NEGARA-NEGARA Asia harus memperkukuh hubungan dan kerjasama keselamatan serantau, sedang dunia kini berada di "titik yang berpotensi berbahaya dalam sejarah", kata Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen.
Pandemik Covid-19 dan pencerobohan Russia ke atas Ukraine telah mengakibatkan satu 'gempa bumi geopolitik' yang mengubah landskap global, dan menjadikan dunia lebih berpecah belah, katanya.
"Asia harus mengambil pengajaran yang sewajarnya dari Ukraine.
"Kita mesti mendengar nasihat yang mendalam dan memilukan daripada Presiden (Volodymyr) Zelensky mengenai tindakan awal dan pencegahan - apabila konflik sudah tercetus, kemusnahan akan menyusul dan tiada penawar yang akan berkesan," ujar Dr Ng di hari ketiga dan terakhir Dialog Shangri-La di Republik ini semalam.
Beliau merujuk kepada ucapan Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky, yang disampaikan secara maya di dialog itu kelmarin, menggesa sekatan yang lebih ketat terhadap Russia.
Dalam ucapannya, Dr Ng berkata semua negara Asia telah melahirkan rasa hormat terhadap kedaulatan dan keutuhan wilayah sebagai rukun asas.
"Kita mesti memastikan cakap serupa buat jika kita mahu mengelak kemusnahan seperti Ukraine," ujar Dr Ng.
Beliau berkata dunia kini lebih berpecah belah dari segi ideologi, perikatan, budaya, agama, kekayaan dan kesihatan awam.
Pandemik Covid-19 dan perang di Ukraine itu juga telah mendatangkan kesan kepada inflasi, rantaian bekalan dan eksport makanan, antara lain.
Ini mendorong negara-negara untuk memandang ke dalam, memperkukuh perikatan keselamatan dalam kumpulan masing-masing atau meningkatkan keupayaan tentera mereka.
Kesemua faktor ini menjadikan dunia lebih berbahaya sejak kali terakhir sidang keselamatan itu diadakan pada 2019, kata Dr Ng. Dua edisi Dialog Shangri-La sebelum ini telah dibatalkan disebabkan Covid-19.
Dalam ucapannya lagi, Dr Ng mengupas apa yang perlu dilakukan untuk mengubah hala tuju dunia sekarang dan mengelakkan kemusnahan.
Pertama, perang di Ukraine harus dihentikan, kata Dr Ng.
"Pemimpin dan rakyat Ukraine yang akhirnya akan memutuskan bagaimana perang ini akan berakhir, tetapi konflik yang berlarutan akan mendatangkan kesan yang dahsyat kepada Ukraine, Russia dan dunia," kata Dr Ng.
"Russia telah membuat kesilapan strategik untuk kemenangan pantas dan mudah ke atas Ukraine. Untuk meneruskan objektif mereka, mereka akan memerlukan lebih ramai askar dan lebih banyak senjata.
"Kesannya dari segi kewangan akan menjadi berat dan kerahan tenaga rakyat Russia mungkin tidak dapat dicapai tanpa risiko politik yang besar," ujar Dr Ng.
Tambahnya, bagi Ukraine pula, perang yang berlarutan akan menguji sokongan berterusan pemimpin antarabangsa.
Justeru, langkah menghentikan permusuhan akan memberi kelegaan kepada semua pihak, kata Dr Ng.
Tumpuan seterusnya adalah untuk "menghentikan penularan" dan mengelak konfrontasi fizikal di Asia, ujarnya lagi.
"Sekiranya masalah baru timbul di Asia untuk memburukkan lagi keadaan di Eropah, senario terburuk akan berlaku," kata Dr Ng.
Beliau menarik perhatian tentang isu keselamatan yang hangat serta pertikaian sedia ada di Laut China Selatan dan semenanjung Korea serta di sempadan China-India, sebagai contoh.
"Tetapi untuk Asia, kita harus jelas apa yang bukan menjadi isu teras. Ia bukan perjuangan ideologi antara autokrasi dan demokrasi.
"Tolak tepi ciri-ciri dan label, negara-negara Asia terlalu rencam dan pluralistik dan tidak ramai yang akan menyokong pertempuran sengit yang berlaku atas dasar itu," kata Dr Ng.
Isu teras di rantau ini ialah saling kebergantungan yang jauh lebih maju, produktif, dan saling menguntungkan berbanding apa yang dilihat dengan Russia dan Eropah, kata menteri itu, sambil menarik perhatian peranan China sebagai rakan dagangan utama hampir semua negara Asia.
Dari segi keselamatan, Asia mesti mengukuhkan wadah sedia ada seperti Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan Asean (ADMM)-Plus, satu dialog antara Asean dan Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Russia dan Amerika Syarikat.
Ia juga mesti meningkatkan penglibatan secara dalaman di peringkat serantau, dan bersama kuasa di wilayah lain, kata Dr Ng.
"Membina keyakinan dan kepercayaan strategik antara satu sama lain ialah teras pencegahan.
"Kita mesti terus menekankan semangat inklusif dan berbilang hala," gesanya.