Dekati golongan muda melalui media sosial

Asatizah popular semakin bertambah

KIAN ramai ustaz atau ustazah muda yang semakin popular dengan jumlah pengikut yang ramai serta "perkongsian" atau jumlah "share" yang memberangsangkan.

Mereka menjadi popular kerana berkongsi pengalaman yang berkaitan dengan kehidupan atau agama ataupun fesyen.

Misalnya, imam bebas, Ustaz Muhammad Tamliikhaa Khamsani, 26 tahun, sering mendapat lebih 200 "likes" di akaun Facebooknya bagi hampir setiap catatan yang beliau muat turun.

Antaranya termasuk catatan terkininya berjudul Cerita-Cerita Masjid Singapura yang menyenaraikan luahannya sebagai imam di beberapa masjid sempena Ramadan ini.

Namun di sebalik catatannya, Ustaz Tamliikhaa, yang sedang melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana dalam Pengajian Bahasa Melayu di Universiti Nasional Singapura (NUS), berharap perkongsian yang ringkas dan mesra masyarakat itu dapat memupuk nilai pemikiran bersifat kritikal dan sifat bertimbang rasa dalam masyarakat Islam di Singapura.

"Ada kalanya bahasa Inggeris digunakan untuk sahabat dan pengikut yang bukan berbangsa Melayu.

"Harapan saya agar mereka tahu tentang kebenaran dan kelembutan agama Islam yang sering disalah anggap," ujar Ustaz Tamliikhaa, yang juga bekerja sambilan di Masjid Jamiyah Ar-Rabitah dan Masjid Assyafaah.

Seorang lagi yang popular dan dikenali kerana fesyennya yang cukup menyerlah ialah Ustazah Liyana Musfirah Anwar, 24 tahun.

Malah beliau boleh dianggap sebagai ikon fesyen dalam kalangan asatizah setempat dengan pengikutnya memuji pakaian dan tudung yang digayakannya.

Namun inilah cara Ustazah Liyana, Ketua Pembangunan Perniagaan di Safinah Institute, mendekati pengikutnya dengan turut mengetengahkan kata-kata motivasi yang bersifat kerohanian.

"Cara terbaik menyampaikan dakwah ialah dengan memahami kehendak dan keperluan masyarakat.

"Asatizah perlu tahu apakah pendekatan terbaik untuk mendekati pengikut mereka dan bagi saya secara peribadi ialah melalui fesyen.

"Memang secara alami wanita gemar kelihatan cantik, justeru secara tidak langsung saya menggunakan peluang ini untuk menggabungkan cinta kepada fesyen dengan cinta saya kepada Islam buat para pengikut saya," ujar Ustazah Liyana.