Subuh
5:46
Syuruk
7:06
Zuhur
1:12
Asar
4:32
Maghrib
7:16
Isyak
8:28

Badan agama alu-alu pendekatan seimbang pemerintah, AGC

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Setempat
27
0

Badan agama alu-alu pendekatan seimbang pemerintah, AGC

Mar 05, 2022 | 05:30 AM

BADAN agama di sini menyambut baik pendekatan seimbang yang diambil pemerintah dan mahkamah berhubung keputusan Mahkamah Rayuan baru-baru ini mengenai Seksyen 377A dalam Kanun Keseksaan - yang menganggap seks antara lelaki sebagai jenayah.

Menerusi satu kenyataan, Majlis Gereja Nasional Singapura (NCCS) berkata kedudukan pemerintah dan Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk mengekalkan Seksyen 377A namun tidak menguatkuasakannya secara proaktif dapat mencapai keseimbangan antara pelbagai kumpulan dengan kepentingan yang bukan sahaja berbeza tetapi juga bertentangan.

Tambahnya, kompromi yang unik ini berkesan sejauh ini dalam usaha mengelak daripada kerenggangan yang lebih mendalam dalam masyarakat setempat.

Bahkan, ia juga dapat memupuk Singapura menjadi sebuah masyarakat inklusif, dengan menganggap penting rasa saling hormat dan saling menerima pandangan dan amalan yang berbeza.

NCCS berkata demikian sebagai respons kepada ucapan Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, di Parlimen kelmarin berhubung keputusan Mahkamah Rayuan mengenai Seksyen 377A itu.

Di bawah seksyen 377A, seorang lelaki yang melakukan perbuatan amat tidak sopan dengan lelaki lain, sama ada di tempat awam atau secara peribadi, boleh dipenjara hingga dua tahun.

Pengerusi Lembaga Penasihat Sikh, Encik Malminderjit Singh, berkata badan itu bersetuju dengan pendekatan seimbang yang diambil mahkamah berhubung rayuan yang dikemukakan terhadap Seksyen 377A itu.

"Kami yakin keputusan ini mengambil kira dan mengimbangi kepentingan semua segmen masyarakat serta memelihara perpaduan dan keharmonian sosial.

"Kami menggalak semua pihak yang berminat untuk terus mengadakan dialog yang membina dalam masyarakat berhubung hal ini," ujar beliau.

Menurut NCCS, mereka bersetuju bahawa hal berkaitan seksualiti merupakan isu yang amat berkontroversi dan boleh memecahbelahkan masyarakat sekiranya tidak ditangani dengan baik.

Oleh itu, mereka mengesahkan pendekatan pemerintah mendukung sebuah masyarakat yang stabil dengan nilai keluarga heteroseksual yang tradisional, namun dengan ruang bagi golongan homoseksual menjalankan kehidupan masing-masing dan menyumbang kepada masyarakat.

"Kami juga bersetuju dengan kedudukan konsisten mahkamah bahawa hal berkaitan seksualiti, dan khususnya dalam kes ini sama ada untuk memansuhkan Seksyen 377A, kekal dalam bidang kuasa Parlimen dan bukan badan kehakiman," ujar NCCS.

Dalam ucapannya, Encik Shanmugam berkata isu sedemikian perlu dibincangkan secara berterusan dengan penyelesaian terbuka dalam domain politik, di mana usaha dapat dijalankan untuk memupuk sepersetujuan berbanding mencapai hasil kalah atau menang di mahkamah.

NCCS berkata mereka akan terus bekerja rapat dengan pemerintah sedang ia mempertimbang cara terbaik menangani Seksyen 377A, termasuk berbincang dengan pelbagai kumpulan dengan pandangan yang berbeza.

"Kami gembira pemerintah akan menjalankan usaha ini dengan cara yang terus mengimbangi antara... pandangan yang berbeza dan (mengelak daripada) tiba-tiba menyebabkan perubahan yang boleh menyahstabilkan dalam norma sosial dan jangkaan orang ramai," ujarnya.

Mereka turut menarik perhatian pengiktirafan pemerintah bahawa keluarga heteroseksual yang stabil kekal sebagai norma sosial, dengan kedudukan undang-undang sekarang mencerminkan norma, nilai dan sikap masyarakat.

Pejabat Perhubungan Ketua Biskop, Gereja Roman Katolik Singapura, berkata Singapura bertuah mempunyai pemerintah yang mengutamakan kestabilan dan keharmonian dalam masyarakat yang berbilang kaum dan agama di sini, lebih daripada sebarang kepentingan kumpulan tertentu.

"Gereja (Roman Katolik Singapura) juga tidak menerima perbuatan meminggirkan mereka yang tidak berpegang pada nilainya, termasuk mereka dengan orientasi LGBTQ+."Kami juga meminta mereka yang tidak berpegang pada nilai kami untuk menghormati hak kami untuk mengamalkan kepercayaan keagamaan kami tanpa rasa gentar atau pilih kasih," ujarnya.

PANDANGAN

ENCIK K. SHANMUGAM DAN MAHKAMAH RAYUAN

“Kita mesti menghormati pandangan berbeza, mempertimbangnya dengan teliti, bercakap dengan kumpulan yang berbeza.
Jika dan apabila kami membuat keputusan untuk mengambil langkah, kami akan berbuat demikian dalam cara yang mengimbangi sudut pandangan yang berbeza ini, dan mengelak daripada menyebabkan perubahan yang mendadak dan menggugat kestabilan dalam norma sosial dan jangkaan ramai.”

– Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam.

“(Rayuan yang dikemukakan berhubung Seksyen 377A itu) bukan tentang sama ada Seksyen 377A harus dikekalkan atau dimansuhkan kerana hal itu berada di luar bidang kuasa kami. Ia juga bukan tentang nilai moral individu homoseksual.
 Seperti yang dikatakan Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, individu homoseksual merupakan sebahagian masyarakat kita serta kaum keluarga kita.
(Rayuan) ini juga bukan tentang jenis asas orientasi seksual... yang merupakan persoalan di luar bidang kuasa undang-undang dan di luar skop mahkamah juga.”

- Penghakiman bertulis Mahkamah Rayuan yang disampaikan Ketua Hakim, Encik Sundaresh Menon, bagi pihak panel lima hakim.


BADAN AGAMA

“Masyarakat Islam berpandukan ajaran dan nilai moral berasaskan agama, termasuk dalam perkara berkaitan seksualiti, perkahwinan dan keluarga sebagai unit sosial yang penting.
Kami mengalu-alukan komitmen pemerintah untuk mengekalkan norma dan nilai keluarga di Singapura kerana ia masih kukuh dan akan terus kekal kukuh.
Pada masa yang sama, kita perlu terus memberikan layanan yang penuh hormat dan ihsan kepada semua.”

– Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).

“Kita bertuah mempunyai pemerintah yang mengutamakan kestabilan dan keharmonian dalam masyarakat kita yang berbilang agama dan bangsa, lebih daripada sebarang kepentingan kumpulan tertentu.
Gereja (Roman Katolik Singapura) tidak menerima perbuatan meminggirkan mereka yang tidak berpegang pada nilainya, termasuk mereka dengan orientasi LGBTQ+.
 Kami juga meminta mereka yang tidak berpegang pada nilai kami untuk menghormati hak kami untuk mengamalkan kepercayaan keagamaan kami tanpa rasa gentar atau pilih kasih.”

– Pejabat Perhubungan Ketua Biskop, Gereja Roman Katolik Singapura.

“Kami akan terus bekerja rapat dengan pemerintah sedang ia mempertimbang cara terbaik menangani Seksyen 377A, termasuk berbincang dengan pelbagai kumpulan dengan pandangan yang berbeza.
 Kami gembira pemerintah akan menjalankan usaha ini dengan cara yang terus mengimbangi antara... pandangan yang berbeza dan (mengelak daripada) tiba-tiba menyebabkan perubahan yang boleh menyahstabilkan dalam norma sosial dan jangkaan orang ramai.”

– Majlis Gereja Nasional Singapura (NCCS).

“Kami yakin keputusan ini mengambil kira dan mengimbangi kepentingan semua segmen masyarakat serta memelihara perpaduan dan keharmonian sosial.
Kami menggalak semua pihak yang berminat untuk terus mengadakan dialog yang membina dalam masyarakat berhubung hal ini.”

– Pengerusi Lembaga Penasihat Sikh, Encik Malminderjit Singh.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3