Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

KES BICARA MAJLIS BANDARAN ALJUNIED-HOUGANG (AHTC)

'AP WP wujudkan sistem yang abaikan kawalan, imbangan'

Oct 06, 2018 | 05:30 AM



APABILA pengerusi Parti Pekerja (WP), Cik Sylvia Lim, dan ketua parti waktu itu, Encik Low Thia Kiang, dipilih sebagai Anggota Parlimen (AP) GRC Aljunied pada 2011, ejen pengurusan sedia ada di kawasan Aljunied masih mempunyai dua tahun lagi dalam kontraknya.



Namun, Cik Lim dan Encik Low membuat keputusan tidak meneruskan perkhidmatan CPG Facilities Management. Sebaliknya, mereka melantik syarikat baru untuk menguruskan ehwal majlis bandaran bagi kedua-dua GRC Aljunied dan Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Hougang, lapor akhbar The Straits Times.



Ejen pengurusan baru FM Solutions & Services (FMSS) dikendalikan penyokong lama WP, mendiang Danny Loh Chong Meng, dan isterinya How Weng Fan.



Keadaan di sebalik pelantikan FMSS membawa kepada wujudnya sistem yang mengabaikan kawalan serta sekatan dan imbangan, kata Peguam Kanan Davinder Singh semalam, pada hari pertama perbicaraan terhadap tiga AP WP dan beberapa anggota majlis bandaran.



Kes itu melibatkan lebih $33.7 juta dalam bentuk pembayaran majlis bandaran yang dibuat antara 15 Julai 2011 hingga 14 Julai 2015 kepada FMSS dan penyedia khidmat FM Solutions and Integrated Services (FMSI).



Encik Low dan Cik Lim diminta menjelaskan jumlah itu dan membayar balik wang yang telah dibayar dengan salah.



Tuntutan yang dimulakan oleh Majlis Bandaran Aljunied-Hougang (AHTC) di bawah arahan sebuah panel bebas itu mendakwa pembayaran kepada ejen pengurusan dan penyedia perkhidmatannya tidak wajar dan tidak sah.



AHTC juga membentangkan kes bahawa Encik Low dan Cik Lim tidak memenuhi tugas fidusiari sebagai anggota majlis bandaran.



Encik Davinder mewakili Majlis Bandaran Pasir Ris-Punggol (PRPTC), yang mentadbir SMC Punggol East.WP mentadbir Punggol East dari 2013 hingga 2015 selepas memenangi pilihan raya kecil di kawasan itu.



Pada pilihan raya 2015, kawasan itu kembali dikuasai Parti Tindakan Rakyat (PAP).



PRPTC mendakwa bahawa keputusan yang dibuat oleh anggota majlis bandaran kendalian WP telah mengakibatkannya mengalami "kerugian dan kerosakan" dan menuntut pampasan adil.



Mahkamah semalam diberitahu bahawa keputusan melantik FMSS dibuat dalam tempoh beberapa minggu selepas Pilihan Raya Umum 7 Mei, seperti yang dilihat dalam e-mel antara pelbagai pihak, termasuk Encik Low, Cik Lim dan Cik How.



FMSS ditubuhkan pada 15 Mei 2011, dan pada Julai tahun itu, satu surat niat telah disokong.



FMSS mengambil alih operasi AHTC pada 1 Ogos - hari sama perkhidmatan CPG ditamatkan.



Tiada tender dipanggil untuk melantik ejen pengurusan baru.



Akhirnya, mendiang Loh dilantik sebagai setiausaha dan Cik How sebagai pengurus besar AHTC. Namun, sebagai pemegang saham FMSS, mereka mempunyai kepentingan dalam keuntungan yang akan diperolehi FMSS dari AHTC, ujar Encik Davinder.



Memetik laporan KPMG mengenai kewangan AHTC dari 2016 hingga 2018, peguam Shook Lin & Bok, Encik David Chan, mewakili AHTC, berkata terdapat sebanyak 186 kes ketidakpatuhan atau "kegagalan kawalan".



Keadaan itu "meluas, merangkumi bidang utama tadbir urus, kawalan kewangan, pelaporan kewangan, pemerolehan dan pengurusan rekod", kata Encik Chan.



"Keadaannya seperti berikut: Di satu pihak, kami mempunyai FMSS dan FMSI yang memberi invois; dan di pihak lain, kami mempunyai individu berkonflik dengan kepentingan keuntungan dalam FMSS, FMSI atau kededuanya, yang mengesahkan bahawa kerja dilakukan bagi invois yang sama," kata Encik Chan.



Defendan lain dalam kes itu ialah ketua WP sekarang, Encik Pritam Singh; anggota majlis bandaran, Encik Kenneth Foo Seck Guan dan Encik David Chua Zhi Hon; dan ejen pengurusan FMSS serta pemilik FMSS Cik How.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >