BAHAGIAN pertama Lebuh Raya Lornie - yang dahulu dikenali sebagai Bukit Brown Road - dibuka kepada pengguna sekitar 3 pagi semalam, lebih dua tahun selepas tarikh pembukaan asal.
Selari dengan Lornie Road, bahagian jalan raya yang menghala ke selatan itu dijangka memperlicin laluan trafik dari Thomson ke Ekspreswe Pan-Island (PIE) serta ke Adam Road dan Farrer Road.
Jabanah yang dibina berhampiran laluan masuk ke lebuh raya baru itu pula membenarkan pemandu memasuki kawasan perumahan di Lornie Road.
Satu jalan raya sementara – berhampiran Sime Road – turut dibina untuk mengghubungkan trafik yang menghala ke Selatan di Lornie Road dengan Lebuh Raya Lornie, kata The Straits Times dalam laporannya.
Penduduk dan pengguna jalan raya yang dihubungi ST berkata mereka berharap lebuh raya baru itu akan mengurangkan kesesakan di Lornie Road pada waktu sibuk.
“Kesesakan lalu lintas di Lornie Road biasanya berlaku pada 8 pagi,” kata usahawan Encik Delane Lim, 33 tahun, yang memandu dari Sengkang ke Adam Road atau Bukit Timah setiap hari.
“Lorong masuk ke jalan raya itu selalu sesak,” tambahnya.
Awal bulan ini, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) menasihatkan pengguna Lornie Road yang menghala ke PIE, Adam Road dan Farrer Road supaya menggunakan lebuh raya baru ini.
Bahagian Lornie Road yang menghala ke Selatan, semalam, dikurangkan daripada empat kepada dua lorong.
Pemandu yang menggunakan jejambat MacRitchie dihubungkan secara langsung ke lebuh raya baru itu.
Pemandu di Lornie Road yang menghala ke Selatan boleh memasuki lebuh raya ini menggunakan jalan raya penghubung.
Dalam pada itu, Lebuh Raya Lornie yang menghala ke Utara akan dilengkapkan secara berperingkat.
Ia dijangka lengkap sepenuhnya dan dibuka kepada pengguna pada suku pertama tahun depan.
Lebuh Raya Lornie dibina untuk menampung trafik yang dijangka bertambah antara 20 dengan 30 peratus menjelan 2020, menyusuli pembangunan semula kawasan Bukit Brown.
Projek jalan raya itu telah beberapa kali tergendala sejak diumumkan pada 2011.
Tarikh pelengkapannya telah dianjak dari pertengahan 2016 kepada akhir 2017, sebelum ditangguh kepada dua tarikh bermula suku ketiga tahun ini.
Pengumuman projek itu mencetus bantahan kuat daripada kumpulan aktivis pemeliharaan warisan dan alam semula jadi.
Sebahagian hutan telah dilapangkan dan sebahagian perkuburan Bukit Brown - tempat persemadian ramai tokoh perintis di Singapura telah digali dan ditanam semula untuk memberi jalan kepada projek ini.
Lebih 3,000 kubur di kawasan itu terjejas.