SEMUA warga Singapura berusia 21 tahun dan ke atas yang layak akan menerima satu bayaran khas sekali antara $200 dengan $400 pada Jun 2023.
Sekitar 2.5 juta warga Singapura dengan pendapatan yang ditaksir (AI) $100,000 dan ke bawah dan tidak mempunyai lebih satu hartanah dijangka mendapat Bayaran Khas Kos Sara Hidup (COL) 2023 itu.
Ini merupakan antara langkah sokongan sekali sahaja sebagai tambahan di bawah Pakej Jaminan yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, semasa membentangkan Belanjawan pada Selasa.
Langkah tambahan itu bertujuan menyokong warga Singapura yang prihatin tentang isu kos sara hidup sekarang sedang inflasi utama Singapura dijangka kekal tinggi, sekurang-kurangnya bagi pertengahan pertama 2023.
Selain Bayaran Khas COL 2023 bagi warga dewasa yang layak, Encik Wong turut mengumumkan sokongan tambahan buat warga emas dan mengumumkan Bonus Warga Emas COL 2023 dengan bayaran antara $200 dengan $300 bagi warga emas yang berusia 55 tahun dan ke atas dengan AI tidak melebihi $34,000 dan tidak memiliki lebih satu hartanah.
Nilai Tahunan (AV) rumah juga tidak boleh melebihi $21,000.
Bonus Warga Emas COL sekali itu, yang akan diberikan pada Jun 2023, adalah tambahan kepada Bonus Warga Emas Pakej Jaminan yang akan diterima warga emas yang layak pada 2023.
Sementara itu, sekitar 950,000 isi rumah warga Singapura akan meraih manfaat daripada Bayaran Khas U-Save COL yang akan menggandakan jumlah rebat Baucar GST (GSTV) - U-Save yang diberikan kepada isi rumah bagi baki tiga kali lagi pada 2023 - pada April, Julai dan Oktober.
Bersama rebat U-Save Pakej Jaminan yang telah diberikan pada Januari 2023, isi rumah Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) yang layak akan menerima seganda jumlah rebat GSTV - U-Save yang biasa pada 2023.
"Secara keseluruhan, isi rumah yang layak boleh menjangkakan untuk menerima Rebat U-Save hingga $760 tahun ini," ujar Encik Wong.
Beliau turut mengumumkan sokongan sekali tambahan bagi perbelanjaan anak bagi 2023.
Langkah ini dijangka dapat dimanfaatkan sekitar 770,000 kanak-kanak menerusi tokokan kepada Akaun Pembangunan Anak (CDA), akaun Edusave dan Akaun Pendidikan Posmenengah (PSEA).
Setiap kanak-kanak warga Singapura berusia hingga enam tahun akan menerima tokokan sekali sebanyak $400 kepada CDA mereka mulai September 2023.
Sementara itu, setiap anak warga Singapura berusia tujuh hingga 16 tahun dan mereka yang berusia 17 hingga 20 tahun pula masing-masing akan menerima tokokan sekali sebanyak $300 kepada akaun Edusave dan PSEA mereka pada Mei 2023.
Tokokan sekali kepada akaun Edusave bagi 2023 itu adalah tambahan daripada sumbangan pemerintah kepada akaun itu setiap tahun.
Secara keseluruhan, peningkatan kepada Pakej Jaminan - termasuk langkah sokongan sekali sahaja - yang diumumkan itu bernilai $3 bilion dan ini akan menambah jumlah Pakej Jaminan daripada $6.6 bilion kepada $9.6 bilion.
Encik Wong berkata peningkatan kepada Pakej Jaminan itu juga mencerminkan komitmen pemerintah untuk membantu warga Singapura mengharungi tempoh mencabar sekarang, dengan harga yang lebih tinggi.
"Kami telah memberikan sokongan yang menyeluruh tahun lalu dan kami melakukannya lagi tahun ini," ujarnya.
SOKONGAN BAGI ISI RUMAH TANGANI INFLASI DAN GST
Bayaran tunai dan sokongan lain untuk membantu keluarga tangani kenaikan perbelanjaan sehari-hari disebabkan inflasi tinggi dan kenaikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST)
CONTOH 1:
PASANGAN BERPENDAPATAN RENDAH BERSAMA DUA ANAK KECIL
(Flat HDB tiga bilik, pendapatan isi rumah $2,300 sebulan)
Suami: 34 tahun, pendapatan $2,300 sebulan
Isteri: 32 tahun, suri rumah
Anak perempuan: 4 tahun
Anak lelaki: 2 tahun
Terima bantuan sekitar $5,500 pada 2023
Bayaran tunai: $3,300
Tokokan MediSave: $300
Tokokan Akaun Pembangunan Anak (CDA): $800
Rebat U-Save: $680
Rebat S&CC: ~$115*
Baucar CDC: $300
* Bersamaan dengan sekitar dua setengah bulan Rebat S&CC
CONTOH 2:
KELUARGA TIGA GENERASI
(Flat HDB lima bilik, pendapatan isi rumah $12,600 sebulan)
Datuk: 70 tahun, pesara
Nenek: 68 tahun, pesara
Suami: 40 tahun, pendapatan $6,500 sebulan
Isteri: 38 tahun, pendapatan $6,100 sebulan
Anak lelaki: 10 tahun
Anak perempuan: 8 tahun
Terima bantuan sekitar $8,400 pada 2023
Bayaran tunai: $4,500
Bonus Warga Emas: $1,200
Tokokan MediSave: $1,100
Tokokan Akaun Edusave: $600
Rebat U-Save: $520
Rebat S&CC: ~$158*
Baucar CDC: $300
* Bersamaan dengan sekitar dua bulan Rebat S&CC
"Peningkatan kepada skim GSTV ini memastikan agar kebanyakan pesara dan isi rumah berpendapatan rendah tidak akan terkesan dek kenaikan GST.
Seperti yang saya tekankan sebelum ini, di bawah sistem GST kita - termasuk GST dan GSTV - pengguna yang lebih berkemampuan serta warga asing dan pelancong akan menanggung kesan kadar GST yang lebih tinggi berbanding warga Singapura berpendapatan rendah.
Ini memastikan bahawa mereka yang lebih berkemampuan dapat menyumbang bahagian cukai mereka yang adil dan ini akan mengurangkan beban cukai pada warga Singapura yang berpendapatan rendah dan pertengahan."
- Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong.