BELIAU telah mengambil bahagian dalam beberapa Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) sejak 1974, tetapi Cik Jumairah Jamaruddin berkata pengalamannya yang lalu itu tidak boleh dibandingkan dengan acara unik yang akan disertainya pada Sabtu ini.
Menurut Cik Jumairah, 60 tahun, perbarisan kali ini lebih bermakna bagi beliau kerana ia diadakan di tengah-tengah pandemik dan dalam sekitaran yang unik.
Berbeza daripada NDP pada tahun-tahun lalu yang diadakan di satu tempat, NDP kali ini akan dipecahkan kepada lima tempat berbeza, termasuk di Pentas Terapung Marina Bay.
Selain di sana, ia juga diadakan di padang Universiti Nasional Singapura (NUS), Jewel di Lapangan Terbang Changi, Stadium ActiveSG di Yio Chu Kang dan Bendungan Marina.
Hanya 600 peserta akan berada di Pentas Terapung Marina Bay, dengan masing-masing mematuhi jarak sosial semasa membuat persembahan.
Lagi 600 peserta pula, yang mewakili sekolah dan kumpulan masyarakat seperti Persatuan Rakyat (PA), NUS dan Politenik Republic, akan menyertai acara secara maya.
Ini dibandingkan dengan lebih 3,000 peserta yang menjayakan NDP 2018 - kali terakhir perbarisan diadakan di pentas terapung yang sama.
Cik Jumairah, yang akan menyertai perbarisan di Stadium ActiveSG Yio Chu Kang, berkata beliau tidak sabar menantikan persembahan tarinya bermula.
Laporan lanjut: