Subuh
5:53
Syuruk
7:09
Zuhur
1:14
Asar
4:15
Maghrib
7:17
Isyak
8:25
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Anak muda giat hidupkan minat terhadap busana Melayu

Tubuh Tanjak Mahkota SG untuk adakan bengkel dan gerai pameran bagi promosi cara pemakaian sebenar ikut adat
Jan 07, 2019 | 05:30 AM



APA salahnya jika orang Melayu memakai baju Melayu lengkap dengan tanjak atau tengkolok, berkain samping dan bengkung serta dihias pula dengan pending di pinggang dan kerongsang di dada?



"Kenapa? Kita terasa canggung dan kekok berpakaian begitu ke majlis keramaian atau ke luar rumah?



"Kita berasa begitu kerana kita tidak biasa. Kita lebih terbiasa keluar dengan memakai topi atau cap menggantikan tanjak atau tengkolok dan lebih suka memakai tali pinggang dengan buckle pelbagai bentuk daripada memakai pending.



"Orang Melayu sebenarnya ada aksesori pakaian sendiri sebagai pakaian harian. Cuma kita perlu tukar cara berfikir dan menerima semula busana Melayu begini.



"Seseorang yang berpakaian baju Melayu lengkap dengan destar - iaitu pelbagai jenis hiasan kepala seperti tanjak, tengkolok, songkok atau semutar - dan hiasan pada baju seperti pending dan kerongsang tidak semestinya seorang pendekar, pahlawan atau pembesar. Pakaian begini sebenarnya adalah pakaian orang awam dalam adat Melayu," jelas Encik Muhammad Fairuz Zazali, pengasas Tanjak Mahkota SG by Bin Mansor, sebuah syarikat yang ditubuhkannya tahun lalu dengan tujuan mempromosi busana Melayu di sini.



Beliau, yang mempelajari adat dan cara pemakaian busana mengikut adat Melayu daripada gurunya di Akademi Seni Tradisional Warisan Melayu di Malaysia, berkata siapa-siapa juga boleh berpakaian sedemikian, asalkan beliau memakainya dengan cara yang betul mengikut adatnya.



"Budaya dan busana Melayu sebenarnya melambangkan kelembutan dan setiap pemakaian mempunyai makna tersendiri, bukan dipakai sesuka hati atau secara sembrono sahaja.



"Contohnya bagi lelaki Melayu, paras bawah kain samping - sama ada di atas atau di bawah lutut - melambangkan status lelaki itu.



"Mengikut adat, orang lelaki bujang akan menunjukkan statusnya dengan memakai kain samping di atas paras lutut, sementara orang lelaki yang sudah berkahwin akan memberitahukan statusnya dengan memakai kain samping di bawah paras lutut.



"Tetapi ramai yang tidak tahu dan memakai kain samping sembarangan. Ada yang bujang tetapi pakai di bawah lutut dan ada pula yang dah kahwin pakai samping di atas lutut.



"Ini jadi bahan ketawa orang yang tahu makna di sebalik adat. Bagi orang sudah berkahwin yang memakai samping di atas lutut, orang kata dia mahu kahwin lagi," terang Encik Muhammad Fairuz sambil berseloroh.



Bagi kaum Hawa pula, statusnya digambarkan dengan memakai kepala kain (bahagian kain yang berpetak dan bercorak) sama ada di depan atau di kiri.



Menurut adat, anak dara akan memakai kepala kain di depan, manakala yang sudah berumah tangga di bahagian kiri.



"Bagi mak cik atau kakak- kakak yang sudah bersuami dan beranak-pinak tetapi masih memakai kepala kain di depan jawaplah sendiri apa 'mesej tersirat' yang ingin disampaikannya," sambung Encik Muhammad Fairuz dengan senyuman.



"Mungkin juga ada yang berkata 'aku pakai begini siapa yang tahu. Asal cantik sudahlah'.



"Itu jawapan bagi orang yang tidak tahu, tetapi inilah yang mahu saya perbetulkan menerusi penubuhan Tanjak Mahkota SG iaitu memberi penerangan mengenai sejarah dan cara pemakaian busana Melayu yang betul."



Pemuda yang baru berusia 28 tahun itu menunjukkan minat mendalam dalam busana Melayu sejak kecil bermula dengan penyertaan dalam seni silat dan kerana dibiasakan dengan pakaian Melayu. Beliau kemudian belajar bermain alat muzik Melayu sebelum berpindah kepada busana Melayu.



"Minat saya dalam busana Melayu ini lebih daripada memakainya sahaja. Saya mahu tahu mengenai asal-usul dan sejarahnya dan cara memakainya mengikut adat sebenar orang Melayu.



"Dari situ, saya mula berguru dengan Cikgu Khairul Hafiz, seorang tenaga pengajar daripada Akademi Seni Tradisional Warisan Melayu yang berpusat di Shah Alam, Selangor, pada 2017.



"Cikgu Khairul Hafiz atau lebih dikenali sebagai Cikgu Mitchai ini seperguruan dengan Dr Johan Iskandar, pengasas akademi tersebut dan penulis buku Destar Alam Melayu," kata Encik Muhammad Fairuz, yang bekerja sebagai pemandu syarikat pengedar produk perubatan Zuellig Pharma di sini.



"Misi saya sekarang adalah memperkenal dan mengajak masyarakat umum di Singapura yang berminat untuk sama-sama mengenali dan membudayakan cara pemakaian busana Melayu yang betul," ujarnya.



Tanjak Mahkota SG kini telah pun mempunyai sekitar 900 pengikut di Facebook dan mengadakan tiga acara iaitu sebuah bengkel di Heartbeat @ Bedok pada September lalu dan dua pameran di Wisma Geylang Serai pada September 2018 dan Kejohanan Pencak Silat Sedunia di OCBC Arena pada bulan lalu.




"Minat saya dalam busana Melayu ini lebih daripada memakainya sahaja. Saya mahu tahu mengenai asal-usul dan sejarahnya dan cara memakainya mengikut adat sebenar orang Melayu.

Misi saya sekarang adalah memperkenal dan mengajak masyarakat umum di Singapura yang berminat untuk sama-sama mengenali dan membudayakan cara pemakaian busana Melayu yang betul."

- Encik Muhammad Fairuz Zazali, pengasas Tanjak Mahkota SG.




KESILAPAN BIASA DALAM PEMAKAIAN BAJU MELAYU



Paras kain samping tanda status (lelaki)



- Ramai tidak tahu makna di sebalik pemakaian kain samping. Kain samping yang dipakai di atas paras lutut menandakan status bujang, manakala kain samping yang dipakai di bawah lutut menggambarkan status sudah berkahwin. Sang suami yang memakai kain samping di atas paras lutut seolah-olah mahu menyampaikan mesej bahawa dia mahu berkahwin lagi



Pengantin lelaki pakai dokoh atau rantai berbentuk V atau tidak bertingkat. Hanya orang perempuan memakai rantai yang bertingkat



Ikatan bunga tanda jantina



- Orang lelaki sepatutnya mengikat atau membuat simpulan bengkung atau kain di sebelah kanan, manakala orang perempuan mengikatnya di sebelah kiri.



Kedudukan kepala kain tanda status (perempuan)



- Satu lagi kesilapan biasa. Kedudukan kepala kain di depan biasanya menandakan si pemakai anak dara, manakala kedudukan kepala kain di sebelah kiri adalah bagi yang sudah berkahwin. Kaum Hawa tidak boleh meletakkan kepala kain di belakang kerana ia kedudukan bagi kaum Adam




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >