Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:08
Isyak
8:23

Bakal mempelai akan terus diberi sokongan semasa pandemik: Faishal

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Setempat
27
0

Bakal mempelai akan terus diberi sokongan semasa pandemik: Faishal

Jun 03, 2021 | 05:30 AM

BAKAL pengantin yang ingin meneruskan hasrat berkahwin dalam tempoh pandemik ini akan terus diberikan sokongan, kata Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Menambah, Dr Faishal berkata beliau akur pasangan yang telah membuat aturan pernikahan semasa tempoh langkah diperketat ini berhadapan dengan keadaan yang tidak menentu.

"Rancangan mereka harus diubah mengikut situasi Covid-19 dan langkah-langkah keselamatan yang ditetapkan.

"Saya amat bersimpati dengan mereka, kerana persiapan yang telah lama dibuat terpaksa diubah apabila peraturan lebih ketat diperkenalkan pada 16 Mei hingga 13 Jun," katanya lagi.

Namun beliau juga dimaklumkan bahawa sebahagian besar pasangan yang ingin bernikah dalam tempoh ini masih meneruskan niat mereka.

"Inilah daya bingkas masyarakat kita yang patut kita kagumi." tambah Dr Faishal.

"Kita tidak berputus asa, malah dapat menyesuaikan diri demi mencapai matlamat kita."

Mengulas lebih lanjut mengenai sokongan yang boleh diberikan kepada bakal mempelai, Dr Faishal berkata pasangan yang terpaksa mengubah rancangan untuk berkahwin akibat langkah keselamatan Covid-19 yang diperketat sejak bulan lalu mungkin tidak perlu menanggung kos tambahan akibat perubahan itu semasa berurusan dengan Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM).

Menambah, Dr Faishal berkata ROMM menyokong rancangan pasangan untuk bernikah dan bersedia meringankan beban mereka.

"ROMM bersedia menimbangkan untuk tidak mengenakan bayaran buat perubahan seperti pertukaran lokasi yang disebabkan peraturan baru yang lebih ketat yang dilaksanakan," ujar Dr Faishal.

Beliau berkata demikian di perjumpaan Hari Raya bagi Kadi dan Naib Kadi yang diadakan secara maya semalam. Acara itu dihadiri 46 Kadi dan Naib Kadi.

Bayaran perkahwinan yang dikenakan ROMM adalah $39 bagi warga Singapura. Pasangan yang ingin mengubah butiran pernikahan seperti tarikh, waktu, lokasi boleh dikenakan bayaran tambahan $15.

Dr Faishal turut memberi penghargaan kepada Kadi dan Naib Kadi yang menghulurkan bantuan kepada pasangan terjejas yang berasa tertekan.

"Saya mengalu-alukan usaha anda untuk membantu masyarakat kita membina keluarga yang kukuh lagi utuh di tengah-tengah wabak ini," ujar Dr Faishal.

Semalam, Kadi dan Naib Kadi juga mengadakan perbincangan untuk berkongsi maklumat dan mempertingkat kemahiran dalam kalangan mereka selepas perjumpaan Hari Raya itu. Sesi perkongsian kumpulan pengamal atau community of practice itu adalah yang kedua diadakan tahun ini dan Dr Faishal berkata usaha Kadi dan Naib Kadi untuk memperluas kemahiran semasa pandemik ini adalah menggalakkan.

Ia sebahagian rangka kerja latihan Bersamamu - salah satu bidang tumpuan M Kuasa Tiga (M3) yang bertujuan memberi sokongan bagi perkahwinan, keibubapaan dan pendidikan awal kanak-kanak dalam masyarakat Melayu/Islam.

Sejak Bersamamu dilancarkan pada Julai 2019, hampir 12,000 pasangan telah menyertai sesi perbincangan fizikal sebelum bernikah.

Dalam kenyataannya semalam, ROMM berkata sesi Bersamamu masih diteruskan pada masa pandemik ini, tetapi kini diadakan di dalam talian.

Bakal pengantin juga digalak menggunakan khidmat dalam talian bagi tujuan mengesahkan dokumen dan membuat Akuan Berkanun, jika mereka layak berbuat demikian.

Pada masa ini, bakal pasangan pengantin juga boleh memilih untuk dinikahkan menerusi pautan video.

LAPORAN LANJUT: Pengantin teruskan nikah, tenang hadapi perubahan dek sekatan Covid-19


"Saya amat bersimpati dengan mereka, kerana persiapan yang telah lama dibuat terpaksa diubah apabila peraturan lebih ketat diperkenalkan pada 16 Mei hingga 13 Jun... Inilah daya bingkas masyarakat kita yang patut kita kagumi. Kita tidak berputus asa, malah dapat menyesuaikan diri demi mencapai matlamat kita."
- Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3