SEORANG pelakon televisyen terkenal tempatan, Rui En, sedang membantu dalam siasatan insiden beliau melanggar sebuah motosikal yang diletak di tempat letak kereta di Clementi.
Kejadian itu berlaku pada Selasa (12 Apr) pada kira-kira 4 petang, di depan Blok 332, Clementi Avenue 2.
Pengurus artis Rui En mengesahkan bintang Channel 8 itu sedang pulang ke rumah apabila ia berlaku.
Jurucakap pelakon itu memohon maaf bagi pihak beliau, dengan berkata kemalangan tersebut "akibat salah pertimbangan" dan "beliau meletak keretanya di tempat letak kereta itu setiap hari selama bertahun-tahun dan beliau tidak mempunyai niat mengabai atau melarikan diri daripada tanggungjawab beliau".
Pemilik motosikal itu, Encik Bahrom Sarmiten, 52 tahun, memberitahu akhbar Cina Lianhe Wanbao beliau sedang berjalan ke tempat letak kereta itu apabila beliau melihat sebuah kereta BMW hitam melanggar kenderaannya.
Kereta itu seolah-olah tidak dapat dikawal dan sedang menaiki bebendul jalan.
"Saya tidak mahu dia lari, jadi saya bergegas menyuruh dia berhenti. Saya juga mengetuk tingkapnya dan memberitahu dia supaya jangan bergerak," katanya.
Jurucakap Rui En berkata pelakon itu hanya cuba meletak kereta beliau agar tidak menyekat lalu lintas.
"Dapat difahami bahawa pemilik motosikal itu kecewa dan, malangnya, hasrat beliau (Rui En) meletak kenderaannya di kawasan selamat disalah faham."
Encik Bahrom memberitahu Wanbao pemandu wanita itu bertanya: "Awak tahu siapa saya?"
Beliau berkata: "Saya benar-benar tidak tahu siapa dia. Tetapi saya fikir, walaupun dia anak menteri, saya tidak peduli."
Kemudian, orang yang lewat di situ memberitahu beliau wanita itu seorang pelakon terkenal.
Saksi memberitahu Wanbao polis tiba di tempat kejadian dan pelakon itu dibawa pergi.
Pelakon Mediacorp itu, yang nama sebenarnya Lu Rui En, akan menerima anugerah 'Artis Kegemaran Sepanjang Masa' pada Anugerah Bintang tahun ini, yang akan diadakan Ahad ini dan Ahad berikutnya, selepas memenangi anugerah '10 Artis Wanita Paling Popular' 10 kali.
Beliau juga dicalonkan bagi anugerah Pelakon Wanita Terbaik.