Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PENAHANAN REMAJA 16 TAHUN DI BAWAH ISA

Asatizah setempat yakin perpaduan masyarakat kekal utuh

Namun percaya usaha berterusan perlu demi perkasa diri dan masyarakat
Jan 29, 2021 | 05:30 AM



ASATIZAH setempat yakin akan perpaduan utuh masyarakat berbilang bangsa dan agama Singapura terutama dalam masa-masa genting negara berdepan dengan isu sensitif berkaitan kedua perkara tersebut.



Rata-rata asatizah yang dihubungi Berita Harian (BH) melahirkan rasa sedih dan terkejut berikutan kes seorang remaja bangsa India beragama Kristian Protestan yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana merancang membunuh jemaah di dua masjid di sini.



Namun, mereka yakin insiden tersebut tidak akan dengan mudahnya merobek hubungan silang agama yang kuat yang terjalin antara warga Singapura.



"Masyarakat Singapura sudah lama bersedia menghadapi persoalan yang akan menggugat perpaduan antara agama.



"Anak-anak muda Islam di Singapura yang sudah dididik untuk saling hormat-menghormati teman dan kawan daripada bangsa dan agama lain, perlu menunjukkan contoh yang baik pada masyarakat lain bahawa kita sentiasa bersedia membina kehidupan bersama di negara ini," kata Kaunselor Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), Ustazah Kalthom Isa.



Dihubungi, Ketua Pegawai Eksekutif Safinah Holdings yang juga anggota Jawatankuasa Fatwa, Ustaz Tarmizi Abdul Wahid, berkata beliau terkejut dan bimbang apabila membaca berita tentang penahanan belia berusia 16 tahun itu.



"Bila saya baca berita tersebut ia amat mengejutkan dan membimbangkan juga.



"Pertama dari segi keselamatan masyarakat, para petugas masjid dan para jemaah masjid, tetapi lagi satu aspek adalah bagaimana seorang anak muda boleh dengan mudah terpedaya dengan ajaran-ajaran ekstremis yang tersebar di Internet dan sepertimana kita maklum, ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, ia boleh mempengaruhi anak-anak muda dari apa jua agama dan bangsa," katanya.



Oleh itu, tambah beliau, kita harus lebih berhati-hati dan ambil peduli tentang personaliti, sikap dan minat anak-anak muda.



"Adakah dia (anak muda) pernah meluahkan bahawa dia tidak senang atau benci terhadap sesebuah kaum atau masyarakat?



"Ini merupakan satu pengajaran buat kita semua dan mudah-mudahan kita semua terselamat daripada segala jenis ancaman atau kemudaratan di dalam masyarakat yang boleh mengakibatkan kehilangan nyawa dan juga perpecahan dan perbalahan antara kaum dan agama," ujar Ustaz Tarmizi.



Sementara itu, dosen di Pusat Harmoni, Ustazah Lina Sakinah Salim meluahkan perasaan sedihnya bagi belia itu "kerana dia sudah terjebak dengan pemikiran ekstremis pada usia yang sangat muda".



"Namun saya tidak terperanjat jika kes sebegini boleh muncul dalam kalangan masyarakat kita kerana globalisasi menjadikan dunia seperti tiada tembok yang memisahkan kita daripada elemen di luar sana yang boleh mempengaruhi sesiapa sahaja," katanya.



"Mungkin hikmah di sebalik insiden ini ialah kita perlu lebih bekerjasama antara komuniti Islam dan Kristian Protestan, dan aliran-aliran yang lain juga dalam membicarakan tentang keganasan yang dikaitkan dengan dua agama ini," tambah Ustazah Sakinah.



Para asatizah turut menyeru masyarakat bersikap tenang dalam menghadapi insiden tersebut.



Ketua Pegawai Eksekutif Pergas Ustaz Mohammad Yusri Yubhi Md Yusoff, memberitahu BH:



"Mewakili Pergas, kami ingin menyeru kepada masyarakat termasuk para asatizah sekalian untuk bersikap tenang dalam isu ini.



"Sama-sama kita bersatu hati dalam menangani perkara ini dengan matang bersama warga Singapura yang lain tanpa mengira agama dan bangsa."



Mempunyai mesej serupa, Ustaz Tarmizi menambah bahawa warga Singapura perlu turut yakin akan kebolehan pasukan keselamatan dalam negara dalam menangani isu-isu seperti ini.



"Nasihat saya kepada masyarakat Islam di sini ialah untuk bertenang dan yakin dengan doa kita, dengan tenaga keselamatan negara kita seperti ISD (Jabatan Keselamatan Dalam Negeri), Home Team dan MHA (Kementerian Ehwal Dalam Negeri), yakin bahawa mereka akan memastikan bahawa kita akan sentiasa selamat," kata beliau.



Dalam pada itu, Ustazah Sakinah mengajak masyarakat mengambil iktibar daripada berita tersebut, dan bersyukur bahawa Singapura terselamat daripada ancaman itu kali ini.



"Kita harus bangun dan sedar bahawa ancaman ideologi ekstremis ini adalah benar - kita harus memperkasakan diri supaya tidak mudah terpengaruh dengan suara-suara kebencian atas nama agama, bangsa atau darjat," rayu beliau.



"Saya harap masyarakat sedar akan kepentingan hubungan antara agama, jangan hanya pemimpin-pemimpin agama dalam masyarakat sahaja yang mempunyai hubungan silang agama yang baik, hubungan baik ini harus juga dimanifestasi dalam kalangan pengikut-pengikut agama.



"Hidupkan erti sebenar kerhamonian berbilang agama," ujarnya.




"Namun saya tidak terperanjat jika kes sebegini boleh muncul dalam kalangan masyarakat kita kerana globalisasi menjadikan dunia seperti tiada tembok yang memisahkan kita daripada elemen di luar sana yang boleh mempengaruhi sesiapa sahaja.

Mungkin hikmah di sebalik insiden ini ialah kita perlu lebih bekerjasama antara komuniti Islam dan Kristian Protestan, dan aliran-aliran yang lain juga dalam membicarakan tentang keganasan yang dikaitkan dengan dua agama ini...

Kita harus bangun dan sedar bahawa ancaman ideologi ekstremis ini adalah benar... Saya harap masyarakat sedar akan kepentingan hubungan antara agama, jangan hanya pemimpin-pemimpin agama dalam masyarakat sahaja yang mempunyai hubungan silang agama yang baik, hubungan baik ini harus juga dimanifestasi dalam kalangan pengikut-pengikut agama.

"Hidupkan erti sebenar kerhamonian berbilang agama."

- Dosen di Pusat Harmoni, Ustazah Lina Sakinah Salim.




"... satu aspek adalah bagaimana seorang anak muda boleh dengan mudah terpedaya dengan ajaran-ajaran ekstremis yang tersebar di Internet dan sepertimana kita maklum, ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, ia boleh mempengaruhi anak-anak muda dari apa jua agama dan bangsa...

Ini merupakan satu pengajaran buat kita semua."

- Ketua Pegawai Eksekutif Safinah Holdings yang juga anggota Jawatankuasa Fatwa, Ustaz Tarmizi Abdul Wahid.




"Masyarakat Singapura sudah lama bersedia menghadapi persoalan yang akan menggugat perpaduan antara agama.

Anak-anak muda Islam di Singapura yang sudah dididik untuk saling hormat-menghormati teman dan kawan daripada bangsa dan agama lain, perlu menunjukkan contoh yang baik pada masyarakat lain bahawa kita sentiasa bersedia membina kehidupan bersama di negara ini."

- Kaunselor Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), Ustazah Kalthom Isa.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >