Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SUMBANGAN DERMA KEPADA BADAN AMAL

Badan amal pertingkat usaha kumpul derma secara hibrid pascapandemik

Dec 24, 2022 | 05:30 AM



BADAN-BADAN Melayu/Islam di sini sedang mempertingkat pendekatan mereka untuk mendapatkan derma melalui kegiatan fizikal dan maya dalam tempoh pascapandemik, termasuk dengan mengadakan acara hibrid untuk mendekati kedua-dua golongan muda dan tua.



Namun, beberapa badan tersebut turut melahirkan keprihatinan, memandangkan cabaran yang dibawa pandemik Covid-19, termasuk ekonomi tidak menentu dan inflasi, mungkin menjejas penderma yang kini lebih berhemat dalam perbelanjaan mereka.



Beberapa badan Melayu/Islam memberitahu Berita Harian (BH) bahawa mereka telah beralih memanfaatkan wadah digital, seperti melalui laman, bagi memudahkan orang ramai memberi sumbangan derma semasa pandemik Covid-19, dan kaedah ini akan terus diamalkan dalam era pascapandemik ini.



Pertapis, misalnya, berkata mereka sedang meningkatkan pendekatan melalui platform digital untuk mendekati golongan muda, dan merancang mengadakan acara hibrid yang menggabungkan pengalaman fizikal dan dalam alam maya bagi mendekati kedua-dua mereka yang muda dan tua.



"Bagi tahun depan, kami merancang acara dalam talian, mempertingkat kekerapan acara fizikal kami dan memanfaatkan media sosial untuk mendekati penderma," kata eksekutif komunikasi korporat badan itu, Encik Muhaimin Ali.



AMP Singapura pula akan bekerjasama dengan penderma yang ingin memanfaatkan faedah padanan derma pekerja yang disediakan oleh majikan tertentu.



Antara lain, ia berkolaborasi dengan firma teknologi kewangan, GivePlease, untuk mengumpul dana melalui terminal firma itu yang diletakkan di beberapa kedai dan tempat makan bagi pengunjung memberi sumbangan.



Presiden Darul Arqam, Encik Adam Foo, pula berkongsi bahawa badan itu telah mula menawarkan program yang diadakan kedua-dua dalam talian dan fizikal untuk cuba menyesuaikan keadaan untuk semua.



Namun, beliau berkata cabaran terbesar mereka adalah untuk kembali mengadakan kegiatan fizikal memandang ramai yang sudah terbiasa dengan kegiatan yang diadakan dalam talian semasa pandemik.



"Ini terutamanya apabila kegiatan dalam talian dianggap lebih mudah diakses.



"Kami perlu memastikan kegiatan kami dilakukan dengan perancangan teliti, terutamanya dengan memasarkan kegiatan ini di media sosial kami dan menarik seramai mungkin peserta," kata beliau.



Meskipun kegiatan pendekatan bagi menarik lebih ramai penderma dipergiatkan, sesetengah badan menyuarakan keprihatinan tentang inflasi dan keadaan ekonomi yang boleh menjejas usaha mendapatkan derma.



"Faktor seperti pemberhentian kerja disebabkan Covid-19, ekonomi tidak stabil dan kos sara hidup yang meningkat boleh menyebabkan penderma bersikap lebih berhemat dalam perbelanjaan atau menderma.



"Memandang ke hadapan, Pertapis akan memanfaatkan teknologi dan pendigitalan dalam usaha pengumpulan dana kami," kata Encik Muhaimin.



Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) pula berkata dengan pembukaan semula ekonomi, perbelanjaan individu mungkin akan bertambah dan "ini akan menjejas simpanan orang awam bagi menderma". Ini selain kenaikan inflasi yang juga menimbulkan cabaran.



"Namun begitu, keadaan sedemikian juga boleh menjadi sesuatu yang positif bagi badan amal mendapatkan dana kerana kami boleh berkongsi cerita tentang cabaran orang dalam menangani kos sara hidup yang meningkat, dan dalam konteks LBKM, kos pendidikan yang meningkat," kata badan itu.



Sedang lebih banyak badan-badan memanfaatkan wadah digital bagi mendapatkan derma, muncul juga satu lagi cabaran - iaitu bagi badan-badan di sini memastikan proses dalaman mereka diteliti dengan baik dan terdapat perlindungan terhadap serangan siber.



Cik Shiffa Khumaira Abdul Khaliq, pengurus, pengumpulan dana, AMP, berkata pihaknya memastikan para pegawai mereka mendapat latihan yang sesuai supaya dapat menjalankan tugas dengan baik di tengah-tengah perubahan digital ini.



"Tambahan lagi, semakin kita bergantung kepada peralatan digital, ia juga bermakna kita harus memastikan dunia digital kita bebas dari serangan siber dan sebagainya.



"Di AMP kami telah mengambil langkah-langkah tertentu untuk mengukuhkan lagi perlindungan digital kami," kata beliau.




"Kami perlu memastikan kegiatan kami dilakukan dengan perancangan teliti, terutamanya dengan memasarkan kegiatan ini di media sosial kami dan menarik seramai mungkin peserta."
- Presiden Darul Arqam, Encik Adam Foo.



"Memandang ke hadapan, Pertapis akan memanfaatkan teknologi dan pendigitalan dalam usaha pengumpulan dana kami."
- Eksekutif komunikasi korporat Pertapis, Encik Muhaimin Ali.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >