Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SAJIAN KHAS HARI INI: SEMPENA HARI ALZHEIMER'S SEDUNIA

'Tak ada masalah jaga mak yang demensia tapi perlu sokongan sumber, panduan'

Oct 02, 2022 | 07:54 AM



SEBELUM 'pemergian' suaminya pada 2018, Cik Tuminah Selamat merupakan seorang warga emas yang aktif, peramah dan suka keluar berjalan-jalan.



Namun, beliau berasa kekosongan, selalu termenung, dan cepat marah setelah suaminya Allahyarham Sukim Sipan meninggal dunia akibat barah paru-paru.



Cik Tuminah, kini berusia 76 tahun, juga semakin lupa-lupa, kerap mengulangi kisah lama, dan kadangkala mempunyai kesukaran untuk menuturkan ayat yang sempurna.



Perubahan Cik Tuminah itu menimbulkan keprihatinan kepada anaknya, Cik Nureeni Sukim, yang membawa ibunya, yang juga menghidap penyakit barah, berjumpa doktor.



Cik Tuminah disahkan menghidap demensia beberapa bulan setelah suaminya itu meninggal dunia.



"Saya hairan kerana dulu saya sangat aktif. Tapi apa yang saya hadapi itu macam datang mendadak. Rasa kehilangan, dan pemikiran tak begitu aktif macam dulu.



"Rasa diri kekosongan sejak suami saya tak ada. Padahal anak-anak sayang dengan saya. Tapi perasaan hati ini, rasa kehilangan sangat.



"Rasa sikit-sikit nak marah. Apa anak buat, pada pandangan saya semua tidak betul. Tapi sayangnya saya tak boleh luahkan apa yang saya suka dan tak suka," kata Cik Tuminah, penuh sebak apabila ditemui di rumahnya.



Cik Nureeni, yang kini tinggal bersama ibunya, berkata beliau pada mulanya tidak tahu apa yang mengakibatkan perubahan drastik pada ibunya itu.



Beliau akur kehidupan mereka sekeluarga menghadapi perubahan besar beberapa tahun lalu sejak sebelum bapanya meninggal dunia, iaitu apabila adik-beradiknya berhijrah ke luar negara - dua orang kini berada di Britain, seorang di Dubai, dan seorang lagi di Amerika Syarikat.



Sejak itu, Cik Nureeni, yang merupakan anak keempat dalam lima beradik, berpindah ke rumah ibunya itu bersama suami dan anak-anaknya untuk menjaga Cik Tuminah.



"Pada mulanya, saya fikir Mak tidak suka cara saya menjaganya. Saya pun fikir apa salah saya yang selalu membuat Mak marah.



"Kemudian, saya pun teringat dulu arwah ayah pernah kata 'Jangan marah-marah Mak sebab dia dah lupa-lupa'. Waktu itu, saya tak fikir ada apa-apa yang tidak kena," ujar Cik Nureeni, 38 tahun, yang mempunyai tiga anak berusia 12 tahun, dua tahun dan sembilan bulan.



Setelah berjumpa doktor, beliau kini lebih memahami keadaan ibunya dan cara untuk membantunya menyesuaikan diri.



"Dahulu apabila Mak tidak ada 'mood' untuk buat sesuatu, kami hanya biarkan. Tetapi doktor galakkan Mak untuk teruskan rutinnya seberapa boleh," ujar Cik Nureeni, yang bekerja dalam bidang runcit.



Sebelum ini, beliau tidak menggalakkan ibunya itu untuk masak kerana beliau akan lupa bahannya atau masak lauk yang terlalu banyak kerana fikir masih ramai orang yang duduk di rumah itu.



Kini, Cik Nureeni akan membantu ibunya untuk mengetepikan bahan-bahan dahulu sebelum ibunya itu masak lauk-pauk yang mudah seperti asam pedas atau kari ayam.



Cik Tuminah juga berkata amalan seperti membaca Quran dan berdoa memberinya kekuatan. Selain itu, beliau giat membaca akhbar dan novel untuk mengekalkan minda yang aktif.



Cik Nureeni berkata keadaan ibunya kini stabil, walaupun adakalanya masih mengalami keadaan hilang ingatan.



Meskipun adik-beradiknya berjauhan, Cik Nureeni bersyukur menerima sokongan kuat daripada mereka.



Beliau berharap lebih banyak sokongan juga akan diberikan kepada penjaga pesakit demensia, terutama sekali dari segi sumber dan cara untuk mengatasi keadaan anggota keluarga yang menghidap penyakit itu.



"Apabila baru mendapat tahu tentang keadaan Mak, kami terpaksa selidik sendiri dan ia menambah kepada apa yang kami lalui. Bagi saya, saya tidak lihat menjaga Mak saya ini sebagai satu cabaran. Saya dengan seikhlasnya memang ingin jaga Mak saya. Cuma kadang-kadang sebagai penjaga kami hanya perlu tempat untuk luahkan perasaan," ujar Cik Nureeni yang turut menggajikan pembantu rumah untuk menolong menguruskan anak-anaknya sedang beliau memberi tumpuan menjaga ibunya.



"Ada orang yang sangka demensia ini satu pengakhiran kepada kehidupan yang baik. Tetapi saya percaya itu satu salah tanggapan," kata Cik Nureeni, yang sebaliknya melihatnya sebagai satu fasa dalam kehidupan ibunya untuk beliau sekeluarga menjaganya bagai menatang minyak yang penuh.




"Apabila baru mendapat tahu tentang keadaan Mak, kami terpaksa selidik sendiri dan ia menambah kepada apa yang kami lalui.

Bagi saya, saya tidak lihat menjaga Mak saya ini sebagai satu cabaran. Saya dengan seikhlasnya memang ingin jaga Mak saya.

Cuma kadang-kadang sebagai penjaga kami hanya perlu tempat untuk luahkan perasaan. ... Ada orang yang sangka demensia ini satu pengakhiran kepada kehidupan yang baik. Tetapi saya percaya itu satu salah tanggapan."

- Cik Nureeni Sukim.




APA ITU DEMENSIA? 



■ Demensia ialah istilah umum bagi penyakit neurologi (berkaitan otak dan urat saraf) yang mengakibatkan kemerosotan dalam fungsi kognitif atau berfikir dan menjejas kegiatan kehidupan seharian.



■ Demensia bukan kesan semula jadi daripada penuaan, tetapi orang lebih tua dan mereka yang menghidap penyakit kronik mempunyai risiko lebih tinggi menghidap demensia.



■ Alzheimer ialah satu jenis demensia yang paling kerap dilihat.



■ Hari Alzheimer Sedunia, yang jatuh pada 21 September, bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai demensia dan penyakit Alzheimer.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >