Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SAJIAN KHAS HARI INI: SEMANGAT WATAN

Anak S'pura miliki bersama 4 restoran di Dubai, Abu Dhabi, Sharjah di UAE

Cef Akmal dulu kendali gerai nasi padang orang tua di Teck Whye, jual flat 5 bilik di SG untuk tampung kos buka restoran pertama di Dubai
Jun 08, 2022 | 05:30 AM



BERAKIT-RAKIT dahulu, berenang-renang kemudian, bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian.



Begitulah prinsip cef muda yang sudah berjaya menempah nama di luar negara sekali gus meletakkan nama Singapura di peta dunia kulinari.



Cef Akmal Anuar, 40 tahun, kini pemilik bersama empat restoran di Dubai, Abu Dhabi dan Sharjah di Amiriah Arab Bersatu (UAE).



Restoran-restorannya pernah dikunjungi oleh ahli keluarga diraja negara itu selain selebriti dari seantero dunia.



Siapa dapat menduga inilah nasib seorang anak penjual nasi padang yang kini telah berjaya melebarkan sayap ke merata dunia.



Dari sewaktu remaja lagi Cef Akmal sudah pun ditugaskan membantu di gerai nasi padang ibu bapanya di Teck Whye.



Dari situ datang minat memasak dan seterusnya dia mendaftarkan diri di Pusat Latihan dan Pendidikan Persatuan Hotel Singapura (Shatec) tetapi mengaku dia tidak cemerlang dalam kursus tiga tahun yang diambilnya.



"Saya tidak serius ketika belajar dulu tetapi saya terus bekerja dan mendapatkan pengalaman di luar," jelasnya.



Kejayaannya itu tidak datang bergolek, malah Cef Akmal pernah jatuh dan berasa perit jerih dalam kerjayanya.



Kali pertama Cef Akmal bekerja di Dubai ialah pada 2013 dan dia bekerja di restoran sebuah hotel ternama.



Dua tahun berlalu dan hasrat untuk membuka restorannya sendiri kian membara dalam dirinya.



Melihat potensi besar di Dubai, dia mengambil keputusan menjual rumah lima biliknya di Singapura untuk membantu menampung kos untuk membiayai impiannya itu.



Mengimbas kembali masa-masa susah yang terpaksa ditempuhinya, Cef Akmal berkata bahawa walau apa pun kesusahan yang dihadapinya, untuk menyerah, tidak sama sekali.



"Risiko untuk memulakan perniagaan baru amat tinggi dan menakutkan, tetapi saya ada keluarga, ada tiga orang anak, harus tanggung perbelanjaan rumah dan sekolah mereka, saya tak boleh berhenti. Jadi saya tidak putus asa untuk cari jalan keluar," kata Cef Akmal yang mempunyai tiga orang anak perempuan yang kini berusia enam, lapan dan 14 tahun.



Mereka sekeluarga menetap di Dubai dan isteri Cef Akmal, Cik Inez Tantyanna, 36 tahun, juga merupakan tulang belakangnya dan kini rakan kongsi yang sentiasa mendampinginya dalam segala urusan perniagaan dan peribadi.



Restoran pertama yang dibuka dan dimiliki Cef Akmal bersama rakan kongsi lain ialah Restoran 3 Fils di Dubai.



Restoran tersebut dibina dengan wang dan titik peluhnya sendiri bersama dengan beberapa rakan kongsi dan akhirnya berjaya mendapat perhatian orang ternama di bandar tersebut hingga merangkul beberapa anugerah termasuk anugerah Restoran Asia Terbaik di Dubai oleh majalah TimeOut selama lima tahun berturut-turut.



Pada 2019, majalah antarabangsa Forbes juga mengiktiraf restorannya itu antara '10 Coolest Places to Eat in 2019'.



Namun seperti perniagaan lain, 3 Fils juga turut terjejas apabila pandemik Covid-19 memberikan cabaran baru buatnya.



Setelah enam tahun bersama 3 Fils, Cef Akmal membuat keputusan untuk menarik diri daripada restoran tersebut.



"3 Fils ialah peniagaan saya yang pertama, jadi saya tidak tahu apa-apa, masih amatur, saya terpaksa belajar daripada kesusahan dan kesilapan," kata Cef Akmal.



Ditanya apakah titik terendah dalam hidupnya, Cef Akmal mengakui tidak semestinya bersangkut paut dengan wang ringgit.



Dia berkata:



"Kehilangan pekerja yang saya percayai, kehilangan peluang dan kehilangan perniagaan juga menyedihkan saya tetapi saya tahu, kadangkala, kita perlu menjalaninya untuk meraih kejayaan yang lain."



Terkini, restoran 3 Fils baru dinobatkan antara 50 restoran terbaik di dunia, walaupun Cef Akmal tidak lagi bersama mereka.



Bagaimanapun dalam suasana pandemik yang tidak menentu, Cef Akmal tidak berpeluk tubuh bahkan dia giat melakarkan pelan seterusnya.



Dia bangkit semula dengan memberikan khidmat konsultasi restoran di bawah syarikat White Rice Consultancy bersama isterinya dan berjaya mendapat pelabur untuk memulakan perniagaan restoran baharu.



Bermula dengan Goldfish Sushi & Yakitori, sebuah usaha sama dengan Sunset Hospitality, syarikat pelaburan dan pengurusan hospitaliti terkemuka dan berbilang negara yang diiktiraf, pelaburan 1.4 juta dirham ($525,710) ternyata berjaya mengaup keuntungan hanya selepas empat bulan beroperasi.



Dalam masa tiga bulan sahaja restoran Goldfish mendapat pencalonan oleh TimeOut sebagai Pendatang Baharu terbaik.



Kejayaan itu diikuti dengan pelaburan lebih besar untuk restoran seterusnya, 11 Woodfire di Jumeirah, Dubai, yang berkonsep makanan panggang (BBQ).



11 Woodfire ialah kerjasama antara Cef Akmal dengan syarikat pelaburan restoran dan gaya hidup, Atelier House Hospitality dengan pelaburan tertingginya, sebanyak tujuh juta dirham.



Pada masa yang sama, Cef Akmal juga menubuhkan restoran makanan Jepun di Abu Dhabi yang bernama Restoran Otoro bersama seorang pelabur tempatan.



Di Sharjah, projek konsultasi restoran di sebuah perpustakaan ikonik House of Wisdom, bagi Restoran Chie yang menyediakan makanan Mediterranean dan Itali, juga telah ditawarkan kepada White Rice Consultancy sebagai pemilik saham bersama.



Pembukaan restoran itu dirasmikan oleh pemimpin Sharjah, Sheik Sultan Al Qassimi.



Sewaktu dihubungi baru-baru ini, Cef Akmal berada di Amerika Syarikat dan sedang bersiap sedia untuk pelancaran restoran 53 NYC di Manhattan yang melibatkannya sebagai konsultan.



Pada hujung tahun pula, dia akan berangkat ke London, untuk pembukaan cawangan lain dalam satu lagi projek konsultasi yang inginkan kemahiran dan sentuhan Asia kontemporarinya.



Bulan lalu, Cef Akmal mengaup Anugerah Kecemerlangan dalam Gastronomi oleh INC Award, yang mengiktiraf cef antarabangsa yang telah membuat sumbangan besar kepada persada gastronomi: ciptaan masakan dan pembangunan produk baharu termasuk kacang dan/atau buah-buahan kering.



Anugerah ini pernah dirangkul Cef hebat sedunia seperti Cef Ferran Adria (Restoran El Bulli, Sepanyol) dan Cef Neil Perry (Restoran Rockpool, Australia).



Beberapa perniagaan lain juga dalam perancangan untuk masa terdekat ini.



Baru-baru ini, syarikatnya White Rice Consultancy memperolehi tempat untuk membuka sebuah restoran burger di Dubai.



Kata anak watan Singapura yang tidak mengenal lelah ini:



"Nama saya sudah dikenali sebagai sebuah jenama dan ini membuka jalan dan peluang untuk ke pasaran global.



"...Kita boleh bekerja sekeras jika kita mahu tetapi Allah saja yang boleh tentukan ini (kejayaan) semua."




"Risiko untuk memulakan perniagaan baru amat tinggi dan menakutkan, tetapi saya ada keluarga, ada tiga orang anak, harus tanggung perbelanjaan rumah dan sekolah mereka, saya tak boleh berhenti. Jadi saya tidak putus asa untuk cari jalan keluar."
- Cef Akmal Anuar mengenai pendiriannya apabila berdepan dengan apa juga kesukaran dalam perniagaan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >