'Badan Melayu perlu percepat proses pembaharuan kepimpinan'

Yaacob: Perlu ada bakat muda sandang jawatan

BADAN Melayu/Islam perlu terus berusaha menyuntik tenaga muda dalam pertubuhan masing-masing bagi memastikan adanya pembaharuan kepimpinan, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim.

"Kadarnya terlalu perlahan untuk keselesaan saya. Tetapi semakin ada perubahan," ujar Dr Yaacob.

Beliau berkata demikian semasa ditanya mengenai proses pembaharuan kepimpinan dalam masyarakat.

Dr Yaacob memuji usaha badan seperti Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) dan Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) yang membawa masuk dan melibatkan golongan muda.

Contohnya, LBKM di bawah kepimpinan Presidennya, Encik Suhaimi Salleh, telah mengambil langkah mengehadkan tempoh jawatan presiden dan anggota majlis eksekutifnya yang tiada batas sebelum ini kepada lapan tahun.

"Kita mesti terbuka kepada idea pembaharuan kepimpinan. Jika tidak, anda menjadi tidak fleksibel, ketinggalan zaman dan tidak relevan kepada masyarakat," ujar Dr Yaacob.

Beliau memberi contoh program Inkubator Kepimpinan (LI) Kelab Mendaki yang memberi peluang kepada anak muda terlibat dalam projek masyarakat dan dalam jawatan kepimpinan.

Di peringkat masjid pula, beliau berkata terdapat juga usaha menggandingkan anggota muda dan lebih mapan dalam lembaga pengurusan masjid.

Selain itu, beliau sentiasa memberi tumpuan pada proses pembaharuan kepimpinan dalam badan seperti Yayasan Mendaki dan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM) dan Mahkamah Syariah.

Dalam temu bual itu, Dr Yaacob turut meluahkan harapannya agar badan Melayu terus menumpukan usaha mereka membawa masyarakat ke tahap lebih tinggi.

"Saya ingin lebih banyak badan kita terus menyesuaikan diri kepada situasi yang baru, tumpukan perhatian mereka pada bidang yang mereka inginkan dan pada masa yang sama, mempertingkatkan kemahiran mereka untuk menjadi pihak berwibawa dalam bidang itu," kata Dr Yaacob.

Ini mungkin memerlukan badan Melayu untuk menukar strategi dan menumpukan perhatian dan sumber terhad mereka kepada beberapa bidang yang diperlukan, tambahnya.

Misalnya, PPIS telah memberi tumpuan kepada cabaran keluarga Melayu dan Yayasan Mendaki telah memberi fokus kepada pendidikan, kata Dr Yaacob.

Mengimbas 14 tahun menyandang portfolio Ehwal Masyarakat Islam - paling lama berbanding Menteri lain sebelum ini, Dr Yaacob berkata banyak yang telah diusahakan bersama badan Melayu untuk mempertingkatkan masyarakat.

"Ini satu tanggungjawab yang sungguh mencabar dan berat dibandingkan dengan portfolio lain, tetapi jika berjaya, memberi kepuasan yang sukar dicari dalam arena lain.

"Selepas 14 tahun berlalu dalam jawatan ini, saya bersyukur diberi peluang untuk bekerjasama dengan masyarakat kita untuk memastikan kita maju bukan sebagai masyarakat terasing tetapi sebuah masyarakat yang bersaing dan bersama dengan masyarakat lain," ujar Dr Yaacob.

Tahun ini menandakan 20 tahun beliau memasuki arena politik sebagai Anggota Parlimen GRC Jalan Besar pada 1997.

Setahun kemudian, beliau dilantik Setiausaha Parlimen (Perhubungan) hingga menjadi Menteri Pembangunan Masyarakat dan Sukan merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, bermula sebagai Pemangku Menteri pada 2002 dan sebagai Menteri penuh pada tahun berikutnya.

"Kita mesti terbuka kepada idea pembaharuan kepimpinan. Jika tidak, anda menjadi tidak fleksibel, ketinggalan zaman dan tidak relevan kepada masyarakat... Saya ingin lebih banyak badan kita terus menyesuaikan diri kepada situasi yang baru, tumpukan perhatian mereka pada bidang yang mereka inginkan dan pada masa yang sama, mempertingkatkan kemahiran mereka untuk menjadi pihak berwibawa dalam bidang itu."

- Dr Yaacob Ibrahim, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.

Waktu Solat

Subuh
5:27
Syuruk
6:49
Zuhur
12:52
Asar
4:14
Maghrib
6:52
Isyak
8:05
3 HR PSI: 37
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.