Askar RSAF bantu angkat wanita tua naik dan turun tangga

NASIB menyebelahi Cik Loh Ngiuk Lan dan keluarganya apabila mereka pergi makan tengah hari di restoran yang turut dikunjungi sekumpulan askar Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) pada 8 Okt.

Lif ke restoran di tingkat dua itu tidak berfungsi dan sedang Cik Loh memikirkan cara membawa ibu mentuanya yang berkerusi roda naik, datang Sarjan Master Johan Paramasivan dan rakan skuadronnya.

MSgt Paramasivan, 30 tahun, berkata kira-kira 40 askar daripada Skuadron 706 Ketumbukan Generasi Kuasa Udara sedang bertemu di Swatow Seafood Restaurant di Toa Payoh bagi majlis ulang tahun skuadron mereka.

Keluarga Cik Loh mendekati mereka untuk bertanya cara ke tingkat dua, tetapi mereka kemudian mendapati lif tidak berfungsi.

MSgt Paramasivan berkata mereka terdengar ibu mentua Cik Loh berkata beliau akan tunggu di bawah sementara keluarganya makan.

"Kami berasa tidak sedap nenek mahu tunggu di tingkat bawah, jadi kami menawarkan bantuan kami," katanya.

Dengan dua orang di depan, dua sisi dan dua di belakang, mereka mengangkat ibu mentua Cik Loh ke tingkat dua.

Mereka ialah MSgt Johan dan Sarjan Ketiga Sukhdial Singh, kedua-duanya askar tetap, dan empat anggota Perkhidmatan Negara (NS) - Lans Koperal Wong Kai Xiong dan Javier Teo, dan prebet Malcolm Ng dan Ko Kai Sheng.

Selepas keluarga Cik Loh makan tengah hari, mereka meminta enam askar itu tolong mengangkat ibu mentua beliau ke bawah.

"Mereka mengucapkan terima kasih kepada kami dan berkeras hendak menulis kepada Kementerian Pertahanan," kata MSgt Paramasivan. Selepas dipujuk, enam askar itu memberi nama mereka kepada Cik Loh.

Menteri Pertahanan Ng Eng Hen berkongsi cerita itu di Facebook pada Isnin (31 Okt), dengan gambar surat Cik Loh bertarikh 14 Okt

Dr Ng berkata: "Awal bulan ini, enam anggota perkhidmatan daripada Angkatan Udara Republik Singapura mengangkat ibu mentua Cik Loh yang berusia 85 tahun menaiki tangga ke Swatow Seafood Restaurant semasa lif tidak berfungsi. Beliau kemudian menulis untuk memuji mereka."

Waktu Solat

Subuh
5:27
Syuruk
6:49
Zuhur
12:52
Asar
4:14
Maghrib
6:52
Isyak
8:05
3 HR PSI: 38
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.