Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

ALAT TEKNOLOGI TINGGI HOME TEAM

Anjing robotik 'pelindung' pegawai di tempat berbahaya

Jan 26, 2022 | 05:30 AM



APABILA dimaklumkan tentang kebocoran gas, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) akan menghantar "pegawai berkaki empat" ke zon bahaya, bukannya mengerah pegawai manusia yang berpakaian bahan bahaya atau hazmat.



Dipanggil Rover-X, pegawai berupa anjing robotik ini padat dengan penderia dan kamera serta boleh bergerak secara autonomi.



Malah, ia juga boleh mendaki tangga dan adangan lain yang biasanya menghalang pergerakan robot tradisional yang bergerak menggunakan trek atau roda.



Keupayaan anjing robotik yang menarik perhatian ini ditunjukkan kepada media dalam satu sesi demonstrasi pada baru-baru ini yang diadakan oleh Agensi Sains dan Teknologi Home Team (HTX), SCDF dan polis.



Tempoh ujian dijangka berakhir pada pertengahan tahun, dengan SCDF dan polis berminat untuk memanfaatkan Rover-X untuk mempertingkat keselamatan dan keberkesanan kakitangan barisan hadapan, serta membebaskan mereka daripada tugas rutin yang berulang.



Rover-X, misalnya, boleh membantu polis dengan menjalankan rondaan bebas.



Kerjasama antara H`2TX, Ghost Robotics, Klass Engineering and Solutions serta Agensi Sains, Teknologi dan Penyelidikan, ia diumumkan semasa pelancaran HTX pada 2019.



HTX kemudian menyatakan bahawa ia boleh digunakan sebagai responden pertama untuk mengukuhkan kerja menyelamat bencana dan melindungi nyawa.



"Rover-X bermula sebagai anjing robotik untuk operasi mencari dan menyelamat, dan kini kami telah meluaskan penggunaannya dalam Home Team.



"Jurutera kami bekerja rapat dengan pegawai barisan hadapan untuk memahami operasi dan keperluan unik mereka, dan menguji dengan teliti banyak lelaran untuk mereka bentuk dan menyampaikan keupayaan yang mereka perlukan," kata Encik Ong Ka Hing, timbalan pengarah sistem darat di pusat pakar robotik, automasi dan sistem tanpa pemandu HTX.



Leftenan Kolonel Kenneth Mak dari jabatan HazMat SCDF berkata:



"Pakar hazmat SCDF beroperasi dalam persekitaran yang dinamik dan berisiko.



"Menggunakan Rover-X dahulu dan tidak mengerahkan pegawai kami dahulu ke kawasan berisiko tinggi akan meningkatkan keselamatan untuk kakitangan kami.



"Ini, apabila digabungkan dengan keupayaan pengesanan dan pemantauan robot yang lebih lanjut, membolehkan SCDF menguruskan insiden hazmat tersebut dengan lebih berkesan dan selamat."



Bagi polis, keupayaan robot itu untuk mengiringi pegawai yang melakukan rondaan dan sentiasa mengimbas persekitaran untuk mengenal pasti ancaman juga menjadikannya rakan kongsi yang berpotensi baik untuk pegawai barisan hadapan.



Menggunakan analisis video, Rover-X boleh mengesan orang di kawasan yang tidak dibenarkan dan bagasi yang tidak diawasi. Ia juga boleh menjalankan rondaan secara bebas dan memberi amaran lebih awal kepada polis berhubung sebarang potensi ancaman.



Timbalan Superintenden Polis Lim Jim Kai, di jabatan operasi dan perancangan masa depan, berkata:



"Keupayaan Rover-X mengesan ancaman lebih awal membolehkan pegawai kami lebih bersedia menentang pencerobohan dan keganasan."



Dengan menjalankan rondaan bebas, ia akan membolehkan pegawai polis memberi tumpuan kepada tugas yang lebih kritikal dan lebih berkesan dalam tugas keselamatan mereka, tambahnya.



Jurutera HTX Goh Boon Kiat berkata agensi itu juga sedang membangunkan "mod penerokaan" robot itu, di mana ia akan dapat mengemudi secara autonomi di sekitar tempat tanpa laluan yang telah dipetakan sebelumnya.



Encik Cheng Wee Kiang, pengarah pusat kepakaran robotik, automasi dan sistem tanpa pemandu HTX, berkata:



"Pembangunan Rover-X akan mengubah cara operasi keselamatan tanah air dijalankan pada masa hadapan."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >