Anugerah pendidikan HomeTeamNS bantu biaya kos sekolah anak

BERASAL dari keluarga tujuh beradik dengan hanya bergantung pada gaji bulanan sebanyak $2,000 bukan mudah.

Namun, sebagai satu-satunya pencari nafkah, itulah yang dibawa pulang Encik Imran Fadzill Bahmad Fadzillah bagi keluarganya setiap bulan.

Ayah tujuh orang anak yang berusia 39 tahun itu bekerja sebagai penyelaras logistik di sebuah syarikat yang menghasilkan produk pergigian sementara isterinya pula merupakan suri rumah.

Pun begitu, ia tidak bererti perkara penting seperti pendidikan anak-anak ditolak tepi dan tidak diberi penekanan.

Mujur bagi adik-beradik Ahmad Fareez Imran Fadzill, 14 tahun, dan Ahmad Faiz Imran Fadzill, 18 tahun, beban perbelanjaan sekolah mereka dapat diringankan dengan Anugerah Pendidikan Kanak-Kanak HomeTeamNS yang diterima.

Anugerah tersebut yang diberikan kepada anak-anak anggota HomeTeamNS yang layak bertujuan mengurangkan beban kos perbelanjaan persekolahan mereka bagi tahun baru ini.

Ahmad Fareez menerima wang sebanyak $450 dan baucer Popular bernilai $300, sementara Ahmad Faiz menerima $600 dan baucer Popular bernilai $400, sebagai sebahagian anugerah tersebut.

Dihubungi akhbar ini, kededua adik-beradik tersebut berkata ini kali kedua mereka diberi anugerah itu.

Kali pertama mereka menerimanya adalah pada 2017.

"Anugerah ini sangat bermakna bagi saya kerana ia dapat mengurangkan beban kewangan ibu bapa saya.

"Saya akan menggunakannya bagi keperluan harian sekolah dan juga untuk kegunaan sendiri," kata Ahmad Fareez, pelajar Sekolah Menengah Hong Kah (yang kini digabung dengan Sekolah Menengah Jurongville).

Pelajar Menengah Tiga aliran Normal (Teknikal) itu mendapat tempat pertama dalam kelasnya tahun lalu dengan gred yang diterimanya merupakan tujuh 'A' dan tiga 'B'.

Bagi Ahmad Faiz pula, beliau berjaya meraih Gred Purata Mata (GPA) 4.0 tahun lalu, peningkatan daripada GPA 2.25 tahun sebelumnya.

Pelajar tahun kedua di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Barat itu mengikuti kursus Kejuruteraan Automotif Kenderaan Berat yang amat diminatinya sejak di sekolah menengah.

Faiz merupakan anak sulung keluarga tersebut dan telah menamatkan pendidikan GCE Peringkat 'N' di Sekolah Menengah Crest yang merupakan sekolah teknikal khusus.

Ditanya bagaimana beliau merancang menggunakan anugerah HomeTeamNS yang telah diterimanya itu, Ahmad Faiz berkata seperti adiknya, beliau akan menggunakan wang tersebut bagi perbelanjaan harian sekolah dan keperluan sendiri.

"Bagi baucer pula, kami sekeluarga sudah berbincang dan akan membeli komputer riba kerana saya dan adik-adik lain tidak mempunyai komputer riba.

"Komputer riba penting kerana kadang kita perlu melakukan projek yang memerlukan akses kepada komputer," jelasnya.

Kedua-dua adik-beradik itu bercita-cita melanjutkan pelajaran mereka dan berazam menjadi jurutera satu hari nanti.

"Saya semestinya bangga dengan anak-anak saya kerana mereka bekerja keras untuk mendapatkan anugerah tersebut," kata Encik Imran.

Beliau menambah bahawa dengan wang yang diterima, ia membantu keluarga mereka menabung sedikit daripada gaji bulanannya, sesuatu yang tidak dapat dilakukan sebelum ini kerana gajinya itu perlu digunakan untuk perbelanjaan sekolah.


“Anugerah ini sangat bermakna bagi saya kerana ia dapat mengurangkan beban kewangan ibu bapa saya. Saya akan menggunakannya bagi keperluan harian sekolah dan juga untuk kegunaan sendiri.
– Ahmad Faiz Imran Fadzill, 18 tahun, yang menerima Anugerah Pendidikan Kanak-Kanak HomeTeamNS.