ANGGOTA Parlimen SMC Bukit Batok, Encik Murali Pillai meminta maaf semalam (15 November) di atas hos air yang rosak hingga tidak boleh digunakan pegawai bomba ketika berlaku satu kebakaran pada 1 November lalu.
Encik Pillai memberitahu penduduk bahawa beliau bertanggungjawab kerana beliaulah wakil penduduk.
Dalam komen pertamanya semenjak kebakaran itu, beliau berkata:
“Sebagai wakil terpilih, saya bertanggungjawab ke atas kedua-dua isu. Kejadian ini tidak seharusnya terjadi, dan oleh itu, saya mesti meminta maaf.”
Beliau juga berkata seorang kontraktor yang bertanggungjawab memastikan terdapat bekalan air bagi hos di Blok 210A, Bukit Batok Street 21 itu, sedang disiasat.
Dua pegawai dari Majlis Bandaran Jurong-Clementi pula akan didisiplin kerana mengunci kabinet yang menyimpan hos tersebut dengan menggunakan mangga, katanya lagi di Facebook.
Isu ini mendapat perhatian apabila pegawai bomba tidak dapat menggunakan hos di tingkat 13 pada 1 November semasa berusaha memadamkan api kebakaran.