SATU aplikasi (app) mudah alih bagi pembelajaran Bahasa Melayu, untuk memperluas kosa kata dan merangsang usaha mendekati pelajar, telah dilancar oleh Kementerian Pendidikan (MOE) pada 12 Ogos.
App 'Tembok Kata' itu – yang pertama dalam siri app yang bakal dibangunkan oleh Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC), juga diharap dapat menggalakkan keluarga mempelajari Bahasa Melayu dengan cara yang menarik.
Ia disasarkan kepada murid darjah lima dan enam, serta pelajar menengah satu dan dua.
Dalam ucapannya di pembukaan Fiesta Bahasa 2017 semalam, di mana app itu dilancarkan, Menteri Pendidikan Ng Chee Meng berkata penggunaan teknologi boleh mempertingkat penghayatan dalam kalangan pelajar dalam pembelajaran bahasa ibunda.
“App bagi pembelajaran bahasa membuka pelbagai kemungkinan baru, dalam pembelajaran dan pendidikan bahasa, terutama dalam Bahasa Ibunda.
“Walau mempelajari bahasa menggunakan buku masih bernilai, pembelajaran boleh mempertingkat penghayatan, apabila ICT digunakan dengan bijak,” kata Encik Ng.
Fiesta Bahasa 2017 tahun ini membentangkan tema Bijak Teknologi, Cekap Berbahasa, bagi menggalakkan penggunaan teknologi dalam pembelajaran bahasa Melayu.