Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Bak permata berharga di mata dunia

Mar 24, 2015 | 08:53 AM



YATIMAN YUSOF


KATA-KATA tidak cukup untuk mengungkapkan peranan dan sumbangan besar mendiang mantan Perdana Menteri, Encik Lee Kuan Yew.


Legasi mendiang melebihi zaman dan sempadan Singapura.


Mendiang adalah Bapa Singapura moden. Ini bukan saja diakui rakyat Singapura, tetapi hampir seluruh dunia. Mendiang adalah negarawan agung dan pembina Singapura tersohor.


Pada awal perjuangan politik, beliau telah mematahkan cabaran komunis. Kalau tidak kerananya, Singapura yang ada hari ini tidak akan ada.


Yakin bahawa Singapura perlu melepaskan dirinya daripada belenggu penjajahan dengan menjadi sebahagian daripada Malaysia, beliau gigih berjuang sehingga ia menjadi sebahagian daripada Malaysia pada 1963.


Tetapi kerana perbezaan asas politik dan gasgasan 'Malaysian Malaysia' berbenturan dengan konsep 'ketuanan Melayu' dipegang kuat oleh para pemimpin kerajaan Persekutuan, kita berpisah.


Apabila Singapura terkeluar dari Malaysia pada 1965, dan ketika harapan masa depan Singapura kelihatan akan pudar dan hilang, mendiang memimpin pasukannya bangkit meyakinkan rakyat Singapura bahawa negara ini boleh hidup.


Bukan sekadar hidup, bahkan berkembang dan berjaya sebagai sebuah negara demokratik berbilang bangsa yang maju dengan rakyatnya menikmati persamaan dan keadilan.


Mendiang amat bijak dalam mengenalkan Singapura di pentas dunia. Mendianglah 'jurujual' yang tidak ada tolok bandingannya bagi Singapura sehingga Singapura yang dianggap sebagai 'titik merah yang kecil' menjadi lebih besar daripada zatnya.


Mendiang diajak berunding oleh para pemimpin negara besar dan kecil. Buah fikiran dan pandangannya didengari dan diteliti. Mendiang menjadi 'permata' yang amat berharga di mata dunia. Bukan kecil jumlah pemimpin negara lain yang ingin mencontohi Singapura.


Legasi mendiang bagi Singapura amat banyak dan amat sukar dinilai. Singapura yang ada hari ini adalah hasil usaha mendiang dan pasukan pimpinannya.


Agak sukar memikirkan bagaimana Singapura yang merdeka ditinggalkan British dengan hanya memiliki sebuah pelabuhan, bahasa Inggeris, perkhidmatan awam dan sebuah lapangan terbang kecil dengan penduduknya tidak berkelulusan dan tidak berkemahiran dengan keadaan perumahan yang serba kekurangan dan tiada upaya pertahanan itu boleh bangkit.


Tetapi mendiang dan pasukannya melancarkan perindustrian dan menggalak kemasukan pelabur.


Dengan melabur di bidang pendidikan dan latihan kemahiran, ramai yang berjaya mendapat pekerjaan dan gaji yang lebih baik. Dengan melancarkan projek pembinaan perumahan awam, ramai yang memiliki flat dan menikmati kehidupan yang bersih lagi selesa.


Malah dengan mengenalkan dasar percampuran kaum dalam estet perumahan awam, petempatan berkelompok kaum terhapus di Singapura dan masyarakat berbilang kaum hidup rukun damai di kejiranan mereka.


Dengan anak Cina, Melayu, India, Serani dan lain-lain belajar secara bersama sejak tadika, sekolah rendah, sekolah menengah, maktab, Institut Pendidikan Teknikal dan menjalani perkhidmatan negara, semangat kesingapuraan mula berkembang di sanubari mereka. Mereka kini bangga mengenalkan diri mereka sebagai orang Singapura.


Berbagai-bagai prasarana fizikal, ekonomi, budaya dan sosial yang dilaksanakan mendiang dan pasukannya telah menjadikan Singapura menerima julukan sebuah negara yang berjaya sedang begitu banyak negara lain yang merdeka sebaya dengan kita kini masih dicengkam berbagai masalah yang tidak terselesaikan.


Kita berterima kasih dan terhutang budi terhadap mendiang. Saya ingat ketika beliau menjadi Perdana Menteri Singapura, kami sering berpeluang makan tengah hari dengannya di Istana.


Makanannya tetap sama saja: beberapa hiris kentang goreng tipis, selunjur ikan kurau goreng, banyak sayur bayam dan disudahi dengan buah-buahan, terutama limau bali.


Apabila ditanya tidakkah beliau jemu makan makanan yang sama setiap kali kami berjumpa. Katanya, beliau perlu terus hidup sihat untuk Singapura. Beliau kuat beriadah: berlari-lari anak, berenang, mengayuh basikal.


Sesungguhnya seluruh hidup mendiang Encik Lee adalah untuk Singapura.


Masyarakat Melayu/Islam banyak meraih faedah daripada falsafah, dasar dan kepemimpinan Encik Lee.


Kepercayaannya yang tidak goyah terhadap meritokrasi dan dasar berbilang bangsa, bahasa, budaya dan ugama dan pelaksanaan beraneka program telah membolehkan orang Melayu/Islam kita turut menikmati faedah pembangunan Singapura moden.


Mendiang Encik Lee bertegas dan kuat iltizamnya dalam mempertahankan dan mengukuhkan warisan kita sebagai bangsa Asia sebagai pemantap budaya rakyat Singapura yang berbilang bangsa.


Maka itu dasar dwibahasa dilaksanakan dengan amat bersungguh demi mengekalkan jati diri kita. Usaha menjaga dan mengembangkan bahasa, sastera dan budaya kita dilakukan atas landasan dasar dwibahasa tersebut.


Yakin dengan kepercayaan bahawa pelajaran adalah wadah penggerak sosial, keutamaan diberi dalam memajukan prasarana pendidikan dan pembangunan kemahiran.


Bagi memastikan bahawa kaum-kaum di Singapura punya peranan penting dalam memajukan taraf pelajaran masing-masing, usaha memperkasa badan-badan bantu diri telah digalakkan.


Bagi masyarakat Melayu/Islam, melalui Akta Pentadbiran Hukum Islam (Amla) telah melihat Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dibentuk dan Mahkamah Syariah diwujudkan dan usaha pembinaan masjid digiatkan.


Begitu berjayanya usaha kita memakmurkan masjid sehingga banyak pihak ingin mencontohi usaha kita menjadikan masjid sebagai institusi kemasyarakatan yang ampuh.


Pindaan Akta tersebut membolehkan Majlis Pendidikan Anak-Anak Islam (Mendaki) diwujudkan, membuka ruang para pekerja kita menyumbang mengikut kadar kemampuan mereka melalui check-off CPF untuk kemajuan pelajaran anak-anak mereka.


Saya masih ingat, apabila Mendaki mula-mula ditubuhkan, kita kurang berjaya mengajak masyarakat membuat sumbangan bulanan secara sukarela.


Lalu para Anggota Parlimen Melayu meminta beliau membolehkan sumbangan melalui sistem CPF.


Mendiang bersetuju. Kemudahan ini khas diberikan kepada orang Melayu/Islam.


Yang penting, mendiang mahu supaya usaha memajukan diri itu bukan semata-mata dilakukan oleh Pemerintah.


Pemerintah menolong dengan memberi kemudahan, tetapi masing-masing kaum di Singapura, termasuk masyarakat Melayu, memikul, memiliki dan mengendalikan program-program yang kita buat sendiri.


Sepanjang hidupnya, mendiang tidak henti-henti meneroka, memikirkan, mencuba dan melaksanakan pendekatan, cara dan dasar baru untuk terus menempa kecemerlangan untuk rakyatnya.


Atas sumbangan mendiang dan pasukannya, kita dapat menikmati kehidupan yang lebih baik dalam suasana aman, mantap dan makmur.


Kita perlu bersama meneruskan usaha baik mendiang Lee dan menjadikan Singapura sebuah negara yang bergemilang anak dan cucu-cicit kita.


- Penulis mantan Setiausaha Parlimen Kanan dan mantan Editor Berita Harian/Berita Minggu




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >