Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:08
Isyak
8:23
Setempat

Bahas Belanjawan: NTUC rintis Majlis Jaminan Pekerjaan, padankan pekerja diberhenti kepada jawatan kosong

Feb 26, 2020 | 03:22 PM

KONGRES Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) akan bekerjasama dengan 4,000 syarikat untuk menawarkan jawatan kosong kepada golongan profesional, pengurus dan eksekutif (PME) yang diberhentikan dengan secepat mungkin.

Majlis Jaminan Pekerjaan yang baru itu akan mengumpul maklumat mengenai jawatan kosong, pekerjaan yang boleh diubah semula, serta pekerjaan yang akan lenyap, kata setiausaha agung NTUC, Encik Ng Chee Meng di Parlimen pada Rabu (26 Februari).

Beliau menambah bahawa dengan adanya maklumat itu, majlis tersebut akan memadankan pekerja yang diberhentikan kepada syarikat-syarikat yang sedang menggajikan pekerja.

Sebanyak 4,000 syarikat yang terlibat dalam majlis tersebut merupakan syarikat daripada pelbagai sektor yang menggajikan sekitar 500,000 pekerja.

Sebanyak 90 peratus daripada syarikat-syarikat itu merupakan syarikat kecil dan sederhana (SME) dan antaranya ialah pembuat enjin Rolls-Royce dan peruncit jual roti Swee Heng Bakery dan Montreux Patisserie.

Encik Ng berkata langkah itu diambil sedang pekerja, kebanyakan yang berusia 40-an hingga 50-an tahun, prihatin tentang PME yang diberhentikan kerja kerana kemahiran mereka kini kurang relevan memandangkan teknologi pesat berkembang. 

Pekerja ini mungkin akan mengambil masa yang lama untuk mendapatkan pekerjaan baru dan ia mungkin tidak memberi gaji setinggi dahulu, atau tidak dapat memanfaatkan kemahiran mereka dengan sepenuhnya.