Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

'Anak Kampung Bernama Sidek' bawa mesej usah lupa asal usul

Sep 09, 2018 | 05:30 AM



Mantan Menteri Negara Kanan Sidek Saniff baru-baru ini telah menghasilkan buku dwibahasa yang menyorot pengalaman kehidupan di kampung. NUR ADILAH MAHBOB (adilaham@sph.com.sg) menemuramah Encik Sidek dan memaparkan beberapa bahagian menarik dalam buku 'Anak Kampung Bernama Sidek'.



PENGALAMAN membesar di Kampung Radin Mas masih segar di ingatan mantan Menteri Negara Kanan (Pendidikan), Encik Sidek Saniff, yang tahun ini mencecah usia 80 tahun.



Kenangan itu menjadi sumber inspirasi bagi beliau menulis buku kanak-kanak bertajuk Anak Kampung Bernama Sidek yang dilancarkan hari ini.



Buku itu ditulis dalam kedua-dua bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, dan diterbitkan Opus Editorial dengan sokongan Dana Kedwibahasaan Lee Kuan Yew.



Setebal 36 muka surat, buku itu memaparkan ragam kehidupan di kampung menerusi lukisan Encik Mohd Samad Afandie, mantan wartawan infografik Berita Harian.



Encik Sidek berkata idea untuk buku kanak-kanak itu timbul semasa beliau dalam proses menyiapkan buku memoirnya - Langkah Liku Selayang Kenangan Sidek Saniff - yang dilancarkan pada Julai lalu.



"Ramai budak sekarang tidak melalui zaman kehidupan di kampung dahulu.



"Saya berharap anak muda akan dapat membezakan kehidupan di kampung dengan kehidupan mereka sekarang, dan sedar betapa untungnya mereka," ujar Encik Sidek dalam wawancara dengan Berita Minggu baru-baru ini.



Encik Sidek, anak sulung dalam 12 beradik, dilahirkan pada 1938.



Keluarganya berpindah dari Berek Laut di Tanjong Pagar ke Kampung Radin Mas pada 1940-an.



Dalam buku itu, beliau menggambarkan kehidupan keluarganya di sebuah rumah sewa kecil di Kampung Radin Mas yang terletak di kaki bukit Mount Faber.



Encik Sidek menceritakan keadaaan rumah kampungnya dahulu yang tidak mempunyai elektrik dan tandas di dalam rumah seperti sekarang.



Bahkan ketika itu, beliau terpaksa belajar pada waktu malam dengan cahaya lampu minyak.



Encik Sidek masih ingat lagi beliau perlu mengambil air daripada paip di luar, memikul tong air yang dibawa dengan batang kandar, sambil merentas denai kampung yang lecak sampai ke rumah.



"Di sekolah pun dahulu mana ada Pepsi Cola. Saya minum air 'paip sekolah' sahaja," seloroh Encik Sidek.



Buku itu turut merakam kenangan manisnya bermandi air hujan, menjaja kuih dalam raga sekeliling kampung, dan bermain guli.



Seingat Encik Sidek, beliau membeli 10 biji pada harga lima sen waktu itu.



Kampung Radin Mas, yang sejarahnya dipercayai bermula seawal 1880-an, dirobohkan pada 1973 bagi memberi laluan kepada pembangunan.



Waktu itu, keluarganya sudah pun berpindah ke rumah mereka sendiri di Jalan Bidara, yang kini merupakan estet perumahan Eunos Crescent.



Kemiskinan yang dihadapi pada awal kehidupan Encik Sidek tidak menghambat tekadnya untuk berjaya dan kemudian memberi sumbangan kepada masyarakat dalam berbilang peranan - guru, pemimpin Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura (KGMS), dan selanjutnya menyertai politik.



Dalam politik Encik Sidek berkhidmat sebagai Anggota Parlimen dan seterusnya diberi pelbagai jawatan politik hingga bersara pada 2001 sebagai Menteri Negara Kanan (Sekitaran).



Biarpun demikian, Encik Sidek tidak lupa asal usulnya membesar di Kampung Radin Mas.



Itulah mesej di sebalik buku Anak Kampung Bernama Sidek yang diharapkan dapat disemai dalam generasi muda - usahlah lupa asal usul.



"Yayi (datuk) saya pedagang tembakau dari Pekalongan, Jawa.



"Kita mesti bersyukur dari apa pun keturunan kita, baik Melayu, Cina atau India. Kita manusia. Kita mengharungi sejarah yang sama, dan kita juga mewarisi peradaban yang sama," ujar Encik Sidek, bapa empat anak dan mempunyai 12 cucu.



Buku Anak Kampung Bernama Sidek dijadual dilancarkan dalam satu majlis di Wisma Geylang Serai hari ini.



Sebanyak 2,000 naskhah percuma akan diagihkan ke pusat prasekolah Agensi Pembangunan Awal Kanak-kanak (ECDA), Perpustakaan Negara dan Yayasan Mendaki.



Orang ramai yang berminat mendapatkan buku itu boleh membelinya pada harga $18 di kedai-kedai buku utama bermula Oktober nanti.




"Di sekolah pun dahulu mana ada Pepsi Cola. Saya minum air 'paip sekolah' sahaja."
- Mantan Menteri Negara Kanan Sidek Saniff mengenai pengalaman semasa membesar di kampung.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >