SATU ancaman bom yang dilaporkan di Sekolah Menengah Evergreen pada pagi Khamis (21 Julai) dikenal pasti polis sebagai satu laporan palsu, kata Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing dalam hantaran Facebook.
Seorang remaja lelaki sedang membantu dalam siasatan, jelas polis.
Kakitangan sekolah di Woodlands itu telah memberitahu polis mengenai ancaman bom itu sekitar 7.40 pagi Khamis.
Dalam catatannya, Encik Chan berkata: "Polis memberi respons segera dan menjalankan pemeriksaan terperinci pada perkarangan sekolah itu.
"Polis telah tamat menjalankan pemeriksaan keselamatan dan mengenal pasti bahawa ia merupakan ancaman palsu."
Encik Chan berkata kakitangan dan pelajar sekolah kekal bertenang dengan rancangan mengosongkan ruang sekolah berjalan lancar seperti yang dirancang.
Semua pelajar yang berada di sekolah diminta pulang sebagai langkah berjaga-jaga.
Ibu bapa mereka juga dimaklumkan menerusi aplikasi telefon bimbit Parents Gateway agar tidak menghantar anak-anak mereka ke sekolah.