Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SIRI LAPORAN ANTIDADAH -Kerjasama antara Berita Harian/Minggu dengan Biro Narkotik Pusat (CNB)

AMP lancar program bantu pesalah kembali ke pangkuan masyarakat

Dec 09, 2018 | 05:30 AM



BAGI memastikan pendekatan yang berstruktur dan holistik disediakan untuk membantu para pesalah dadah Melayu/ Islam, sebuah program bermula semasa pemenjaraan hingga selepas pembebasan dan pasca penjagaan telah diperkenal.



Dikendalikan Angkatan Karyawan Islam (AMP), Program Pembangunan dan Reintegrasi (DRP) disasarkan kepada para pesalah Melayu/ Islam serta keluarga mereka dan bertujuan menyediakan kesinambungan penjagaan dan pengawasan banduan ketika di penjara sehingga setelah mereka dibebaskan.



Program perintis yang melibatkan 23 banduan telah dijalankan sejak DRP dilancarkan pada 10 Mac 2017.



Kini, program tersebut mempunyai seramai 185 banduan dan 685 anggota keluarga. Sehingga 31 Oktober tahun ini, seramai 68 banduan daripada jumlah tersebut sudah dibebaskan, menurut AMP.



Ditemui Berita Minggu di pejabat AMP baru-baru ini, Encik Mohammad Faizal Mohammad Nor, pegawai kes bersama AMP DRP menjelaskan bahawa antara matlamat terbesar program itu ialah untuk menyediakan klien agar mereka dapat mengintegrasi semula ke dalam masyarakat dengan berjaya.



Ini dilakukan menerusi rangka kerja yang tersedia.



Menjelaskan lebih lanjut, Encik Faizal, 28 tahun, berkata:



"Kami mempunyai sembilan domain utama dan yang sering kami tekankan ialah kemahiran mengatasi cabaran, pekerjaan dan gaya hidup positif.



"Misalnya, klien perlu menjalani 10 sesi dalam penjagaan yang diadakan sekali setiap minggu. Modul yang kami ajarkan termasuk pengurusan kewangan, memperkukuh hubungan kekeluargaan dan juga unsur-unsur keagamaan."



Encik Faizal berkata bahawa klien yang terlibat dalam DRP akan mengikuti program tersebut semasa dalam penjara, sebelum dibebaskan dan selepas dibebaskan. Sementara itu, keluarga mereka juga akan dibantu menerusi program itu.



Program tersebut memberi fokus kepada pendekatan dan menyediakan wadah bagi komunikasi kerap antara pegawai kes dengan klien serta keluarga mereka.



Aktiviti yang dijalankan juga direka khas untuk menyediakan rangkaian sokongan positif untuk memudahkan klien mengatasi cabaran yang dihadapi dan yang penting, tidak kembali menggunakan dadah sebagai jalan keluar.



Antara komponen yang terdapat dalam DRP termasuk Penilaian Kemasukan Individu dengan banduan akan dinilai berdasarkan keperluan mereka serta potensi untuk kekal bebas dadah setelah dibebaskan kelak.



Jika lulus penilaian tersebut dan didapati sesuai mengikuti DRP, mereka akan melakarkan pelan campur tangan individu yang dibahagikan kepada dua bahagian utama iaitu diri sendiri dan keluarga, bagi banduan yang sudah berumahtangga.



Pelan tersebut akan dibangunkan dan diulas berdasarkan keperluan kewangan klien, pembangunan sosiopendidikan mereka dan kaunseling atau sokongan lain yang diperlukan.



Satu pertemuan antara klien dengan pegawai kes mereka juga akan diadakan sekurang-kurangnya seminggu sebelum mereka dibebaskan dari penjara.



Pertemuan tersebut bertujuan melakarkan pelan intervensi atau campur tangan termasuk menyediakan penyata pendapatan dan perbelanjaan untuk memudahkan pengurusan kewangan klien dengan segera selepas pembebasan mereka.



Bahkan, lebih daripada itu, sebagai sebahagian daripada DRP, pegawai kes yang telah mengendalikan kes seseorang klien akan menantikan dan menjemputnya di gerbang penjara pada hari pembebasan beliau bersama-sama anggota keluarganya yang lain, menurut Encik Faizal.



Pasca-pembebasan, bekas pesalah itu kemudian akan mengikuti pendekatan 12 bulan termasuk menghadiri sesi kumpulan sokongan serta menerima bantuan terutama pada musim perayaan.



Berkongsi pengalamannya sendiri berinteraksi dengan pesalah-pesalah ini, Encik Faizal berkata antara cabaran yang dihadapinya ialah ramai di antara mereka tidak mempunyai keyakinan bahawa mereka boleh membuka lembaran baru dalam hidup.



"Kebanyakannya adalah kerana stereotaip. Di tempat kerja mereka akan beritahu saya 'Encik Faizal, nanti orang tengok saya semacam' dan sebagainya.



"Jadi antara cabaran yang kami hadapi ialah membangunkan keyakinan diri mereka semasa program ini. Ada klien yang memang susah menyesuaikan diri dengan perkara baru atau persekitaran baru.



"Itu sebabnya kami harus menghabiskan banyak masa untuk mengenali mereka secara individu, membina hubungan (pegawai kes dengan klien). Alhamdulillah saya dapati jika kita memahami keadaan yang mereka hadapi dan mempunyai empati terhadap mereka, adalah lebih mudah untuk membimbing mereka," ujar beliau.




PROGRAM PEMBANGUNAN DAN REINTEGRASI (DRP) AMP



DRP dilancarkan pada 10 Mac 2017.



Ia bertujuan menyediakan pendekatan berstruktur dan holistik dalam program integrasi semula bekas pesalah Melayu.



Program ini memberi fokus terhadap pendekatan dan menyediakan wadah bagi perhubungan kerap antara pegawai kes dengan klien atau keluarga mereka.



Antara komponen DRP AMP termasuk:



- Penilaian Kemasukan Individu



- Pelan Campur Tangan Individu



- Pendekatan Dalam Penjagaan



- Pendekatan Pra-Pembebasan



- Pendekatan pada Hari Dibebaskan



- Pendekatan Pasca-Penjagaan




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >