Subuh
5:31
Syuruk
6:54
Zuhur
12:57
Asar
4:21
Maghrib
6:57
Isyak
8:12
Halal Food Map
Turn on your location  and discover halal restaurants near you.
Search Distance From Your Location = 1 KM
100 M 1 KM
No restaurant found within  from your distance.
Setempat0

Anak Melayu SG pertama menang anugerah kostum Golden Horse

Nov 23, 2020 | 05:30 AM

BEBERAPA Piala Pesta Perdana bagi kerja penerbitan dan rekaan imej cemerlang sudah tersusun di rak-rak butik pengantin pereka fesyen Singapura, Encik Azni Samdin.

Dalam beberapa hari lagi, piala berprestij Anugerah Golden Horse bagi Dandanan dan Rekaan Kostum Terbaik dalam filem mm2 Entertainment, Number 1, yang diterbangkan dari Taipei, Taiwan, akan menambah seri koleksi piala beliau.

Kelmarin, telefon bimbit Encik Azni, 50 tahun, dihujani ucapan tahniah sejurus diumumkan dari kejauhan Dewan Peringatan Sun Yat-sen, kemenangan berpihak padanya.

Beliau yang merupakan anak Melayu pertama meraih pengiktirafan pada majlis anugerah yang diberi julukan 'Oscars Dunia Perfileman Cina Sejagat' tidak dapat hadir ke majlis tersebut kerana komitmen tempahan busana pengantin di Singapura.

Jurudandan, Encik Raymond Kuek, yang berkongsi anugerah dengannya berada di Taipei bagi menerima anugerah tersebut.

Turut membawa pulang piala Golden Horse bagi Lagu Filem Ciptaan Asli Terbaik adalah penggubah lagu Singapura, Encik Tan Boon Wah, yang mencipta runut bunyi bagi filem Your Name Engraved Herein.

Pelakon komedi, Mark Lee, yang membawa watak utama dalam Number 1 sebagai jurutera sivil yang terdesak menyertai kumpulan 'drag' (lelaki berpakaian wanita) setelah dibuang kerja turut dicalonkan meskipun tumpas di tangan pelakon Taiwan, Mo Tzu-yi.

Sebelum ini, Encik Anthony Chen mencipta sejarah sebagai warga Singapura pertama meraih pengiktirafan di Anugerah Golden Horse pada 2013.

Beliau menerima Anugerah Filem Terbaik, Anugerah Pengarah Baru Terbaik dan Anugerah Naskhah Filem Terbaik menerusi filem Ilo Ilo.

Ketika dihubungi, Encik Azni, lulusan Diploma Rekaan Grafik Akademi Seni Halus Nanyang (Nafa), berkata:

"Alhamdulillah, saya percaya rezeki tidak pernah salah alamat walau masih payah menghadam berita baik ini. Dalam setiap kerja seni, biarlah orang menilainya.

"Baik buruk hasil ciptaan saya, ia akan terlihat orang. Saya tidak perlu pukul canang ia hasil kehebatan saya.

"Sebab, sejak dahulu, saya mendidik diri agar tidak mudah mendabik dada, berpuas hati atau merasa kita terbaik. Pastinya kita masih banyak kekurangan untuk diperbaiki.

"Yang penting, kita usahakan agar lebih banyak mendengar keperluan orang, berkomunikasi dengan jelas dan berikan komitmen sepenuhnya pada amanah kita."

Menurutnya yang cukup terdedah pada dunia hiburan Cina malah pernah menjadi penata gaya bintang Hong Kong, Sandy Lam ketika bertugas dengan syarikat Music & Movement, menebarkan rangkaian kenalan di luar pasaran Melayu itu perlu.

"Allah beri setiap orang bakat. Jangan sia-siakan. Buka mata, buka minda, kerja keras, ikhlaskan hati, timba ilmu dan hargai persahabatan. Hasilnya nanti menggembirakan.

"Ciptaan kostum berwarna-warni bagi Number 1 disesuaikan dengan suasana kelab malam ala kelab ikonik Singapura, Boom Boom Room. Saya berterima kasih diberi kepercayaan menyiapkannya.

"Moga persada filem Singapura terus maju di peringkat antarabangsa," katanya yang pernah bergelar penerbit rancangan hiburan, Bersama Ziana dan program kanak-kanak, Ya Alif.


"Alhamdulillah, saya percaya rezeki tidak pernah salah alamat walau masih payah menghadam berita baik ini. Dalam setiap kerja seni, biarlah orang menilainya. Baik buruk hasil ciptaan saya, ia akan terlihat orang. Saya tidak perlu pukul canang ia hasil kehebatan saya."
- Pereka fesyen Encik Azni Samdin yang memenangi Anugerah Golden Horse bagi Dandanan dan Rekaan Kostum Terbaik dalam filem 'Number 1'.

Video Baru

Podcast Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian