BAHAYA e-sampah

Sekalipun terdapat keprihatinan mengenai sampah plastik yang semakin meningkat, Menteri Sekitaran dan Sumber Air Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad baru-baru ini pula menarik perhatian pada kebimbangan yang lebih mendesak yang dihadapi negara ini - e-sampah atau sampah elektronik. "E-sampah adalah sangat toksik, ramai orang meremehkan ketoksikan e-sampah yang dibuang dan sejak sekian lama, kami tidak menangani (masalah e-sampah) ini," ujar Encik Masagos. BERITA HARIAN menyorot masalah e-sampah ini dan apa yang boleh dilakukan bagi mengitar semula e-sampah.

Apa itu e-sampah atau sampah elektronik?

E-sampah adalah barangan eletronik atau elektrikal yang tidak digunakan atau dipakai dan dibuang. Ia termasuk hampir kesemua alat yang mendapat 'kuasa' daripada sumber elektrikal termasuk soket elektrik atau bateri.

Contoh-contoh e-sampah yang lazimnya dibuang termasuk peralatan teknologi infokom seperti komputer, komputer riba dan tablet, telefon bimbit, bateri, pencetak serta pelbagai perkakas dan aksesori seperti papan kekunci, modem, monitor, tetikus, stesen dok, pemacu cakera, pengecas bateri dan sebagainya.

Peralatan di rumah seperti televisyen, peti sejuk, alat penghawa dingin, mesin pembasuh, periuk nasi, ketuhar gelombang mikro, pembakar roti, cerek elektrik, pemproses makanan dan pengisar, pemain DVD / video / muzik, radio dan pembersih vakum - jika dibuang, akan tergolong dalam kategori ini - e-sampah.

Lain-lain e-sampah termasuk bal lampu dan peralatan pencahayaan, bateri, mainan elektronik serta peralatan riadah dan bersukan yang dibuang.

Komponen utama e-sampah biasanya terdiri daripada logam dan plastik tetapi juga mengandungi sejumlah kecil logam berat dan bahan-bahan yang menimbulkan keprihatinan (substances of concern), contohnya seperti yang terdapat di dalam papan litar bercetak.

Kepelbagaian e-sampah menjadikannya sukar untuk menentukan dengan pasti kandungan bahan-bahannya - contohnya peti sejuk dan penghawa dingin khususnya mengandungi bahan pendingin untuk membolehkan penyejukan berlaku, tetapi proses penyejukan ini juga boleh menyumbang kepada pengurangan lapisan ozon atau perubahan iklim.

Komposisi bahan telefon bimbit pula sangat berbeza berbanding cerek elektrik.

Sebagai individu atau keluarga, anda boleh memainkan peranan mengurangkan e-sampah melalui cara-cara ini:

  • Membaikpulih perkakas elektronik semampu yang boleh;
  • Menggunakan semula atau mendermakan perkakas yang masih baik lagi; dan
  • Mengitar semula peralatan yang tidak digunakan lagi dengan memanfaatkan kemudahan pengitaran semula yang disediakan oleh pihak berkepentingan industri.

Bagaimana e-sampah diuruskan hari ini?

1. Kitaran semula e-sampah

Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) telah bekerja rapat dengan rakan industri dan masyarakat untuk mendorong lebih banyak kitaran semula e-sampah melalui program-program sukarela yang diterajui rakan-rakan industri.

Sekalipun usaha sukarela untuk mengitar semula e-sampah telah menampakkan hasil yang memberangsangkan, NEA akur kekurangan pendekatan secara sukarela itu dengan perlunya diperkenalkan semacam satu sistem yang ditadbir bagi tempoh jangka masa yang panjang.

NEA berminat memperluaskan inisiatif sukarela itu di samping memperkenalkan sistem pengurusan e-sampah yang diselia bagi memastikan usaha mengitar semula e-sampah dapat dilakukan dengan mudah dan mesra sekitaran.

Satu kajian sedang diusahakan untuk membangunkan sistem yang boleh dilaksanakan untuk pengumpulan dan mengitar semula e-sampah.

2. Kawalan di tahap awal - Sekatan ke atas bahan berbahaya untuk peralatan elektrik dan elektronik

Sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengekalkan kemampanan alam sekitar dan pelan keseluruhan untuk meminimumkan kesan alam sekitar e-sampah, NEA telah melaksanakan kawalan tahap awal melalui sekatan bahan berbahaya (RoHS) dalam peralatan elektrik dan elektronik (EEE).

Langkah-langkah kawalan, yang berkuatkuasa pada 1 Jun 2017, menyekat tahap enam bahan berbahaya dalam EEE yang dikenal pasti.

Ini akan mengurangkan jumlah logam berat memasuki aliran sampah dan meningkatkan potensi kitar semula abu pembakaran, seterusnya memanjangkan jangka hayat Pulau Semakau - satu-satunya kawasan kambus abu sampah di Singapura.

Mengapa pentingnya mengitar semula e-sampah?

1. Mengitar semula e-sampah melindungi kesihatan manusia dan alam sekitaran. Membuang e-sampah secara sembarangan membawa kepada pencemaran alam sekitar dan ini boleh menjejaskan kesihatan manusia.

Cara terbaik untuk menangani e-sampah ialah dengan mengitar semula dengan betul.

E-sampah terdiri daripada pelbagai komponen dan memerlukan peralatan khusus untuk dipisahkan, dihancurkan, diproses dan seterusnya diekstrak bahan-bahan utamanya yang kemudian boleh dijadikan produk baru.

Ini perlu dilakukan dalam sistem terkawal untuk mencegah pencemaran dan memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

2. Mengitar semula e-sampah membantu untuk memulihara sumber semula jadi yang berharga bumi kita.

Bahan kitar semula digunakan untuk membuat produk baru. Ini mengurangkan keperluan untuk meneroka bahan mentah yang terhad dari muka bumi ini. Mengurangkan keperluan perlombongan juga mengurangkan pencemaran kerana proses perlombongan mempunyai kesan terhadap persekitaran kita. - NEA

Waktu Solat

Subuh
5:45
Syuruk
7:04
Zuhur
1:09
Asar
4:25
Maghrib
7:13
Isyak
8:23
3 HR PSI: 32
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.