PARA Anggota Parlimen (AP) Melayu/Islam telah menderma $15,000 kepada badan tidak mencari untung Muslim Youth Forum (MYF) - sebuah pertubuhan baru yang ditubuhkan tahun lalu.
Sumbangan tersebut merupakan sebahagian usaha tahunan sumbangan Ramadan AP Melayu/Islam.
Muslim Youth Forum (MYF) yang dibentuk pada 1 April 2016, bertujuan untuk menyediakan wadah bagi golongan belia datang bersama dan menyertai kegiatan yang berkaitan dengan isu-isu belia.
MYF berusaha menjadi tempat yang memenuhi keperluan kerohanian, sosial, psikologi dan jasmani belia Singapura hari ini.
Kesemua 12 AP Melayu/Islam itu bersama menyumbang derma sejumlah itu, dan ini merupakan tahun ke-10 mereka melakukan demikian semasa Ramadan.
Cek tersebut telah disampaikan oleh Menteri Perhubungan dan Penerangan, Dr Yaacob Ibrahim, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam dan Keselamatan Siber, kepada pengasas bersama MYF, Ustaz Zahid Zin dan Encik Mohamed Shah Reza Mohamed Anuar.
Ia diadakan dalam satu majlis penyampaian cek di pejabat MYF, MYspace, di Arab Street.
Turut hadir ialah AP lain termasuk Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad; Menteri Negara Kanan (Pertahanan & Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman; Setiausaha Parlimen Kanan (Pembangunan Sosial dan Keluarga dan Pendidikan), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim; Setiausaha Parlimen (Ehwal Dalam Negeri dan Kesihatan), Encik Amrin Amin; Encik Zaqy Mohamad; dan Encik Saktiandi Supaat.
Dalam majlis itu, Encik Shah Reza telah mengongsi kegiatan yang telah dijalankan MYF tahun lalu merangkumi sesi perbincangan pra-Ramadan yang dihadiri oleh 500 belia.