Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:08
Isyak
8:22

Anjung @ Wisma Geylang Serai dijangka siap tahun depan

Setempat
27
0

BERITA - JALUR BUDAYA GEYLANG SERAI

Anjung @ Wisma Geylang Serai dijangka siap tahun depan

Maliki: Anjung@WGS dibina beri ruang pertemuan yang sesuai untuk masyarakat, penduduk di peringkat akar umbi; Ia sebahagian projek Jalur Budaya Geylang Serai; Seni batik bakal hiasi Geylang Road.
Jan 23, 2021 | 05:30 AM

DIJANGKA siap menjelang hujung tahun depan, ruang yang digelar 'Anjung@Wisma Geylang Serai (WGS)' akan menawarkan tempat bagi kegiatan sosial seperti acara sukan dan majlis perkahwinan.

Kemudahan berbumbung di Engku Aman Road bersebelahan bangunan WGS itu akan mempunyai ruang binaan seluas 1,810 meter persegi.

Apabila siap nanti, kemudahan itu akan diurus oleh WGS dan akan terbuka untuk tempahan melalui Persatuan Rakyat (PA).

Reka bentuk Anjung@Wisma Geylang Serai itu didedahkan Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Maliki Osman, semalam, dalam satu acara sambutan ulang tahun kedua WGS tahun ini.

"Anjung@WGS dibina dengan tujuan untuk menyediakan ruang pertemuan yang sesuai untuk masyarakat dan penduduk di peringkat akar umbi," kata Dr Maliki.

Pembangunan Anjung@WGS itu ialah sebahagian daripada projek Jalur Budaya Geylang Serai bagi meraikan sejarah dan warisan kawasan tersebut.

Jalur itu meliputi kawasan Tanjong Katong Complex hingga Kelab Masyarakat (CC) Kampong Ubi, iaitu sepanjang Geylang Road dan Sims Avenue.

Pembangunan kawasan itu kali pertama diumumkan di Rapat Hari Kebangsaan 2018 oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong, yang melantik Dr Maliki bagi menerajui projek tersebut.

Di bawah inisiatif itu, pelbagai projek peningkatan prasarana bakal dilaksanakan di sekitar kawasan Geylang Serai, termasuk rancangan memperluas laluan pejalan kaki, mengubah laluan trafik, dan meningkatkan muka bangunan seperti Pasar Geylang Serai dan Joo Chiat Complex.

Secara keseluruhannya, projek yang melibatkan pelbagai agensi pemerintah itu dijangka selesai pada 2024.

Selain program peningkatan prasarana, pelbagai acara masyarakat juga bakal dirancang untuk menghidupkan kawasan tersebut.

Satu pertandingan reka bentuk juga akan diadakan dari Januari hingga Mac tahun ini untuk melaksanakan projek tertentu bagi menyuntik nafas baru di kawasan itu, khususnya di depan Pasar Geylang Serai dan Joo Chiat Complex, serta pembinaan simpang yang ikonik di hadapan Wisma Geylang Serai (WGS).

"Kami ingin rakyat Singapura serta pelancong untuk mengunjungi kawasan budaya ini dan menikmati pembangunan dan program baru yang dianjurkan di kawasan ini, dan menghidupkan kembali tempat yang kaya dengan sejarah dan warisan ini," kata Dr Maliki.

Katanya lagi, rancangan bagi kawasan itu itu dilakar selepas satu siri pendekatan orang awam merangkumi bengkel, sesi townhall dan perbincangan kumpulan kecil yang menarik lebih 10,000 respons.

Dalam pada itu, pemasangan seni lukisan batik akan dipamerkan di sepanjang Geylang Road berhadapan bangunan Wisma Geylang Serai sebahagian daripada usaha untuk menghiasi kawasan itu.

Antara program masyarakat yang bakal diperkenalkan termasuk inisiatif 'Jalan-Jalan Geylang Serai', satu program jejak warisan yang memaparkan pelbagai tempat menarik di kawasan tersebut.

WGS menyambut ulang tahun keduanya menerusi kegiatan yang berlangsung dari semalam hingga Ahad ini.

Pengurus besar WGS, Encik Nur Effendi Esa, berkata pihaknya ingin terus bergabung tenaga dengan pertubuhan Melayu yang lain dan "saling memainkan peranan membangunkan masyarakat melalui perkhidmatan yang disediakan".

"WGS akan terus berusaha untuk menjadi sumber perangsang pergaulan masyarakat dan perpaduan negara," katanya.


"Banyak lagi yang kita boleh lakukan untuk kukuhkan identiti budaya yang tersendiri di Geylang Serai, dari Tanjong Katong Complex hinggalah ke Kelab Masyarakat Kampong Ubi. Wisma Geylang Serai boleh anjurkan kegiatan di tanah lapang dan tempat letak kereta yang berdekatan. Kita juga boleh mencantik dan menyepadukan nyalaan lampu bangunan di sekitarnya pada waktu malam. Simpang jalan di hadapan WGS akan dijadikan mercu tanda supaya para pengunjung lebih teruja apabila mereka tiba. Saya melantik (Menteri di Pejabat Perdana Menteri Dr Mohamad Maliki Osman) untuk memimpin projek ini. Dr Maliki akan bekerjasama dengan Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (Mesra), para peniaga di kawasan itu, serta agensi pemerintah. Beliau juga akan dekati masyarakat Melayu dan rakyat Singapura yang lain untuk kumpul idea dan buat saranan kepada pemerintah. Saya yakin apabila saya ke situ lagi, Geylang Serai pasti lebih meriah dan istimewa."
- Perdana Menteri Encik Lee Hsien Loong, sewaktu Rapat Umum Hari Kebangsaan 2018.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3