SHARM EL-SHEIKH: Sidang puncak iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tahun ini melibatkan kunjugan pemimpin dunia, saranan pemimpin perniagaan dan perundingan oleh hampir 200 negara tentang masa depan tindakan sejagat terhadap perubahan iklim.
Berikut adalah beberapa hal penting yang timbul daripada sidang puncak COP27 selama dua minggu yang diadakan di Sharm el-Sheikh, Mesir.
DANA UNTUK 'KEADILAN IKLIM'
Setelah tentangan bertahun-tahun lamanya daripada pemerintah yang kaya, negara-negara buat kali pertama bersetuju untuk menubuhkan dana bagi menyediakan pembayaran kepada negara membangun yang mengalami "kerugian dan kerosakan" akibat ribut, banjir, kemarau dan kebakaran hutan yang didorong iklim.
ALIRAN BAHAN API FOSIL
Perjanjian COP27 terakhir menarik kritikan daripada sesetengah pihak kerana tidak melakukan lebih banyak untuk mengekang pengeluaran yang merosakkan iklim, kedua-duanya dengan menetapkan sasaran nasional yang lebih bercita-cita tinggi dan dengan mengurangkan penggunaan bahan api fosil seperti batu arang, minyak dan gas semula jadi.
"BRAZIL KEMBALI"
Encik Luiz Inacio Lula da Silva disambut sorakan sedang beliau mengisytiharkan bahawa "Brazil kembali" dalam perjuangan iklim sejagat, dan berikrar akan menjadi tuan rumah bagi COP30 pada 2025 di rantau Amazon itu.
HUBUNGAN AS, CHINA BERPUTIK SEMULA
Ketika COP memasuki minggu kedua, Presiden China, Encik Xi Jinping dan Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden bertemu di Indonesia bagi G20 di mana pemimpin dua negara yang mengeluarkan gas rumah hijau terbesar di dunia bersetuju untuk memulakan semula kerjasama mengenai perubahan iklim setelah ia terhenti berbulan lamanya disebabkan ketegangan atas Taiwan.
BERBILION DALAM PEMBIAYAAN SWASTA (TETAPI BELUM TRILION)
Kewangan dunia telah gagal menyediakan wang yang cukup untuk membantu negara mengurangkan pengeluaran karbon mereka dan menyesuaikan ekonomi mereka kepada perubahan akibat pemanasan global.
Namun, perbincangan COP27 memberi tanda bahawa perubahan bakal terjadi.
Antara langkah yang berkemungkinan menyediakan lebih banyak wang tunai adalah rancangan untuk memperbaharui pemberi pinjaman awam terkemuka seperti Bank Dunia supaya mereka boleh mengambil lebih risiko dan meminjamkan lebih banyak wang.
Dengan melakukan itu, negara berharap lebih banyak pelabur swasta akan turut serta. - Reu`ters.