Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

BHalal: Ruang Info Halal

Antara halal, haram dan waswas...

Berikut interviu e-mel bersama Ustaz Khairul Anwar Mohamed Aznan bersama BERITA MINGGU yang menyentuh tentang halal.
Nov 17, 2019 | 05:30 AM



SOALAN: APAKAH HALAL DARI SEGI ISLAM SECARA AM?



JAWAPAN: Al-Quran dan Sunah adalah sumber utama umat Islam. Sebagai umat Islam kita meyakini bahawa agama ini meletakkan garis panduan bagi penganutnya.



Ini termasuk garis panduan yang membimbing umat Islam dalam menjalani kehidupan seharian mereka adalah konsep halal dan lawannya iaitu haram.



Melaluinya kita mengetahui manakah perkara yang dibolehkan dan manakah yang ditegah, bahkan mana yang baik dan mana yang tidak bagi kita di dunia mahupun di akhirat.



Dari itu halal dan haram di dalam Islam tidaklah tertumpu hanya kepada makanan semata-mata, tetapi mencakupi setiap aspek kehidupan manusia.



Perlu juga diketahui bahawa setiap perkara itu pada asalnya adalah halal, kecuali apabila terdapat bukti dari sumber utama (Al-Quran mahupun As-Sunah) bahawa hal atau perkara tersebut adalah haram.



Dari itu sikap seorang Muslim pada asalnya adalah sesuatu perkara itu adalah dibolehkan kecuali apabila terdapat bukti atau petanda bahawa ia adalah haram.



Rujuk surah Al-A'raaf ayat 32. Firman-Nya: "Katakanlah (wahai Muhammad saw): Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah swt yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakan-Nya?"



Perlu juga ditekankan di sini bahawa di dalam Al-Quran, Allah melarang orang-orang yang beriman daripada mengharamkan sesuatu yang telah dihalalkan Allah.



Ini sebuah peringatan di dalam kita menginginkan halal, jangan sampai kita tergesa-gesa untuk mengharamkan yang halal. Secara umum perkara yang haram di dalam agama itu adalah perkara-perkara yang berbentuk dosa, kemaksiatan, buruk dan keji, serta hal-hal yang memudaratkan.



Rujuk firman Allah di dalam Surah Al-A'raaf ayat ke 33.



SOALAN: PADA AWAL PEMBENTUKAN ISLAM, BAGAIMANAKAH RASULULLAH DAN PARA SAHABAT MENANGANI ISU-ISU HALAL DAN HARAM YANG MASIH DIANGGAP BARU PADA KETIKA ITU?



JAWAPAN: Di awal pembentukan Islam semasa hayat Baginda Nabi Muhammad, para Sahabat akan merujukkan semua perkara kepada Baginda.



Rasulullah pula akan memberikan jawapan berdasarkan perintah yang diwahyukan oleh Allah.



Ada masa, perintah itu turun langsung tanpa sebarang pertanyaan daripada mereka, lalu Baginda mengajarkan hal tersebut kepada para Sahabat.



Namun detik Islam semakin berkembang maka mulalah sebahagian para sahabat yang ditugaskan oleh Nabi di luar Makkah dan Madinah mengeluarkan hukum berdasarkan pendapat yang diraih dari kefahaman mereka terhadap Al-Quran dan Sunah.



Ini kerana kedudukan mereka yang amat jauh dari Rasulullah sehingga ia tidak memungkinkan mereka untuk mendapatkan bimbingan langsung daripadanya.



Sebagai contoh apabila sahabat Mu'adz Bin Jabal pulang dari tugasannya di Yaman, Nabi Muhammad bertanya: "Bagaimanakah engkau mengeluarkan hukum?"



Maka Mu'adz menjawab dengan merujuk kepada Kitab Allah dan Sunah Rasulullah. Lalu Nabi bertanya bagaimana jika beliau tidak menemukannya secara jelas di dalam Al-Quran dan Hadis Baginda, Mu'adz menjawab:



"Aku berijtihad dengan pandanganku dan aku tidak melampaui batas." (Hadis RiwayatAhmad, Ad-Darimi, Abu Dawud & Tirmidzi)



SOALAN: BAGAIMANAKAH DAPAT KITA BERSIKAP FLEKSIBEL MENDEKATI ISU HALAL DALAM KEHIDUPAN KITA SEBAGAI MASYARAKAT MINORITI ISLAM DI SINI?



JAWAPAN: Perlu difahami bahawa agama Islam adalah agama yang sememangnya mudah dan fleksibel. Islam tidak bertujuan untuk mengongkong atau menyusahkan kehidupan manusia. Tujuan hukum-hakam yang terdapat di dalam agama kita adalah untuk membimbing kita dan memastikan kita terhindar daripada keburukan



Di dalam sebuah riwayat, Aisyah ra menyatakan bahawa: "Tidaklah Rasulullah diminta untuk memilih antara dua perkara, kecuali Baginda akan memilih yang paling ringan (yakni mudah) dari antara duanya."



Di dalam hadis yang lain, Rasulullah juga bersabda:



"Agama ini mudah, barangsiapa yang ingin menyukarkannya maka mereka akan tewas." (Hadis Riwayat Bukhari)



Seringkali sebagai umat Islam kita merasakan bahawa yang haram itu lebih banyak, namun pada pendapat saya, yang haram itu sedikit kalau ingin dibandingkan dengan yang halal dan dibolehkan di dalam agama.



Tinggal lagi untuk menjadi yakin kita perlu kepada ilmu dan kefahaman yang jelas berkenaan halal dan haram. Ilmu yang luas dan sikap berlapang dada terhadap kepelbagaian di dalam tradisi Islam itu juga akan dapat membantu kita dalam mendapatkan huraian bagi keadaan yang berbeza-beza.



SOALAN: BAGAIMANAKAH DAPAT KITA BERALIH DARIPADA BERSIKAP WAS-WAS TENTANG SESUATU PERKARA KEPADA MERASA YAKIN TENTANG KEHALALANNYA?



JAWAPAN: Sekali lagi saya tekankan kepentingan ilmu. Dengan kefahaman yang jelas dan luas, kita akan lebih yakin dan tidak mudah tewas dengan perasaan waswas.



Sikap berhati-hati atau warak itu adalah baik, namun yang menjadi masalah apabila kita waswas dengan sesuatu yang telah jelas kehalalannya.



Sebagai contoh, kita meragui makanan yang dimasak bangsa lain walaupun kita tahu dengan jelas bahawa setiap isi kandungan masakan tersebut adalah halal dan baik dimakan. Inilah yang dinamakan waswas, meragui sesuatu walaupun hal tersebut telah jelas bagi kita.



Di dalam Fiqh terdapat sebuah kaedah yang bermaksud "Yakin tidak boleh dihilangkan dengan syak".



Kaedah ini bermaksud apabila sesuatu perkara itu jelas, kita tidak boleh menggunakan prasangka atau kemungkinan-kemungkinan untuk menolak atau menidakkan kejelasan tersebut.



Sebagai contoh lagi, makanan yang dibawa oleh khidmat penghantaran makanan (seperti GrabFood misalnya), makanannya jelas halal, kita tidak boleh menolak kehalalan makanan itu hanya kerana "mungkin" pembawa makan telah menukar makanan itu ke dalam bungkusan yang berbekas khinzir umpamanya.



Kecuali jika benar kita mempunyai bukti yang jelas, barulah kita mengelakkannya.



Terdapat trend hari ini di mana kita terlalu taksub dengan soal halal-haram sehingga semua perkara perlu halal.



Halal itu adalah sebuah keperluan bagi umat Islam. Namun harus dibezakan antara halal menurut syarak dan logo halal.



Logo halal adalah usaha Majlis Ugama Islam Singapura (Muis). Umat Islam pula harus dapat membezakan bagi diri mereka sendiri apa yang halal dan apa yang tidak, tanpa hanya bersandarkan kepada logo semata-mata.



Umat Islam harus memahami bahawa setiap yang halal itu walaupun tidak ada logo, akan tetap halal hingga ke hari kiamat dan tidak dapat diharamkan.



Di sinilah sekali lagi kepentingan ilmu dan kemampuan untuk berfikir dan membuat penilaian sendiri. Ini amat membantu terlebih lagi apabila seseorang itu bermusafir ke luar negara, ke tempat-tempat yang tidak mempunyai infrastruktur halal.



Juga saya rasa perlu diingatkan bahawa Islam ini bukanlah hanya persoalan halal dan haram. Kita perlu memahami bahawa Islam itu juga adalah rahmat bagi sekalian alam. Islam itu adalah akhlak.



Tatkala kita menggunakan media sosial untuk demand syarikat ini dan itu menjadi halal, bagaimanakah persepsi masyarakat luar terhadap akhlak umat Islam?



Apakah kita kekurangan makanan di negara ini sehingga kita perlu memohon agar setiap makanan itu dihalalkan bagi kemudahan kita? Kalau begitu, mungkin kita telah agak tersasar dari tujuan halal yang diinginkan agama.



SOALAN: BAGAIMANAKAH ISLAM MENDEKATI ISU SEBEGINI? BAGAIMANAKAH PENDEKATAN 'SEDERHANA' YANG DITERAP OLEH ISLAM DALAM MENANGANI ISU HALAL HARAM?



JAWAPAN: Seperti yang telah saya singgung tadi, bahawa sebagaimana Islam menekankan kepentingan halal, Islam juga melarang umat Islam daripada mengharamkan yang halal.



Inilah kesederhanaan Islam.



Dalam masyarakat Singapura yang majmuk, adakalanya kita perlu makan semeja dengan teman-teman bukan Islam yang memakan makanan tidak halal.



SOALAN: BAGAIMANAKAH KITA MENANGANI ISU SEBEGINI? BOLEHKAH KITA DUDUK SEMEJA DENGAN MEREKA?



JAWAPAN: Kehidupan seorang Muslim di dalam masyarakat majmuk seperti Singapura adalah suatu kelebihan yang harus disyukuri. Di sini kita dapat mendekati kaum-kaum lain dan mereka dari agama-agama yang berbeza serta mengenali latar belakang serta budaya mereka.



Bahkan ini peluang bagi kita untuk mengenali lebih rapat teman-teman kita. Al-Quran tidak melarang hal ini bahkan di dalam Surah Al-Mumtahanah ayat 8:



"Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berperilaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangimu dalam urusan agama dan tidak mengusir kamu dari kampung halamanmu. Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berlaku adil."



Sebagai umat Islam kita tidak seharusnya menganggap hal ini sebagai suatu cabaran, selagi mana makanan yang kita sendiri nikmati adalah halal.



Baru-baru ini saya dan teman-teman di Masjid Al-Islah telah menganjurkan sebuah acara yang diberi nama 'Briyani For Punggol' di mana kami telah mengundang teman-teman dari pelbagai badan agama lain untuk sama-sama meraikan keluarga-keluarga memerlukan yang menetap di daerah Punggol. Di dalam acara ini kami menikmati beriani bersama semeja.




"Terdapat trend hari ini di mana kita terlalu taksub dengan soal halal-haram sehingga semua perkara perlu halal. Halal itu adalah sebuah keperluan bagi umat Islam. Namun harus dibezakan antara halal menurut syarak dan logo halal. Logo halal adalah usaha Majlis Ugama Islam Singapura (Muis). Umat Islam pula harus dapat membezakan bagi diri mereka sendiri apa yang halal dan apa yang tidak, tanpa hanya bersandarkan kepada logo semata-mata. Umat Islam harus memahami bahawa setiap yang halal itu walaupun tidak ada logo, akan tetap halal hingga ke hari kiamat dan tidak dapat diharamkan."
- Ustaz Khairul Anwar Mohamed Aznan




  • Ustaz Khairul Anwar Mohamed Aznan ialah Ketua Dakwah dan Pembanguan Masyarakat, Masjid Al-Islah. Beliau berkelulusan Sarjana Muda Usuluddin dan Dakwah, Universiti Islam Madinah.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >