Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

BAHASA & BUDAYA

'Anak Melayu tak harus segan bawa lagu bercorak kemelayuan'

Penulis Hartinah Ahmad ingatkan anak seni, penulis lirik muda agar 'jangan hilangkan yang lama, tidak lupa asal-usul'
Sep 29, 2021 | 05:30 AM



Andainya aku bertanya

Padamu tentang bahagia

Di mana nilai setia

Di manakah puncak cinta...



Lagu Doa Buat Kekasih dendangan Ramli Sarip dan Khatijah Ibrahim memang cukup terkenal dan sudah bertahun-tahun menjadi halwa telinga masyarakat Melayu.



Namun, siapa sangka hendak mencari perkataan 'Andainya' itu sahaja memakan beberapa minggu lamanya bagi penulis lirik Hartinah Ahmad.



Mendedahkan demikian dalam ceramah Lirik Lagu: Layu di Kelopak Waktu, Cik Hartinah akur menulis lirik lagu jauh lebih sukar daripada menulis skrip 50 muka surat bagi drama televisyen.



"Sebab dalam ruang yang sangat terbatas itu, kita kena pilih ayat-ayat, perkataan-perkataan yang harus tepat maknanya," katanya.



Pemilihan kata dapat membezakan antara lirik yang baik dengan yang kurang baik, kongsinya semasa ceramah tersebut yang diadakan melalui wadah Zoom pada 11 September lalu.



Ia sebahagian daripada Siri Ceramah Anjung Warisan anjuran Perkhidmatan Bahasa Melayu, Lembaga Perpustakaan Negara (NLB).



Berkongsi kepakarannya, Cik Hartinah berkata, untuk menghasilkan lirik yang baik, terdapat empat ciri yang patut diambil kira.



Pertama, khalayak yang bakal menyanyikan lagu yang ditulis itu - "untuk siapa lirik itu ditulis?".



Kedua, perlambangan yang digunakan dalam lirik.



Memberi contoh, lagu Keroncong Bunga Lalang yang ditulis beliau dan dinyanyikan penyanyi To' Ki, menggunakan lalang sebagai lambang sesuatu yang mudah berubah arah, "cinta yang tidak setia", katanya.



"Buat masa itu, tidak ada lagu yang bertemakan begitu, jadi bila sesuatu itu bertema baru, orang suka sebab tema itu tak pernah didengar," jelas beliau.



Ketiga, kesudahan cerita dalam lirik.



"Kesudahan daripada lirik lagu itu harus sangat menawan sehingga orang cakap 'eh kesudahannya tidak diduga'... sedapnya itu datang dari situ, tak nak yang sama, sama, sama," ujarnya.



Keempat, Cik Hartinah menekankan kepentingan menggunakan dua, tiga perkataan yang tidak lazim digunakan.



Kata beliau lagi:



"Buka kamus, cari. Kalau kita ambil dan gunakan (perkataan baru), kita pakai satu lagi perbendaharaan kata yang dari situ, pendengar boleh belajar."



LAGU SEBAGAI KHAZANAH



"Semakin lama, semakin menurun (kualiti) lirik-lirik ini.



"(Penulis lirik yang baik) dah tinggal berapa kerat sahaja," luah Cik Hartinah, berkongsi pandangannya.



Sambung beliau:



"Bila anak-anak kita dah tak boleh berbahasa Melayu dengan baik, macam mana mereka nak menulis lirik dengan baik?



"Mereka tidak mendengar lagu-lagu Melayu... lagu adalah khazanah kita... kalau kita tak kekalkan, siapa lagi?



"Lagu ini tidak boleh dipisahkan daripada manusia, tidak kira tua, muda, lagu didengar.



"Jadi lagu yang baik, lirik yang baik adalah satu jaminan bahawa anak cucu kita nanti... jiwa Melayu, jiwa dakwah itu masih ada dalam harian mereka."



Beliau turut berpesan kepada anak-anak seni yang muda agar "jangan cepat nak menghilangkan yang lama".



USAH ANGGAP YANG LAMA DAH TAK GUNA



"Yang baru jangan menganggap yang lama itu dah tak berguna atau dah tak sesuai lagi di zaman ini," katanya, yang akur banyak lagu Melayu kini mempunyai pengaruh kebaratan.



Anak Melayu tidak seharusnya segan membawa lagu bercorak kemelayuan atau berjiwa Melayu, ujarnya.



"Sebab, kita tak boleh lari sebenarnya, kita tetap orang Melayu dalam golongan Melayu, mak bapak kita Melayu, masyarakat kita Melayu dan lagu-lagu itulah yang akan disokong oleh khalayak kita," tambahnya.



Cik Hartinah turut berkongsi harapannya agar penulis lirik muda tidak lupa asal usul mereka.



"Saya harap agar terlahir penulis-penulis baru... yang berpendidikan Inggeris tetapi mampu, mahu menulis, mencedok apa jua tentang Melayu, tentang kehebatan datuk nenek moyang kita yang sangat tinggi nilainya," kata beliau.




"Bila anak-anak kita dah tak boleh berbahasa Melayu dengan baik, macam mana mereka nak menulis lirik dengan baik? Mereka tidak mendengar lagu-lagu Melayu... lagu adalah khazanah kita... kalau kita tak kekalkan, siapa lagi? Lagu ini tidak boleh dipisahkan daripada manusia, tidak kira tua, muda, lagu didengar. Jadi lagu yang baik, lirik yang baik adalah satu jaminan bahawa anak cucu kita nanti... jiwa Melayu, jiwa dakwah itu masih ada dalam harian mereka."
- Penulis lirik Hartinah Ahmad.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >