Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:06
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PERBAHASAN SOKONGAN BANTUAN BAGI FASA DUA (KEWASPADAAN DIPERTINGKAT)

AP lahir keprihatinan kesan pandemik ke atas pekerja, perniagaan

Jul 28, 2021 | 05:30 AM



PARLIMEN telah meluluskan rang undang-undang untuk memperuntukkan $2 bilion bagi langkah terbaru membantu pekerja dan perniagaan mengharungi tempoh sekatan Covid-19 dari Mei hingga Ogos ini.



Namun para anggota parlimen telah menyuarakan beberapa keprihatinan mengenai kesan lanjut pandemik terhadap golongan pekerja dan perniagaan.



Dalam kenyataan bagi merumuskan perbahasan itu, Menteri Kewangan Lawrence Wong berkata sepanjang tempoh kewaspadaan dipertingkat ini, pemerintah telah berusaha untuk memperuntuk semula seberapa banyak boleh dana daripada belanjawan yang ada bagi menyediakan sokongan ini.



Namun Encik Wong tidak menolak kemungkinan perlunya menghulurkan lebih bantuan sekiranya berlaku hambatan lagi pada masa depan.



Sokongan bernilai lebih $2 bilion adalah bagi membantu pekerja dan perniagaan mengharungi tempoh sekatan Covid-19 dari Mei hingga Ogos ini.



Ini termasuk langkah tambahan dilanjutkan bernilai $1.1 bilion yang diumumkan minggu lalu bagi Fasa Dua (Kewaspadaan Dipertingkat) atau Fasa Dua (HA) dari 22 Julai hingga 18 Ogos ini, serta bagi tempoh Fasa Dua dan Tiga (HA) dari Mei sebelum ini.



Pemerintah bersedia membantu termasuk melaksanakan satu lagi pakej bantuan sekiranya berlaku hambatan atau kegenjotan dalam menangani Covid-19, kata Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong.



Menggulung perbahasan semalam, beliau berkata:



"Jika ini berlaku (kegenjotan), kita harus memperkenalkan sekatan tambahan dan pada tahap itu, kita mungkin harus melaksanakan satu lagi pakej untuk menyokong perniagaan.



"Sekiranya kita harus melakukan itu, kita harus mencari cara menyediakan pakej sedemikian. Tetapi sebagaimana yang ditarik perhatian oleh Encik Liang Eng Hwa (SMC Bukit Panjang), ia semakin sukar untuk mendapatkan pendanaan seterusnya."



Menjelaskan lebih lanjut, Encik Wong berkata usaha mencari dana bukanlah mudah, memandangkan dalam pusingan bantuan kali ini sahaja, agensi perlu menyemak semula projek pembangunan mereka ekoran penangguhan Covid-19.



Justeru, jika sokongan tambahan diperlukan dalam tahun fiskal ini, perbelanjaan pemerintah akan diperketatkan, jelasnya lagi.



"Kita mungkin perlu mengetatkan perbelanjaan pemerintah dalam sudut operasi dan pembangunan untuk memperolehi sumber bagi memenuhi keperluan ini.



"Dan jika kita dalam keadaan yang serius dan terdesak, seperti yang saya katakan sebelum ini, kita tidak keberatan menggunakan rizab dan akan bertemu Presiden untuk mendapatkan sokongan beliau."



Dalam melakarkan bantuan untuk perniagaan dan pekerja, Encik Wong berkata pemerintah mengambil kira langkah kukuh sedia ada yang diperkenalkan dalam belanjawan sebelum ini. Ini termasuk sokongan dalam sektor seperti sukan dan kesenian.



Beberapa AP seperti Encik Sharael Taha (GRC Pasir Ris-Punggol) dan Cik Raeesah Khan (GRC Sengkang) menarik perhatian mengenai kesan pandemik terhadap pekerja bebas dalam sektor sukan dan kesenian.



Encik Sharael dalam hujahnya juga menggariskan tentang perlunya mempersiapkan mereka yang bekerja dalam peranan yang diwujudkan semasa pandemik.



"Pekerjaan seperti penolong swab dan duta keselamatan mungkin tidak diperlukan lagi apabila kita beralih ke keadaan lebih normal. Kita perlu membantu pekerja itu untuk menghadapi peralihan ini bagi mengelak mereka daripada menganggur," gesanya.



Dalam hal ini, Encik Wong faham tentang keprihatinan dan kebimbangan mereka dalam pekerjaan sementara.



"Kami sedang memantau hal ini dengan teliti bagi memastikan mereka yang dalam pekerjaan sementara akan ditempatkan dalam peranan tetap," katanya.



Satu bantuan ketara yang disediakan, ialah Insentif Bantuan Pekerjaan (JGI), jelas Encik Wong, yang telah menyokong majikan meluaskan pekerja tempatan.



"Skim ini akan berlangsung sehingga September dan kami sedang menyemak untuk melanjutkannya," tambah beliau.



Sementara itu, Encik Wong menjelaskan projek pembangunan ditunda tahun ini adalah kerana faktor kekurangan tenaga kerja dan bukan kerana isu pendanaan.



Anggota Parti Pekerja, Profesor Madya Jamus Lim (GRC Sengkang) telah bertanya mengapa pemerintah memperuntuk semula perbelanjaan pembangunan daripada belanjawan yang tidak dimanfaatkan sepenuhnya dan tidak mempercepatkan perbelanjaan supaya projek dapat diselesaikan mengikut jadual asal - dengan lebih banyak peminjaman di bawah Akta Pinjaman Pemerintah Bagi Prasarana Penting (Singa).



"Adalah mustahil untuk melakukan projek-projek ini pada tahun ini, bukan kerana isu kewangan...atau kita boleh meminjam dan kemudian melakukan projek ini. Ia kerana firma-firma tidak mempunyai pekerja dan kita tidak mahu tergesa-gesa membawa masuk pekerja dan akhirnya, berlaku penularan besar-besaran lagi.



"Kita harus melakukan ini secara selamat dan terkawal," jelas Encik Wong.



Dalam ucapannya, Encik Wong berkata selain daripada menangani cabaran segera, kita harus bersedia untuk fasa seterusnya dalam dunia pos pandemik yang akan jauh berbeza.



Beliau turut menekankan pentingnya untuk Singapura meneruskan usaha transformasi dalam memastikan ekonomi yang terus kukuh dan cergas.



"Jadi fokus sokongan pada masa mendatang akan beralih daripada menyediakan kelegaan daripada cabaran sekarang, kepada membina keupayaan untuk syarikat berinovasi dan berubah," tambah Encik Wong.




"Jika ini berlaku (kegenjotan), kita harus memperkenalkan sekatan tambahan dan pada tahap itu, kita mungkin harus melaksanakan satu lagi pakej untuk menyokong perniagaan. Sekiranya kita harus melakukan itu, kita harus mencari cara menyediakan pakej sedemikian. Tetapi sebagaimana yang ditarik perhatian oleh Encik Liang Eng Hwa (SMC Bukit Panjang), ia semakin sukar untuk mendapatkan pendanaan seterusnya."
- Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong.



“Sedang kita terus uruskan Covid-19 sebagai sebuah masyarakat, kita harus secara asasnya mengutamakan iklim dan kemampanan agar ia dibina dengan lebih baik, pelan pemulihan Covid-19 yang terbaik juga akan tangani perubahan iklim. Justeru saya gembira mendengar menteri mengesahkan semula komitmen untuk melabur dalam masa depan yang menghijau dan mampan walaupun langkah sokongan diteruskan dalam Fasa Dua (Kewaspadaan Dipertingkatkan).”
– Cik Mariam Jaafar (GRC Sembawang)



“Kita harus lakukan lebih banyak untuk hargai pekerja perkhidmatan penting bergaji rendah dan pekerja asing kerana merekalah yang terus bekerja keras semasa pandemik ini untuk memastikan Singapura terus berkembang. Kita harus memberi mereka lebih daripada sekadar kata-kata terima kasih dan berusaha mencapai cara yang ketara untuk tingkatkan gaji, kebajikan, dan prospek kerja mereka” – Encik Mohd Fahmi Aliman (GRC Marine Parade)



“Saya berharap lebih banyak perbincangan mengenai kesihatan mental diadakan dalam kalangan pelajar, topik yang ditimbulkan Presiden baru-baru ini ekoran tragedi di Sekolah Tinggi River Valley. Mungkin kita perlu meneliti semula cara kita mendekati kesihatan mental di institusi pendidikan, menerapkan kegiatan untuk menangani kesan Covid-19... Saya berharap selain daripada dasar yang disenaraikan Menteri Pendidikan, lebih banyak pilihan dasar diterokai bagi memperbaiki prasarana kesihatan mental kita.” – Cik Raeesah Khan (GRC Sengkang).



“Kita harus cari lebih banyak cara dekati bukan sahaja warga tua tetapi setiap lapisan masyarakat untuk menggalakkan mereka agar dapatkan vaksinasi. Dengan lebih ramai orang divaksin, kita akan lebih yakin untuk membuka semula ekonomi dan ini membolehkan lebih banyak kebebasan untuk berkumpul bersama keluarga dan rakan-rakan, melancong untuk perniagaan dan riadah, dan mengambil bahagian dalam kegiatan agama bersama-sama.” – Encik Sharael Taha (GRC Pasir Ris-Punggol)




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >