SUMBANGAN 11 individu, pertubuhan dan pemimpin yang telah menabur bakti kepada masyarakat menerima pengiktirafan dalam majlis Anugerah Presiden bagi Sukarelawan dan Dermawan (PVPA) 2022 di Istana semalam.
Ini merupakan tahun ke-10 anugerah berprestij anjuran Pusat Sukarelawan dan Dermawan Nasional (NVPC) itu diadakan untuk mengiktiraf mereka yang telah mencapai kecemerlangan dalam memberi sumbangan.
Para pemenang tahun ini berbakti dan menghulurkan bantuan dalam pelbagai bidang, termasuk dalam membantu masyarakat kurang bernasib baik, melindungi haiwan dan sekitaran, menggalak inklusiviti dan menyokong individu yang terjejas dengan isu kesihatan mental.
Ini berbeza daripada dua tahun lalu, dengan terdapat lebih banyak sumbangan dan inisiatif berkaitan pandemik Covid-19.
Antara penerima anugerah tahun ini ialah Chng Rui Jie, 11 tahun - pemenang PVPA termuda. Rui Jie menerima Anugerah People of Good dalam kategori pelajar atas usahanya mengumpul dana lebih $845,000 sepanjang tiga tahun untuk beberapa badan amal.
Agape Connecting People dan Barclays Bank pula menerima Anugerah City of Good atas kerjasama mereka membantu masyarakat, terutama bekas banduan, ibu tunggal dan individu kurang upaya, meraih kemahiran hidup berharga.
Bank itu menyediakan pembiayaan bagi Agape melancarkan pusat latihan dan penempatan kerjanya pada tahun lalu dan hasilnya lebih 180 orang berjaya mendapat pekerjaan, dengan hampir separuh adalah wanita.
Majlis di Istana itu dihadiri tetamu terhormat, Presiden Halimah Yacob, semalam.
Sejak diperkenal pada 2012, PVPA telah menerima hampir 1,400 pencalonan dan memberi pengiktirafan kepada 94 penerima anugerah.
Pada 2020 dan tahun lalu sahaja, di tengah-tengah pandemik Covid-19, lebih 550 pencalonan diterima - satu bukti kemurahan hati rakyat Singapura dalam masa krisis, kata Puan Halimah.
"Meskipun anugerah dan kategorinya telah berkembang dan diperbaharui bagi mencerminkan landskap yang berubah sepanjang dekad lalu, perkara yang kekal adalah kesediaan orang ramai memberi dan meningkatkan kehidupan mereka yang memerlukan bantuan.
"Kita harus berbangga bahawa budaya saling menjaga satu sama lain ini sebahagian daripada DNA Singapura," katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NVPC, Encik Tony Soh, berkata sedang Singapura bangkit daripada pandemik, semangat kemurahan hati yang dicontohi dengan usaha kesukerelawanan dan kedermawanan telah menyumbang dalam membantu negara ini melalui "krisis generasi" ini dan muncul lebih kuat dalam proses itu.
"Saya harap kita dapat mengambil pengajaran yang betul daripada pengalaman ini dan melakukan usaha bersepadu dan sistematik untuk memupuk budaya memberi yang bertenaga dan meluas di Singapura, supaya kita boleh membina rizab modal sosial yang kukuh untuk membantu kita mengharungi sebarang krisis yang mungkin kita hadapi pada masa hadapan.
"Kita telah melihat rakyat Singapura mengambil berat dan mengambil tindakan yang berkesan apabila diminta semasa krisis. Janganlah kita menunggu sehingga krisis seterusnya untuk menunjukkan bahawa kita mengambil berat antara satu sama lain. Memberi harus menjadi sebahagian daripada gaya hidup seharian kita," katanya.
"Meskipun anugerah dan kategorinya telah berkembang dan diperbaharui bagi mencerminkan landskap yang berubah sepanjang dekad lalu, perkara yang kekal adalah kesediaan orang ramai memberi dan meningkatkan kehidupan mereka yang memerlukan bantuan.
Kita harus berbangga bahawa budaya saling menjaga satu sama lain ini sebahagian daripada DNA Singapura."
- Presiden Halimah Yacob.