Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

'Bahasa ibunda penting bagi warisan, identiti kita'

Antara sebab sumbangan guru bahasa ibunda amat berharga: Iswaran di majlis penyampaian Anugerah Guru Arif Budiman
Nov 07, 2021 | 05:30 AM



SEMENTARA bahasa Inggeris akan terus memainkan peranan sebagai bahasa pentadbiran, pengantara dan perdagangan, bahasa ibunda juga adalah penting bagi orang ramai memahami diri mereka dengan lebih mendalam serta warisan dan identiti mereka, kata Menteri Pengangkutan, Encik S Iswaran.



Malah sedang warga memperluas pengalaman dan menghadapi globalisasi, beliau berkata adalah lebih penting mereka terhubung kukuh menerusi akar umbi budaya yang mendalam.



"Inilah sebabnya sumbangan guru bahasa ibunda kita amat berharga.



"Kita harus merebut setiap peluang untuk melengkapkan anak-anak kita dengan pengetahuan yang relevan, dan membolehkan mereka membuat keputusan bijak dalam melayari kehidupan.



"Dengan asas yang kukuh dalam bahasa ibunda, mereka akan lebih bersedia menjalin hubungan dengan orang dari setiap pelosok dunia," ujar Encik Iswaran semasa berucap di majlis penyampaian Anugerah Guru Arif Budiman (Agab) semalam.



Majlis hibrid yang berlangsung secara fizikal di Max Atria, Singapore Expo, dan menerusi dalam talian itu turut dihadiri Menteri Kedua Pendidikan, Dr Mohamad Maliki Osman, yang juga pengerusi Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC) serta Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara) Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, yang juga pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS).



Agab dianjurkan MBMS, Persatuan Guru Bahasa Melayu (PGBM), Berita Harian dan MLLPC.



Encik Iswaran turut menyampaikan anugerah itu kepada lima guru bahasa Melayu di majlis semalam.



Mereka ialah Cik Manisah Osman, Encik Mohd Fuad Salim dan Encik Zulhafiz Zainal yang menerima anugerah tersebut dalam Kategori Teladan manakala Cik Shaheda Salim dan Cik Nor Azlin Abdul Aziz menerima anugerah itu dalam Kategori Perangsang.



Menarik perhatian data daripada Banci Penduduk 2020 yang menunjukkan bahawa lebih 60 peratus daripada mereka yang berusia antara lima dengan 14 tahun dalam masyarakat Melayu menggunakan bahasa Inggeris di rumah, Encik Iswaran berkata jumlah ini lebih tinggi berbanding sedekad lalu, iaitu 26 peratus.



Namun, data itu juga menunjukkan bahawa di kalangan orang Melayu yang paling kerap bertutur menggunakan bahasa Inggeris di rumah, lebih 90 peratus daripada mereka turut bertutur menggunakan bahasa Melayu di rumah.



Tambahnya, ini menunjukkan bahawa keluarga kita kian bertambah selesa berdwibahasa.



"Belia kita adalah masa depan kita dan bertanggungjawab bagi bahasa serta warisan kita pada masa akan datang.



"Bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya, kita harus memupuk minat yang mendalam bagi bahasa ibunda mereka dalam kalangan golongan muda.



"Guru bahasa Melayu kita memainkan peranan penting dalam misi ini, dengan usaha mereka yang tidak putus-putus dan peranan unik mereka untuk mencetus minat belajar dalam kalangan pelajar," ujar Encik Iswaran.



Agab meraikan ulang tahun ke-15 dalam usaha mulianya mengiktiraf guru bahasa Melayu yang memainkan peranan penting menyemarakkan semangat cinta pelajar terhadap bahasa Melayu sejak 2007.



Sejauh ini, seramai 64 guru bahasa Melayu cemerlang dari peringkat sekolah rendah hingga maktab rendah telah menerima anugerah tersebut di atas sumbangan besar mereka kepada pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu.



Laporan lanjut:






Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >