di satu laman," katanya lagi.



Tahun ini, seramai tujuh lulusan Program Niaga Mikro AMP tampil menggembleng tenaga dalam usaha murni menyiapkan kuih tart, kuih makmur, biskut emping jagung makarun, biskut cip coklat, biskut mapel, biskut Oreo Crunch, kerepek pisang dan mini popia udang.



Salah seorang daripada mereka, Cik Farah Ida Natasha Abdul Jamal, 34 tahun, berkata:



"Alhamdulillah, saya bersyukur diberi peluang dan kepercayaan menjayakan inisiatif AMPowering Lives tahun ini.



"Program Niaga Mikro AMP telah banyak membantu saya memahami dan mempelajari selok-belok bisnes serta mengumpul sebanyak mungkin ilmu dan kemahiran."



"Sudah pasti impian setiap peniaga rumah adalah untuk membuka kedai seperti kedai roti dan kek atau kafe sendiri kelak."








PROGRAM DAN KEMPEN RAMADAN AMP



9 APRIL



◆ Sekitar 30 sukarelawan siapkan 140 set barangan runcit untuk Pek Perayaan yang diagih kepada penerima bantuan AMP.



16 APRIL



◆ Kakitangan AMP siapkan 140 set makanan beku bagi Pek Perayaan untuk diagih kepada penerima bantuan AMP.



Setiap pek bernilai $150 mengandungi minyak masak, bijirin, makanan beku, pes sedia dimasak dan kuih Raya.



◆ Bengkel pengayaan keluarga dijalankan khusus bagi setiap ahli keluarga seperti golongan dewasa, belia dan kanak-kanak.



Di akhir sesi, setiap keluarga diberi Pek Perayaan, bungkusan beriani dan bubur untuk hidangan iftar.



Seramai 380 klien menghadiri acara ini.



HINGGA 2 MEI



◆ Kempen Radio (bersama stesen Ria 897) bagi Dana Siap Ke Sekolah (RFS) untuk membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah menerusi dermasiswa yang menampung kos perbelanjaan sekolah.



Layari laman ampdonate.sg atau PayNow ke Nombor UEN 199105100D.



◆ Kempen Donate Your Lunch Money (DYLM) menggalak orang ramai menyumbang duit belanja makan tengah hari mereka pada Ramadan buat mereka yang lebih memerlukan.



Hasil kutipan derma akan diagihkan kepada penerima bantuan AMP dalam bentuk barang keperluan rumah, makanan beku, kuih Raya dan hidangan iftar.



Setiap pek bantuan bernilai $150.



Layari laman ampdonate.sg.



HINGGA 17 APRIL



◆ Jualan Amal AMPowering Lives mengetengahkan enam jenis kuih dan dua kerepek yang disiapkan tujuh lulusan program Niaga Mikro.



Layari eshop.amp.org.sg.



HINGGA 23 MEI



◆ Jualan Sate Amal bersama Opah Satay.



AMP menawarkan pek sate amal berharga $60.



Pek ini mengandungi sate goreng ayam, kambing dan lembu, kambing perap, ketupat segera dan kuah sate.



Hasil jualan akan disalurkan kepada program sosial AMP dan penerima memerlukan.



Layari eshop.amp.org.sg.




"Kami di AMP amat berbesar hati dan bersyukur kerana dengan keadaan pandemik yang agak terkawal kini, kami dapat memulakan semula aktiviti pendekatan kami secara fizikal dengan klien kami buat pertama kali sejak pandemik Covid-19 melanda.
Acara seperti ini amat bermakna bagi kami kerana ia memberi peluang untuk mengeratkan lagi silaturahim kami dengan klien.
Bagi klien pula, acara ini akan membolehkan mereka menimba ilmu dan mempertingkat kemahiran dalam pengurusan kewangan daripada bengkel yang disediakan, lantas mengukuhkan lagi kestabilan kewangan keluarga mereka."
- Pengarah Eksekutif AMP, Encik Mokhsin Rashid.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >