Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SAJIAN KHAS HARI INI: SEMANGAT WATAN

Asatizah digalak terus bersikap progresif tanpa abaikan tradisi: Timbalan Mufti

Mar 29, 2022 | 05:30 AM



BERPEGANG pada prinsip dan nilai Islam yang mendasari tradisi tidak bermakna masyarakat sekadar menyalin dan mencetaknya semula.



Namun dalam memberikan penyelesaian kepada pelbagai cabaran hari ini, masyarakat perlu memahami prinsip dan nilai ini, mengaplikasikannya dengan konteks dan realiti baru selain mencipta tradisi untuk generasi akan datang.



Demikian kata Timbalan Mufti, Ustaz Dr Mohammad Hannan Hassan, semasa berucap selaku tetamu terhormat dalam majlis konvokesyen Institut Pengajian Al-Zuhri yang berlangsung di Max Atria, Singapore Expo pada Sabtu lalu.



Lebih 340 siswazah yang telah menamatkan pengajian di Al-Zuhri, Andalus dan Cordova telah menghadiri majlis konvokesyen itu, yang juga merupakan antara yang terbesar diadakan secara fizikal bagi sebuah institut Islam, sejak langkah pengurusan selamat dilonggarkan akibat pandemik Covid-19.



Ustaz Hannan berkata adalah penting untuk terus berakar pada prinsip dan tradisi tetapi pada masa yang sama tidak dibelenggu dengan ikatan sejarah dan tradisi.



"Tradisi sebaliknya mendorong kita maju ke hadapan, tetapi tetap berpaksi kepada akar dan prinsip abadi ini.



"Dengan melakukan demikian, tradisi ini kekal relevan pada setiap masa dan tempat," katanya.



Beliau turut menggesa para asatizah dan agamawan khususnya, dan masyarakat Islam secara umum, di bawah kepimpinan asatizah agar terus bersikap progresif tanpa mengabaikan tradisi dan sejarah.



Memberikan contoh, beliau menukil bagaimana fatwa dan irsyad baru telah dikeluarkan semasa pandemik ini termasuk penutupan masjid, penangguhan ibadah solat Jumaat dan ibadah haji, keharusan menunaikan solat Jumaat sebelum zawal, merenggangkan saf dalam solat serta pemakaian tudung bagi pegawai dalam pekerjaan berseragam.



Meski mengundang pelbagai perbincangan dalam masyarakat, jawatankuasa fatwa, asatizah dan agamawan telah mendapat inspirasi daripada semangat tradisi, memahami prinsip dan tujuan syariah, selain merujuk kepada pakar relevan sebelum membuat keputusan sukar tetapi perlu.



Selain itu, beliau turut menekankan tentang pentingnya membangunkan adab dan kerendahan diri.



Menurutnya, keilmuan bukan hanya pada longgokan butiran maklumat atau ilmu yang dikumpulkan, tetapi pada adab dan keihsanan.



"Seorang yang pandai dan berilmu bukan hanya yang mengumpul longgokan teori, maklumat dan dalil-dalil.



"Tetapi, sifat penting seorang yang pandai ialah kerendahan diri, keihsanan dan empati," katanya lagi. SHAHIDA SARHID




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >