AP, peguam dan bakal ibu

DALAM bebarapa minggu lagi, kehidupan Cik Rahayu Mahzam bakal berubah sepenuhnya dengan kehadiran 'orang baru'.

Anggota Parlimen (AP) GRC Jurong itu bakal menimang cahaya mata sulungnya, yang dijangka dilahirkan pada 15 April ini.

Cik Rahayu, 36 tahun, mengakui keadaan kehidupannya mungkin tidak lagi akan semudah sebelum ini setelah beliau bergelar ibu.

Namun, dengan nasihat dan panduan yang diberikan AP lain yang pernah hamil dan melahirkan anak semasa bertugas dan dengan sokongan keluarganya, Cik Rahayu bersedia mengharungi cabaran sebagai AP, peguam dan ibu.

"Ramai rakan AP saya memberikan panduan dan pandangan dan... satu perkara yang sudah saya fikirkan adalah tugas harian saya sebagai peguam.

"Itu mungkin saya harus lebih kurangkan. Sekarang pun sudah kurang tetapi mungkin saya kurangkan lagi untuk memberi masa yang secukupnya kepada anak.

"Dan juga siapa yang harus menjaga anak ini apabila saya keluar bagi kegiatan, sebab biasanya kegiatannya di luar waktu pejabat, di waktu malam hari dan pada hujung minggu - masa yang kita biasanya bersama keluarga.

"Saya beruntung kerana ibu bapa saya semua bersedia membantu," kata beliau dalam satu wawancara bersama Berita Minggu (BM) baru-baru ini.

Bahkan, Cik Rahayu telah pun mengurangkan banyak tugasan atau melakukan kerja di rumah dengan keadaan beliau yang kini sarat mengandung.

Secara amnya, Cik Rahayu akan ke pejabat pada sebelah pagi bagi tugasnya sebagai peguam.

Pada sebelah petang pula, beliau akan meluangkan masa di kawasan undinya antara lain, untuk menghadiri mesyuarat atau kegiatan yang dijalankan.

Oleh sebab beliau kini hamil, Cik Rahayu tidak lagi melakukan lawatan ke rumah penduduk buat masa ini.

"Cabarannya adalah dari segi fizikal kerana saya mudah letih dan apa yang saya cuba lakukan ialah memastikan jadual saya padat, ertinya saya tak perlu banyak bergerak.

"Kalau saya ada satu mesyuarat, mungkin saya cuba adakan mesyuarat yang satu lagi di tempat sama supaya saya tak perlu bergerak. Rata-rata, sukarelawan dan juga mereka yang bekerja dengan saya faham.

"Jadi ini telah dapat membantu saya menjimatkan masa dan apa yang saya perlu lakukan," cerita beliau yang telah berumahtangga kira-kira selama lima tahun.

Sebagai ibu kelak, Cik Rahayu akan menikmati beberapa skim pemerintah buat golongan ibu bapa.

Antaranya, Cik Rahayu berkata beliau akan menikmati skim bonus bayi, Akaun Pembangunan Anak (CDA) dan dua minggu cuti paterniti bagi golongan bapa untuk suaminya.

Beliau menambah bahawa terdapat juga banyak skim dan inisiatif lain yang disediakan buat ibu bapa demi membantu mereka dalam perjalanan membesarkan anak dan membina keluarga.

Dalam wawancaranya bersama BM itu, Cik Rahayu turut mengongsi bahawa kehamilannya memberi beliau satu kesedaran tentang kekuatan seorang wanita.

"Saya beritahu suami saya bahawa saya rasa cabaran kehamilan itu kurang diberi penekanan sebab ia memang biasa berlaku tetapi sebenarnya sukar dan amat mencabar.

"Saya tabik kepada ibu-ibu yang telah melalui perjalanan ini... Ia menyedarkan saya tentang kemampuan diri saya menghadapi cabaran, rasa penat, dan bagaimana menghadapinya," terang beliau.

Dek tenaga terhad, Cik Rahayu berkata pengalaman kehamilannya juga mengajar beliau menjadi lebih berkesan dari segi mengatur masa untuk menjalankan dan menyelesaikan tugasnya.

Mengenai cabaran seorang wanita, Cik Rahayu berkata setiap wanita itu mempunyai cerita masing-masing - ada yang belum kahwin atau ada yang belum mempunyai anak dan sebagainya.

Namun, setiap wanita itu mempunyai kemampuan memberi sumbangan mereka sendiri.

"Saya amat bersyukur dengan apa yang saya ada (kehamilan) tetapi saya juga faham tentang keadaan wanita yang mungkin menghadapi cabaran mereka.

"Saya lebih reda dan lebih faham sekarang dan ini adalah antara perkara yang saya fikirkan," kata beliau.


"Saya beritahu suami saya bahawa saya rasa cabaran kehamilan itu kurang diberi penekanan sebab ia memang biasa berlaku tetapi sebenarnya sukar dan amat mencabar.
Saya tabik kepada ibu-ibu yang telah melalui perjalanan ini... Ia menyedarkan saya tentang kemampuan diri saya menghadapi cabaran, rasa penat, dan bagaimana menghadapinya."

- Cik Rahayu Mahzam.

Galeri Foto