Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Gan: Risiko rendah berlaku penularan besar daripada forum Bloomberg

MOH sedia tangani kemungkinan berlaku jangkitan, pelbagai langkah diambil pastikan peserta selamat
Oct 26, 2021 | 05:30 AM



KEMENTERIAN Kesihatan (MOH) bersedia menangani sebarang kes jangkitan yang boleh muncul daripada Forum Ekonomi Baru Bloomberg yang akan diadakan di sini bulan depan.



Namun, penularan besar tidak mungkin berlaku kerana peserta forum perlu menjalani ujian praacara setiap hari, kata Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong.



Beliau berkata terdapat kemungkinan kes jangkitan terpencil dikesan daripada ujian harian itu - baik kes diimport mahupun peserta dijangkiti semasa berada di Singapura.



Namun, negara ini mempunyai keupayaan menguruskan kes sedemikian.



"Disebabkan ujian harian itu, kurang kemungkinan akan terdapat penularan besar kerana sejurus mereka diuji positif pada hari pertama, kami akan dapat mengesannya sebelum mereka dapat merebak ke ramai orang," kata Encik Gan kepada media melalui Zoom semalam.



Beliau berkata demikian ketika ditanya apakah sumber kesihatan mencukupi sekiranya kes jangkitan muncul daripada acara seperti forum itu, terutamanya sedang sistem kesihatan negara ini menghadapi tekanan dek jumlah kes jangkitan besar.



Isu berhubung Forum Ekonomi Baru Bloomberg itu timbul kelmarin menyusuli laporan bahawa peserta forum akan dibenarkan duduk makan bersama hingga lima orang semeja di tempat acara dan restoran yang ditetapkan.



Ini mencetuskan keprihatinan bahawa ia melanggar peraturan semasa yang mengenakan had dua orang semeja ketika makan di luar.



Encik Gan menjelaskan peserta forum itu dibenarkan makan hingga lima orang semeja kerana mereka perlu mematuhi protokol ketat, termasuk keperluan sudah divaksinasi sepenuhnya dan menjalani ujian praacara setiap hari semasa persidangan itu.



Peserta warga asing juga perlu menjalani ujian reaksi rantai polimerase (PCR) setiba mereka di Singapura dan kekal di dalam bilik hotel hingga menerima hasil negatif.



Mereka tidak perlu menjalani kuarantin jika keputusan ujian negatif.



Ditanya mengapa pemerintah tidak membenarkan rakyat Singapura menjamu selera dan berhimpun dalam saiz kumpulan lebih besar juga, Encik Gan berkata skala risikonya berbeza.



Jumlah peserta forum itu terhad sedangkan membolehkan orang awam makan di luar dalam kumpulan lebih besar bererti lebih lima juta orang boleh melakukan demikian, ujar beliau.



"Mereka yang dijangkiti mungkin membawa pulang virus itu dan mereka mungkin ada warga emas di rumah yang akan terdedah kepada bahaya," kata Encik Gan.



Dalam pada itu, Encik Gan berkata Singapura adalah sebuah hab perniagaan dan pelancongan, dengan ramai orang dari seluruh dunia datang bertemu di sini, untuk menjalin rangkaian dan melakukan perniagaan.



Oleh itu, adalah penting bagi Singapura kekal terhubung kepada dunia untuk memelihara kedudukannya sebagai sebuah bandar hab, yang akan terus menyokong pemulihan ekonomi dan mencipta pekerjaan baik untuk rakyat Singapura.



Beliau menambah bahawa Forum Ekonomi Baru Bloomberg itu merupakan tanda yakin akan Singapura dan keupayaan negara ini mengendalikan pandemik Covid-19 dalam perjalanan hidup bersama koronavirus itu.



"Kami akan terus bekerjasama dengan pihak penganjur untuk memastikan ia dijalankan dengan selamat.



"Saya faham rakyat Singapura tidak sabar mempunyai saiz kumpulan lebih besar untuk menjamu selera.



"Seperti dijelaskan minggu lalu, kami sedang memantau keadaan, dan jika keadaan mengizinkan, kami akan membuat penyesuaian, termasuk membolehkan jumlah anggota dari isi rumah sama yang lebih ramai menjamu selera bersama," kata beliau.




USAHA KESAN AWAL ELAK TULAR 



"Disebabkan ujian harian itu, kurang kemungkinan akan terdapat penularan besar kerana sejurus mereka diuji positif pada hari pertama, kami akan dapat mengesannya sebelum mereka dapat merebak ke ramai orang... Kami akan terus bekerjasama dengan pihak penganjur untuk memastikan ia dijalankan dengan selamat."



ATURAN DISESUAI DENGAN KEADAAN



"Saya faham rakyat Singapura tidak sabar mempunyai saiz kumpulan lebih besar untuk menjamu selera.



Seperti dijelaskan minggu lalu, kami sedang memantau keadaan, dan jika keadaan mengizinkan, kami akan membuat penyesuaian, termasuk membolehkan jumlah anggota dari isi rumah sama yang lebih ramai menjamu selera bersama."
- Menteri Perdagangandan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >