Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Anak-anak titipan terima anugerah iktiraf bakat, pembangunan

Nov 27, 2022 | 05:30 AM



HATINYA terdetik ingin mengambil anak titipan sebaik sahaja membaca sebuah artikel dalam akhbar mengenai anak-anak titipan beberapa tahun lalu.



Namun hasrat Cik Ranimah Mohamed, 52 tahun, pada awalnya tidak dipersetujui oleh suaminya Encik Maszlan Abdul, 55 tahun.



Namun setelah berbincang, hati Encik Maszlan terbuka dan pasangan ini telah pun mengasuh hampir 40 anak-anak titipan sejak lebih 10 tahun lalu.



Antara anak titipan yang telah diasuh pasangan ini ialah 'Nafeel' (bukan nama sebenar) yang telah bersama keluarga itu sejak berumur setahun.



Kata Encik Maszlan: "Setelah mendapatkan lebih maklumat tentang mengasuh anak titipan, dan menyedari latar belakang mereka, hati saya terbuka dan saya terus setuju dengan saranan isteri saya." Pasangan itu mempunyai dua anak kandung perempuan.



"Saya memang sukakan budak-budak. Setelah melalui proses hampir tujuh bulan, kami dititipkan dengan seorang anak kecil untuk beberapa minggu. Selepas itu, barulah kami menerima Nafeel yang sewaktu itu baru setahun, sehinggalah sekarang," jelas Cik Ranimah yang juga menjaga dua lagi anak titipan berumur 9 dan 12 tahun.



Nafeel, 10 tahun, bersama dengan 26 anak titipan lainnya, telah menerima anugerah yang mengiktiraf kejayaan dan pencapaian mereka di Majlis Anugerah Anak-Anak & Belia Titipan Ke-9 anjuran Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) semalam.



Nafeel menerima anugerah pencapaian di atas penglibatan dan prestasinya dalam sukan bola sepak dan ragbi.



Anugerah itu telah disampaikan oleh tetamu terhormat, Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli, pagi semalam di majlis penyampaian hadiah di Enabling Village.



Bercakap kepada keluarga titipan, Encik Masagos berkata: "Pencapaian setiap kanak-kanak dan belia hari ini, juga merupakan pencapaian ibu bapa titipan mereka, dan pegawai penjagaan titipan.



"Setiap kanak-kanak memerlukan seseorang untuk percaya pada kebolehan mereka, melihat yang terbaik dalam diri mereka, dan menyokong mereka. Usaha anda telah memberikan anak dan belia titipan ini peluang untuk bersinar," tambah Encik Masagos, yang juga merupakan Menteri Kedua Kesihatan merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.



Memupuk nilai kekeluargaan telah ditekankan tahun ini, iaitu Tahun Meraikan Keluarga SG (YCF).



Kata Encik Masagos: "Di Singapura, keluarga membentuk asas masyarakat kita. Mereka telah dan akan terus menjadi barisan pertama sokongan kami. Keluarga menstabilkan kita, mereka membentuk watak kita, dan menyampaikan nilai dan membina kita sebagai individu yang berdaya tahan."



Seorang lagi ibu titipan, Cik Triantina Fahmi, dan suaminya, Encik A Rahim Suman, keduanya 53 tahun, membuat keputusan menjadi ibu bapa titipan pada 2016 kerana mereka sendiri tidak dikurniakan cahaya mata.



Kata Cik Triantina: "MSF banyak membantu dengan memberikan kami sokongan dari segi kursus yang kami harus lalui untuk lebih bersiap-sedia mengasuh anak-anak titipan kami."



Anak titipan mereka 'Hadi' (bukan nama sebenar), 10 tahun, menerima Anugerah untuk Pembangunan Karakter.



Kata Encik Rahim, sokongan keluarga dari kedua belah pihak sangat penting untuk memastikan anak-anak titipan merasa diri mereka sebahagian dari keluarga.



"Orang tua dan adik-beradik kami juga memberi kami sokongan dan semangat dan ini sangat membantu kami berdua yang kurang berpengalaman dengan anak-anak sebelum ini."



Encik Rahim dan isterinya juga menjaga tiga anak titipan termasuk Hadi, pada waktu ini.



Menurut MSF, mengikut data pada Disember 2021, jumlah anak-anak titipan keseluruhannya ialah 541 dan jumlah keluarga titipan ialah 595 setakat ini.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >