Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

'Ancaman asing dari Internet boleh buat negara pecah belah walau tiada perang'

Shanmugam perjelas mengapa SG perlu keselamatan dalam negeri kukuh, undang-undang dan SAF
Aug 05, 2022 | 05:30 AM



SEBUAH negara boleh berpecah belah meskipun tiada perang berlaku disebabkan ancaman asing daripada Internet, yang boleh diguna untuk menyebabkan perpecahan berunsurkam kaum dan agama.



Atas sebab ini, Singapura perlu mempunyai keselamatan dalam negeri kukuh bagi mengendali isu itu, termasuk dari segi undang-undang, selain mempunyai sebuah Angkatan Bersenjata (SAF).



Demikian dinyatakan Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, dalam ucapannya semasa upacara memperingati Hari Kebangsaan di Akademi Home Team semalam.



Beliau menyampaikan ucapan itu menyusuli keadaan geopolitik dunia yang sedang rumit ekoran perang antara Russia dan Ukraine serta ketegangan antara Amerika Syarikat dengan Cina.



Encik Shanmugam berkata tanpa perang sekalipun Internet berupaya mendedahkan perpecahan. Salah satunya adalah sebuah doktrin daripada Russia yang bernama doktrin Gerasimov.



Doktrin itu memanfaatkan potensi menggalak protes rakyat sesebuah negara - isu perkauman dan agama, misalnya, dalam konteks Singapura - yang membuat sesuatu pihak memikirkan mereka diserang pihak lain dalam negara sendiri, lantas menyebabkan negara itu tidak berupaya mempertahankan diri sendiri.



"Jadi ini telah menjadikan keselamatan dalam negeri lebih penting. Singapura harus mempunyai Home Team teguh, ISD (Jabatan Keselamatan Dalam Negeri) yang berupaya dan sebuah populasi yang memahami realiti itu, dan mengendali percubaan pihak asing mendedahkan perpecahan, baik berunsur kaum dan agama mahupun kelas atau ekonomi."



Antara lain, pemerintah telah mempertingkat usaha undang-undang bagi mengendali isu itu sejak kebelakangan ini, kata Encik Shanmugam.



Ini termasuk menguatkan Akta Mengekalkan Keharmonian Agama (MRHA), mengutarakan undang-undang bagi Keharmonian Kaum, Akta Campur Tangan Asing (Langkah Tindakan Balas), atau Fica; Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Dalam Talian (Pofma) serta legislasi lain.



Encik Shanmugam menegaskan hanya rakyat Singapura yang boleh menjamin keselamatan mereka sendiri.



Beliau merujuk kepada peperangan Russia dengan Ukraine sebagai contoh "sebuah negara harus menilai dengan teliti apa niat negara lain, dan menerima segala pujukan dengan berhati-hati, dan sentiasa bersedia mempertahankan diri sendiri".



Singapura juga tidak terkecuali daripada isu itu dan telah menerima beberapa tekanan dari negara jiran, seperti isu ruang udara, lautan, tenaga elektrik, air dan ekonomi, katanya.



"Singapura harus bersedia, dan berjaya. Dari segi ekonomi, politik dan sosial... Jika tidak, kita hanya sebuah batu di hujung selatan semenanjung Malaysia," kata beliau.



Selain itu, Encik Shanmugam menekankan bahawa Home Team harus sedar cabaran yang dilalui rakyat memenyusuli inflasi ekoran peperangan di Eropah itu.



Satu tinjauan penduduk di Yishun mendapati rata-rata hingga 20 peratus pendapatan isi rumah diguna untuk menampung kos makanan dan utiliti.



"Rakyat kita tertekan, tetapi nasib baik belum lagi terlalu tertekan... rakyat kita mempunyai pekerjaan dan berupaya menyara diri. Alasan saya kongsi ini ialah... apa yang sedang berlaku dalam masyarakat membawa kesan kepada negara dan keselamatan kita.



"Sebagai Home Team, anda menjaga keselamatan. Tapi tugas anda mustahil jika rakyat susah mencari makanan."



Upacara semalam termasuk penyampaian Anugerah Hari Kebangsaan Kementerian Ehwal Dalam Negeri kepada 105 pegawai dan 15 relawan Home Team, lapan pertubuhan, tiga projek berkumpulan dan 82 orang awam.



Menteri Kanan, yang juga Menteri Penyelaras Bagi Keselamatan Negara, Encik Teo Chee Hean; Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim; dan Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Dalam Negeri), Cik Sun Xueling, turut hadir di upacara itu.




"Singapura harus bersedia, dan berjaya. Dari segi ekonomi, politik dan sosial... Jika tidak, kita hanya sebuah batu di hujung selatan semenanjung Malaysia."



- Encik K. Shanmugam, Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >