Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Angka korban gempa Hokkaido meningkat seganda

Sep 08, 2018 | 05:30 AM



TOKYO: Jumlah korban akibat gempa bumi kuat yang menggegarkan pulau Hokkaido di utara Jepun meningkat lebih seganda kepada 18 orang, kata Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe pagi semalam, dengan lebih separuh daripada 5.3 juta penduduk masih ketiadaan bekalan elektrik.



Gempa sekuat 6.7 pada skala Richter itu, yang melanda sebelum fajar kelmarin, mencetuskan tanah runtuh yang menimbuskan rumah-rumah dan melumpuhkan Hokkaido dek bekalan elektrik dan pengangkutan terputus secara meluas.



Jumlah kematian dilaporkan lapan orang kelmarin, tetapi penyiar NHK menyebut Encik Abe melaporkan angka baru itu tidak lama selepas beliau mengadakan mesyuarat kecemasan pada awal semalam.



Seramai 26 orang hilang, kata pihak berkuasa pengurusan bencana.



"Kami dengar ada orang masih terperangkap dalam lumpur, jadi kami bekerja sepanjang masa tetapi sukar menyelamatkan mereka," kata seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam di Atsuma kepada NHK.



"Kami akan mengambil langkah-langkah untuk mencari mereka dengan cepat."



Seorang wanita tua di daerah Atsuma memberitahu NHK:



"Saudara saya masih tertimbus dalam lumpur dan belum dijumpai, jadi saya tidak dapat tidur malam tadi. Terdapat juga beberapa gempa susulan hingga keadaan tidak tenang malam itu."



Namun memandangkan kekuatan gempa itu, angka kematian agak kecil, dengan majoriti mangsa terkorban disebabkan tanah runtuh di daerah Atsuma.



Pulau itu, sebuah destinasi pelancongan terkenal dengan pergunungannya, tasik dan makanan laut, kehilangan bekalan elektrik selepas gempa tersebut apabila syarikat Hokkaido Electric Power Co menutup loji janakuasa bahan api fosilnya sebagai langkah berjaga-jaga.



Syarikat perbekalan itu telah memulihkan kuasa kepada kira-kira 1.31 juta daripada 2.95 juta pelanggan menjelang awal semalam, kata Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Perusahaan.



Usaha memulihkan bekalan elektrik sepenuhnya mungkin mengambil masa sekurang-kurangnya seminggu, kata menterinya, Encik Hiroshige Seko.



Gempa itu merupakan bencana kedua yang melanda Jepun minggu ini, selepas musim panas yang menyaksikan negara itu dipukul taufan maut, banjir dan gelombang haba mencecah paras rekod.



Lapangan Terbang Kansai ditutup sejak taufan Jebi membadai Osaka Selasa lalu, walaupun beberapa penerbangan domestik yang dikendalikan oleh Japan Airlines (JAL) dan syarikat penerbangan tambang murah ANA, Peach Aviation, disambung semalam, kata para pembawa.



Di lapangan terbang utama Hokkaido, New Chitose, JAL sedang bersiap untuk memulakan semula beberapa penerbangan dari 11 pagi semalam, kata seorang jurucakap.



ANA membatalkan semua penerbangan pagi tetapi akan meneruskan operasi seperti biasa pada sebelah petang, kata seorang jurucakap.



Syarikat pengangkutan JR Hokkaido merancang meneruskan operasi kereta api kelajuan tinggi mulai tengah hari semalam.



Ia juga cuba meneruskan perkhidmatan kereta api lain petang semalam, kata seorang jurucakap.



Bagaimanapun, pekilang masih terjejas oleh gangguan kuasa.



Kilang Tomakomai Toyota Motor Corp, yang membuat sistem gear dan bahagian lain, berkata operasinya masih digantung bagi tempoh masa yang tidak pasti sehingga kuasa dipulihkan, kata jurucakap syarikat itu.



Operasi Toppan Printing di sebuah kilang di Chitose, yang membuat pakej makanan, akan terus digantung sehingga ia mendapat semula bekalan elektrik, menurut seorang jurucakap.



Acara kebudayaan dan sukan turut terjejas, dengan perlawanan bola sepak persahabatan antara Jepun dan Chile yang dijadualkan berlangsung semalam di Sapporo dibatalkan. - Reuters.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >