ISI rumah akan mendapat tahu berapa banyak air, elektrik dan gas mereka gunakan melalui sebuah aplikasi mudah alih di telefon bimbit dan tablet, apabila satu uji cuba dimulakan dalam masa kira-kira dua tahun.
Penguasa Pasaran Tenaga (EMA), agensi air negara PUB dan Singapore Power menjemput pada Isnin (24 Okt) cadangan bagi membangunkan dan menguji guna teknologi yang akan membolehkan meter air, elektrik dan gas dibaca dari jauh melalui cara yang diyakini dan berkesan kos.
Pada masa ini, meter hanya dibaca secara manual sekali setiap dua bulan.
Matlamat uji guna baru itu ialah menjimatkan tenaga kerja dan membantu isi rumah mengurangkan penggunaan tidak perlu perbekalan. Uji guna teknologi pintar itu akan bermula pada awal 2018.
"Ini akan membolehkan pengguna membuat keputusan bijak dalam penggunaan dan pemuliharaan perbekalan mereka," kata Menteri Perdagangan dan Industri, Encik S. Iswaran, pada Isnin, semasa merasmikan Minggu Tenaga Antarabang Singapura kesembilan di Marina Bay Sands.
Beliau mengumumkan enam langkah yang bertujuan membantu menjadikan warga Singapura lebih sedar tentang penggunaan tenaga dan meningkatkan daya tahan tenaga Singapura.
Antara langkah itu ialah Memorandum Persefahaman antara EMA dan 16 pertubuhan untuk menguji Projek OptiWatt, yang akan mencari jalan membantu pertubuhan mengoptimumkan penggunaan elektrik.