Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Bakal Mufti mahu dampingi masyarakat dan golongan muda

Mahu jadikan nilai penting seperti belas ihsan dan berbuat baik sebagai sebahagian DNA masyarakat Melayu/Islam Singapura
Feb 26, 2020 | 05:30 AM



BAKAL Mufti Singapura, Ustaz Dr Nazirudin Mohd Nasir ingin meningkatkan lagi usaha pendekatan dalam mendampingi masyarakat, terutama generasi muda.



Selain menerusi platform media sosial, beliau juga akan meneroka cara baru dan inovatif yang mungkin melibatkan sesi podcast di masa hadapan, sejajar dengan peredaran masa.



Di samping usaha mendampingi masyarakat itu, Dr Nazirudin, 43 tahun, yang akan menyandang jawatan Mufti, menggantikan Dr Mohamed Fatris Bakaram, pada 1 Mac ini, turut menggariskan peranan masyarakat bagi memelihara keharmonian agama dan memperkukuhkan lagi perpaduan sosial di Singapura.



Dalam satu wawancara khas bersama media di Pusat Harmoni di Masjid An-Nahdhah semalam menjelang pelantikannya, beliau menyentuh bagaimana tanggungjawab sebagai seorang Mufti turut berubah dalam sekitaran baru ini.



Justeru, dalam mengharungi perubahan itu, Dr Nazirudin berkata peranan itu dipermudahkan lagi dengan adanya pasukan dari Pejabat Mufti, termasuk dua Timbalan Mufti - Ustaz Mohd Murat Md Aris dan Ustaz Dr Mohammad Hannan Hassan - yang bakal menyokongnya.



Beliau berharap mereka dapat melaksanakan tanggungjawab itu untuk terus membangunkan kehidupan masyarakat Islam di Singapura, dengan menangani isu-isu yang lebih rumit.



"Keperluan untuk sentiasa mendekati masyarakat adalah perkara yang sangat penting dan perlu diteruskan.



"Pasukan Pejabat Mufti telah berkembang dengan lebih besar, dan mereka melakukan banyak tugasan, bukan sahaja sekadar menjawab soalan berkenaan agama atau menguruskan isu fatwa.



"Namun sekarang, kita juga perlu menguruskan dan mengeluarkan banyak dasar keagamaan dan pada masa yang sama menggunakan pelbagai wadah untuk mendidik serta mendampingi masyarakat - sebagai contoh menerusi media sosial seperti Instagram, Facebook, podcast dan sebagainya," kata beliau yang dilantik sebagai Mufti keempat Singapura.



Dalam memikul peranan barunya sebagai Mufti negara nanti, Dr Nazirudin yang menyertai Muis pada 2002 sebagai Eksekutif di Jabatan Keagamaan dan kemudian Jabatan Pendidikan Islam sebelum menyandang jawatan dalam Pejabat Mufti pada 2006, berkata beliau mahu meneruskan usaha baik Mufti Singapura yang lalu dalam mencapai keharmonian kaum dan agama di sini.



Ia menjadi antara visinya untuk mengukuhkan lagi hidup berdampingan yang menjadi model unik kepada Singapura, di mana beliau percaya masyarakat Islam sebenarnya telah maju, melebihi sifat toleransi.



"Kita (di Singapura) mengenali masyarakat dan agama lain lebih mendalam dari kebanyakkan tempat lain," kata beliau.



"Kita juga berjaya membina kepercayaan serta keyakinan, dan apabila antara kita memerlukan bantuan, kita tidak teragak-agak untuk menawarkan bantuan itu.



"Saya rasa terdapat banyak contoh di seluruh dunia di mana perpaduan sosial menjadi aset utama yang sangat berharga yang perlu kita lindungi pada setiap masa."



Menekankan kepentingan untuk meneruskan proses menerap nilai-nilai penting seperti belas ihsan dan berbuat baik dalam masyarakat, Dr Nazirudin berkata beliau akan berusaha menjadikan nilai-nilai itu sebagai sebahagian daripada DNA masyarakat Islam Singapura.



"Ini merupakan antara nilai yang sangat penting dan telah lama berakar dalam tradisi masyarakat Islam kita," ujarnya.



Menjawab persoalan tentang bagaimana beliau akan mengatasi cabaran yang mungkin dihadapi sewaktu menggalas tanggungjawab sebagai mufti nanti, Dr Nazirudin berkata kerjasama akan menjadi teras kepimpinannya.



Menurutnya, perbincangan di antara Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Pejabat Mufti dan para asatizah adalah penting agar dapat memahami isu semasa yang dihadapi, seperti yang berkaitan dengan isu sosial dan politik, dari pelbagai sudut dan aspek.



"Itu adalah satu kekurangan pada masa ini dan saya rasa itu adalah langkah pertama yang perlu kita tanamkan," tambahnya.



"Pencerahan penting agar kita dapat memahami dengan lebih baik dan sempurna sesuatu masalah yang dihadapi."



Melihat ke hadapan, Dr Nazirudin menegaskan bahawa pihaknya mungkin akan mengambil pendekatan memberi masyarakat Islam di Singapura ruang untuk membuat keputusan sendiri dalam menghuraikan persoalan seperti dalam pengurusan harta dan dari segi perubatan.



Namun begitu, beliau menasihatkan agar keputusan yang dibuat haruslah berdasarkan prinsip dan ajaran agama, dengan bimbingan dan nasihat daripada golongan asatizah yang bertauliah.



"Dan begitu juga kita ingin mengajak para asatizah kita untuk mendidik masyarakat supaya kita sama-sama dapat berikan keyakinan untuk lebih memahami sesuatu isu, masalah atau cabaran dan apakah cara terbaik untuk menangani cabaran tersebut," ujarnya.




BIODATA 



Nama: Ustaz Dr Nazirudin Mohd Nasir



Usia: 43 tahun



Pendidikan:

Sekolah Victoria; Madrasah Aljunied Al-Islamiah; Universiti Al-Azhar di Kahirah, Mesir; School of Oriental and African Studies, di London, Britain; menerima ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam pengajian agama ajaran Nabi Ibrahim di Universiti Oxford.



Kerjaya:

Menyertai Muis pada 2002 sebagai Eksekutif di Jabatan Keagamaan dan kemudian Jabatan Pendidikan Islam sebelum menyandang jawatan dalam Pejabat Mufti pada 2006.

Beliau turut menyandang jawatan dalam Pejabat Mufti dan menjadi Pengarah Kanan Dasar dan Pembangunan Keagamaan di Muis.

Pada Mac tahun lalu, beliau dilantik sebagai Timbalan Mufti.



Khidmat dan sumbangan:

Anggota Bersekutu Jawatankuasa Fatwa; anggota Jawatankuasa Asatizah Masa Depan (Cofa); memainkan peranan penting dalam pembangunan Sijil Possiswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS) dan anggota Jawatankuasa Penasihat Bioetika Singapura.




TUGAS PEJABAT MUFTI KIAN LUAS



"Keperluan untuk sentiasa mendekati masyarakat adalah perkara yang sangat penting dan perlu diteruskan. Pasukan Pejabat Mufti telah berkembang dengan lebih besar, dan mereka melakukan banyak tugasan, bukan sahaja sekadar menjawab soalan berkenaan agama atau menguruskan isu fatwa. Namun sekarang, kita juga perlu menguruskan dan mengeluarkan banyak dasar keagamaan dan pada masa yang sama menggunakan pelbagai wadah untuk mendidik serta mendampingi masyarakat - sebagai contoh menerusi media sosial seperti Instagram, Facebook, podcast dan sebagainya."



PERPADUAN SOSIAL ASET UTAMA PERLU DILINDUNGI



"Kita (di Singapura) mengenali masyarakat dan agama lain lebih mendalam dari kebanyakkan tempat lain. Kita juga berjaya membina kepercayaan serta keyakinan, dan apabila antara kita memerlukan bantuan, kita tidak teragak-agak untuk menawarkan bantuan itu. Saya rasa terdapat banyak contoh di seluruh dunia di mana perpaduan sosial menjadi aset utama yang sangat berharga yang perlu kita lindungi pada setiap masa."



PERBINCANGAN MUIS, PEJABAT MUFTI DAN ASATIZAH MENGENAI ISU SEMASA



"Itu adalah satu kekurangan pada masa ini dan saya rasa itu adalah langkah pertama yang perlu kita tanamkan. Pencerahan penting agar kita dapat memahami dengan lebih baik dan sempurna sesuatu masalah yang dihadapi... Dan begitu juga kita ingin mengajak para asatizah kita untuk mendidik masyarakat supaya kita sama-sama dapat berikan keyakinan untuk lebih memahami sesuatu isu, masalah atau cabaran dan apakah cara terbaik untuk menangani cabaran tersebut."
- Bakal Mufti Singapura, Ustaz Dr Nazirudin Mohd Nasir.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >