Anak Peguam Kanan Tan Chee Meng dipenjara 4 bulan kerana elak NS

SEORANG lelaki yang mengelak Perkhidmatan Negara (NS) selama 10 tahun, antara 22 Dis 2004 dan 4 Mei 2015, dipenjara empat bulan pada Khamis (2 Feb).

Pada 13 Jan, Jonathan Tan Huai En, 28 tahun, anak sulung Peguam Kanan (SC) Tan Chee Meng, mengaku bersalah terhadap dua tuduhan tinggal di luar Singapura dalam tempoh tersebut.

Tan, adik lelaki, kakak dan ibunya, berhijrah ke Canada pada 1 Dis 2000, tanpa niat kembali ke Singapura.

Bapanya, bagaimanapun, kekal di sini disebabkan kurang peluang pekerjaan di luar negara.

Tan mendapat kerakyatan Canada pada awal 2005.

Antara 1 Dis tahun itu dan 30 Jun 2006, tiga surat dihantar ke alamat mereka di Singapura, meminta dia mendaftar untuk NS.

Apabila dia gagal hadir, pegawai Pangkalan Tenaga Rakyat (CPMB) pergi ke rumahnya pada Oktober dan November 2006.

Pada pertengahan 2009, SC Tan menelefon CMPB untuk berkata anak sulungnya mahu melepaskan kerakyatan Singapuranya.

Kira-kira dua bulan kemudian, SC Tan menghantar CMPB surat daripada peguamnya, menyatakan lagi permintaan anaknya.

Tetapi CMPB menjawab anaknya mesti berkhidmat dalam NS terlebih dahulu. Ia juga berkata Tan telah diklasifikasikan sebagai ingkar NS dan menggesanya kembali secepat mungkin.

Tan pulang ke Singapura pada 5 Mei 2015, dan didaftarkan untuk NS pada 8 Januari tahun lalu.

Dia akan merayu terhadap hukumannya dan ditawarkan ikat jamin $10,000.

Pihak pendakwaan meminta hukuman penjara lima bulan, dengan alasan Jonathan Tan meraih manfaat kerakyatan Singapura dengan melengkapkan pendidikan awal di sini tetapi tidak pernah mengambil sembarang tindakan konkrit untuk melepaskan kerakyatannya, walaupun telah perpindah ke Canada dan menjadi warga negara itu.

Tetapi pembelaan memohon mahkamah mengenakan denda atau hukuman berasaskan masyarakat, dengan hujah dia tidak dapat pulang lebih awal kerana ibunya mengalami masalah psikiatri.

Bagi kesalahan berada di luar Singapura tanpa permit keluar sah, dia boleh dihukum penjara hingga tiga tahun dan denda hingga $10,000.

Satu kes berasingan melibatkan seorang lagi anak SC Tan, Isaac Tan Yang En, 25 tahun, yang juga pulang ke Singapura selepas gagal menjalankan NS, masih dalam siasatan.